SUNGAI LUNCHOO, 27 Sep - Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim pada hari ini telah berkenan mencemar duli ke Majlis Perasmian dan Penamaan Pangkalan TLDM Johor Bahru di Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM, Bandar Baru Permas Jaya, Masai, Johor.

Baginda menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dari KD MALAYA yang terdiri daripada 3 pegawai dan 103 anggota yang diketuai oleh Lt Kdr Norman bin Ahmad Shaip TLDM.

DYMM Sultan Johor telah dipersembahkan dengan gimik perasmian melibatkan aksi penerjunan anggota Pasukan Khas Laut KD PANGLIMA HITAM secara fast-roping dari pesawat Helikopter Operasi Maritim TLDM. Baginda turut berkenan menandatangani plaque perasmian dan penamaan Pangkalan TLDM Johor Bahru.

Turut berangkat ke upacara hari ini adalah Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor.

Turut hadir, Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor; Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Pertahanan; Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman, Panglima Angkatan Tentera dan Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob, Panglima Tentera Laut.