LUMUT, 2 Ogos - Eksesais bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terbesar tahun ini kini telah bermula secara rasmi semalam, 1 Ogos 2023. Hadir menyempurnakan acara adalah Yang Berbahagia Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob, Panglima Tentera Laut. Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman, Panglima Tentera Darat dan Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, Panglima Tentera Udara turut hadir ke majlis yang diadakan di Auditorium Venus, Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan.
Eks ANGSA telah dilaksanakan kali terakhir pada tahun 2021 dengan berkonsepkan kepada Staff Exercise (STAFFEX), iaitu pelaksanaan eksesais tanpa penglibatan aset. TLDM dalam penganjuran tahun ini telah mengetengahkan aspek 3P iaitu People, Process dan Platform dalam melaksanakan eksesais secara Field Training Exercise (FTX).
Seramai 304 warga daripada kedua angkatan telah memulakan program fasa pelabuhan pada 28 Julai yang lalu. Antara pengisian utama yang telah dilaksanakan adalah siri pembelajaran dan pengajaran daripada pelbagai 'Subject Matter Expert' atau pakar dalam bidang tertentu seperti;
Samudera Medik - Perkongsian oleh pakar perubatan berkenaan bantuan awal kecemasan dan tindakan rawatan pesakit yang menjurus kepada situasi peperangan/operasi. Perkongsian ini telah diselia oleh Kor Kesihatan Diraja (KKD) yang berkhidmat di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut dan Kota Kinabalu. Pasukan kesihatan juga bakal terlibat sebagai Medical Afloat Support Team (AST) di kapal-kapal semasa fasa laut bermula.
Konferensi Logistik - Markas Logistik Barat telah menghimpunkan kesemua pegawai yang berkepakaran Kejuruteraan/Teknikal serta Bekalan/Urusetia dalam memastikan objektif dan peranan logistik dalam menyokong kejayaan eksesais tercapai. Sesi diskusi dan perkongsian menekankan pengoperasian logistik yang mampan serta langkah proaktif dan efektif dalam penyelesaian masalah berkaitan operasi kapal yang mampu menggugat kesiagaan armada terutama ketika beroperasi di laut. AST Logistik turut mengikuti pelayaran kapal-kapal TLDM dalam fasa berikutnya bagi memberi bantuan awal ketika menghadapi sebarang insiden berkaitan logistik di laut.
Taklimat Ilmu Kelautan, MKMA, Peperangan & Komunikasi - Pelbagai sesi pembelajaran dan pengajaran yang memfokuskan kepada pelaksanaan evolusi di laut turut dilaksanakan di sekitar unit/kapal TLDM sepanjang 4 hari di Tambatan Pangkalan Lumut. Dengan fokus 'refresh and react', Bahagian Kesiagaan Markas serta SME Eksekutif/Pelaut mengambil inisiatif memahirkan warga dengan perkongsian ilmu dan praktikal semasa di pelabuhan. Ini turut bertujuan meminimumkan sebarang ketidakpatuhan prosedur dan pengendalian peralatan ketika evolusi di laut nanti.
Taklimat Operasi Udara - Sesi taklimat ini telah diselia oleh Markas Udara TLDM bersama TUDM serta memfokuskan kepada operasi udara melibatkan pesawat/helikopter dan kapal. Sesi perkongsian yang telah dilaksanakan bertunjangkan kepada keselamatan dalam kepatuhan prosedur latihan Winching, Latihan Pendaratan Dek dan penerangan tentang Prosedur Operasi Pertahanan Udara Maritim.
Command Team Training (CTT) – Sesi ini telah melibatkan kesemua pegawai yang terlibat dalam hierarki tertinggi atau 'Command Team' dalam sesebuah kapal sebagai persediaan menghadapi peperangan maritim. CTT turut dilaksanakan bertujuan sebagai penasihat kepada Pegawai Memerintah dan 'Command Team' membuat penilaian dan keputusan terbaik ketika menghadapi ancaman dalam operasi kelak.
Combat Fitness Challenge (CFC) – Cabaran ketangkasan dan keupayaan Pasukan Khas Laut (PASKAL) turut terlaksana dalam siri eksesais kali ini. Tiga disiplin dalam operasi khas maritim iaitu fizikal air, fizikal darat dan kemahiran menembak telah menjadi intipati dalam CFC ini. Ianya telah dijayakan oleh 42 peserta yang telah melalui enam elemen pertandingan yang berkesinambungan bermula dengan Kayuhan dan Renang Tempur, Perarakan Tempur dan Kompas Tempur dan berakhir dengan Menembak.
Pelbagai program lain yang mendukung kepada intipati fasa pelabuhan ini telah berlangsung. Taklimat Pra Pelayaran, dan Taklimat Utama Eksesais antara yang utama dan menjadi tumpuan bagi kesemua warga tidak mengira tanpa mengira pangkat dan peranan. Berikutnya, kredibiliti dan keupayaan warga serta aset akan terus diuji dengan fasa Force Integration Training di sekitar Selat Melaka dan Laut China Selatan. Semoga komitmen jitu daripada kesemua peserta eksesais akan membuahkan kejayaan bagi eksesais siri ini.
MARKAS TENTERA LAUT, WISMA PERTAHANAN, JALAN PADANG TEMBAK, 50634 KUALA LUMPUR
Emel : webmaster@navy.mil.my | Tel : (60)3-40160159
Best Viewed : Mozilla Firefox / Google Chrome / Microsoft Edge
COPYRIGHT | PRIVACY & POLICY | DISCLAIMER | SITE MAP