KUALA LUMPUR, 24 Jan - Hubungan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Republik Singapura (Republic of Singapore Navy - RSN) dieratkan lagi dengan lawatan rasmi oleh Panglima Tentera Laut Singapura, Rear Admiral Sean Wat, ke Wisma Pertahanan hari ini. Ini merupakan lawatan pertama Rear Admiral Sean Wat sejak beliau dilantik sebagai Panglima Tentera Laut RSN pada 10 Mac 2023 yang lalu.
Ketibaan beliau di Wisma Pertahanan telah disambut Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob dan barisan pengurusan tertinggi TLDM.
Pemerintah tertinggi RSN itu memulakan lawatan dengan menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dari Markas Pangkalan Lumut dengan kekuatan 106 anggota yang diketuai oleh Leftenan Komander Muhammad Firdaus bin Mohd Zulhairi TLDM dan diiringi Pancaragam Pusat TLDM.
Rear Admiral Sean Wat kemudian melaksanakan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatnya dan berpeluang berbincang tentang isu pertahanan semasa, di samping meneliti peluang kerjasama baharu bagi memperkukuhkan lagi hubungan yang sudah terjalin sekian lama antara TLDM dan RSN.
Seterusnya, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman mengiringi Rear Admiral Sean Wat untuk kunjungan hormat ke atas Menteri Pertahanan, YB Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin.
Delegasi RSN turut diraikan dalam satu majlis makan malam dengan Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob dan isteri Puan Sri Dr. Norinah binti Mustapha sebagai tuan rumah. Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Zulhelmy bin Ithnain dan isteri serta ahli Jawatankuasa Laksamana TLDM.
MARKAS TENTERA LAUT, WISMA PERTAHANAN, JALAN PADANG TEMBAK, 50634 KUALA LUMPUR
Emel : webmaster@navy.mil.my | Tel : (60)3-40160159
Best Viewed : Mozilla Firefox / Google Chrome / Microsoft Edge
COPYRIGHT | PRIVACY & POLICY | DISCLAIMER | SITE MAP