Geladak penerbangan KD PERAK telah dipilih sebagai tempat berlangsungnya upacara yang berprestij ini. Upacara ini adalah detik yang bersejarah buat Laksamana Pertama Abdul Rahman bin Ayob untuk menyerahkan tampuk pemerintahan KD PERAK kepada Kdr Mohamad Hairulsah bin Abdul TLDM . Majlis yang ringkas tetapi penuh bermakna ini telah disaksikan oleh Panglima Markas Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Dato' Pahlawan Mohammad Rosland Omar. Turut sama memeriahkan majlis adalah Ketua Staf Markas, Pegawai-pegawai Memerintah, pegawai-pegawai kanan dan warga kapal KD PERAK.
Majlis penyerahan tampuk pemerintahan Pegawai Memerintah KD PERAK telah dimulakan dengan upacara menandatangani sijil serah terima tugas pegawai memerintah diikuti dengan penurunan Lencana Pemerintah dan pemakaian lencana Pegawai Memerintah.
Majlis diteruskan lagi dengan upacara menandatangani Sijil Terima Tugas Pegawai Kanan Armada serta penyerahan Boya oleh Pegawai Kanan Armada Laksamana Pertama Abdul Rahman bin Ayob kepada Pegawai Memerintah KD JEBAT iaitu Kepten Abd Halim bin Hj Shaari TLDM.
Ybhg Panglima Markas Wilayah Laut 2 dalam ucapannya menyatakan bahawa semoga dengan pelantikan Pegawai Memerintah yang baru ianya dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik serta bersemangat tinggi demi mencapai misi dan visi TLDM ke arah World Class Navy. Majlis dimurnikan lagi dengan bacaan doa oleh Pegawai Memerintah KD PERAK yang baru iaitu Kdr Mohamad Hairulsah bin Abdul TLDM. Majlis disempurnakan dengan ’straight lining’ warga KD PERAK di sepanjang jeti operasi untuk mengiringi Laksamana Pertama Abdul Rahman bin Ayob keluar kapal buat kali terakhirnya sebagai pegawai memerintah.
Rujukan : 090812/01
Sumber : Perhubungan Awam Markas Wilayah Laut 2
Artikel : Lt Mohd Faizruddin Bin Mohd Nor TLDM
JUrufoto : LK PAP Mohd Faiez Bin Jaafar
Last modified on Monday, 03 September 2012 13:56