Perkongsian pengalaman oleh klien PUSPEN Jelebu dan pernah bekerja dengan TLDM
JELEBU, 8 Okt - Seramai 29 pegawai dan anggota menyertai lawatan kesedaran ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Jelebu, Negeri Sembilan anjuran Bahagian Provos Tentera Laut (PROTELA) Markas Tentera Laut yang diketuai oleh Kept Farizan bin Hussain TLDM, Marsyal Provos Tentera Laut. Lawatan ini merupakan salah satu program aktiviti Pelan Tindakan Antidadah melibatkan Jawatankuasa Kecil Antidadah (JKKAD) peringkat Markas Tentera Laut.
Tujuan lawatan ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan di kalangan pegawai dan anggota serta mengetahui dengan lebih mendalam punca utama penglibatan seseorang itu dalam aktiviti penyalahgunaan dadah oleh klien PUSPEN dan cara mengatasinya.
Ketibaan para peserta di sambut oleh Puan Hajjah Norazlin binti Harun, Timbalan Pengarah PUSPEN Jelebu. Setiap peserta yang hadir telah diambil bacaan suhu badan dan wajib mengikut Standard Operation Procedure (SOP) sepertimana yang telah ditetapkan oleh Kerajaan dan peserta juga diberikan taklimat keselamatan oleh pegawai bertugas.
Acara dimulakan dengan ucapan oleh Timbalan Pengarah PUSPEN. Seterusnya, penerangan tentang tugas-tugas utama PUSPEN oleh En Dafee bin Mohd Zainal, Penolong Pegawai Antidadah. Acara diteruskan dengan sesi perkongsian oleh dua klien PUSPEN. Kedua-dua klien sebelum ini pernah bekerja dengan TLDM sebelum terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah. Terselit nasihat yang penuh makna oleh klien bekas anggota TLDM. “Jika diingat kehidupan lalu, ia amat mengecewakan sehingga terpaksa berhenti dari perkhidmatan kerana kesalahan penyalahgunaan dadah. Walaupun berhenti sekejap, tetapi keinginan atas ‘benda itu’ menyebabkan saya terus terjebak dan hilang pertimbangan. Semua duit pampasan semasa berkhidmat dihabiskan semata-mata untuk membeli dadah sahaja” kata Mohd (bukan nama sebenar).
Usai perkongsian, peserta dibawa melawat ke sekitar kawasan pentadbiran PUSPEN. Lawatan kali ini terpaksa dihadkan berikutan peningkatan kes Covid-19. Tinjauan ke PUSPEN ini mendapati pelbagai aktiviti diadakan termasuk sesi motivasi, ceramah agama, kaedah rawatan, psikologi dan kerja-kerja kemahiran. Sebelum pulang, peserta dibawa ke kilang kek PUSPEN untuk melihat klien melakukan kerja-kerja membuat kek dan pastri berasaskan buah nenas. Para peserta juga tidak melepaskan peluang membeli kek dan makanan yang dijual.
Diharap, lawatan seperti ini dapat diteruskan lagi di masa hadapan bagi memberi kesedaran kepada warga Navy People tentang bahayanya penyalahgunaan dadah.
Sumber: Bahagian PROTELA, Markas Tentera Laut
Artikel : Lt Ahmad Muslihin bin Mohamad Umbaidah TLDM
Foto : LK PRL Mohd Faisa bin Mama
MARKAS TENTERA LAUT, WISMA PERTAHANAN, JALAN PADANG TEMBAK, 50634 KUALA LUMPUR
Emel : webmaster@navy.mil.my | Tel : (60)3-40160159
Best Viewed : Mozilla Firefox / Google Chrome / Microsoft Edge
COPYRIGHT | PRIVACY & POLICY | DISCLAIMER | SITE MAP