Peserta Regional Strategic Communications Workship 2023
Canberra, Australia – Dua orang wakil dari Angkatan Tentera Malaysia, iaitu Leftenan Komander Mohd Shahril bin Abdul Ghani TLDM dan Mejar Mohd Norhelmi bin Mohd Zaki antara 30 peserta dari 13 buah negara Indo-Pasifik telah menyertai bengkel ‘Regional Strategic Communications Workshop’ yang diadakan pada 2 hingga 8 September di Canberra, Australia.
Penyertaan daripada 13 negara serantau Indo-Pasifik iaitu Malaysia, Indonesia, Vietnam, Filipina, Kemboja, Thailand, Mongolia, Papua New Guinea, Tonga, Singapura, Fiji, Vanuatu dan New Zealand memperlihatkan kepelbagaian budaya, bangsa dan agama namun masih boleh disatukan dengan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan rasmi demi mencapai objektif bengkel dalam perkongsian kepakaran, pengalaman, ilmu dan seterusnya meningkatkan kemahiran komunikasi strategik masing-masing.
Para peserta juga dapat mendalami seni penyampaian mesej yang berkesan dan dalam masa yang sama, mengekalkan naratif yang selari dengan kehendak pertahanan negara. Antara perkara yang menjadi perbincangan adalah cara menangani maklumat palsu, pengurusan krisis dan penyesuaian dengan lanskap komunikasi yang sentiasa berubah.
Eksesais Talisman Sabre 23 yang diadakan di Australia baru-baru ini telah dijadikan kajian kes dalam proses perkongsian maklumat. Eksesais tersebut menjadi platform yang menguji kecekapan pegawai komunikasi strategik, yang mana seramai 33,000 anggota dari 13 negara telah menjalani latihan dalam satu kawasan yang sangat luas. Kejadian insiden sebenar semasa eksesais tersebut yang mengorbankan empat nyawa turut menguji kemampuan perkongsian maklumat semasa krisis.
Pengisian bengkel turut dimuatkan dengan kehadiran pakar dari Pegawai 1st Joint Public Affairs Unit dan Military Camera Team yang telah berkongsi petua dan teknik bagi membantu dalam pengurusan media yang merangkumi cara penghasilan imej dan mesej yang berkesan, menentukan sasaran dan mengukur keberkesanan setiap produk komunikasi yang dihasilkan. Di samping itu, perbincangan tentang penggunaan media sosial secara bertanggungjawab dan kesan terhadap persepsi awam turut dimuatkan dalam bengkel berkenaan.
Selain bengkel, para peserta juga telah dibawa mengikuti lawatan ke tempat bersejarah iaitu menghadiri upacara Penghormatan "Last Post" di Australian War Memorial. Penghormatan tersebut adalah mengenang jasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh wira-wira di masa lalu. Pelaksanaan upacara itu secara tidak langsung merupakan strategi dalam komunikasi yang berkesan bagi menimbulkan semangat patriotik di kalangan masyarakat di Australia.
Kesimpulannya, Bengkel Komunikasi Strategik yang diadakan selama tujuh hari itu telah berjaya mengukuhkan lagi hubungan strategik khususnya dalam konteks Komunikasi Strategik di kalangan 30 peserta dari 13 negara Indo-Pasifik melalui perkongsian maklumat, pengalaman dan pendapat bagi menambahbaik elemen komunikasi strategik di negara masing-masing.
MARKAS TENTERA LAUT, WISMA PERTAHANAN, JALAN PADANG TEMBAK, 50634 KUALA LUMPUR
Emel : webmaster@navy.mil.my | Tel : (60)3-40160159
Best Viewed : Mozilla Firefox / Google Chrome / Microsoft Edge
COPYRIGHT | PRIVACY & POLICY | DISCLAIMER | SITE MAP