TYT Negeri Pulau Pinang dan delegasi mendengar taklimat di KD TUN RAZAK
KOTA KINABALU, 18 Dis – Markas Pemerintahan Kapal Selam (MPKS) telah menerima kunjungan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua (TYT) Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd Noor serta delegasi. Lawatan ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu ini merupakan julung kalinya diadakan selepas beliau dilantik sebagai TYT Negeri Pulau Pinang kelapan pada 30 April 2021 yang lalu.
Ketibaan beliau telah disambut oleh Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Pertama Mohd Razib bin Tahir serta pegawai-pegawai kanan MPKS di perkarangan bangunan utama MPKS.
Lawatan dimulakan dengan sesi bergambar diikuti sesi taklimat ringkas serta tayangan video korporat berkenaan fungsi dan peranan Angkatan Kapal Selam TLDM. Selesai taklimat, TYT Negeri Pulau Pinang seterusnya menandatangani buku pelawat sebelum memulakan lawatan ke KD TUN RAZAK. Lawatan TYT Negeri Pulau Pinang kelapan ini amat bermakna kepada KD TUN RAZAK kerana TYT Negeri Pulau Pinang ketujuh, Tun Dato’ Seri Utama Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas turut pernah melawat kapal selam yang sama pada tahun 2011 semasa pameran Langkawi International Maritime and Aerospace (LIMA).
Selesai lawatan, TYT Negeri Pulau Pinang dan delegasi kemudiannya dibawa ke Wisma Kejora bagi majlis minum petang bersama pegawai-pegawai Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. Ketibaan beliau disana telah disambut oleh Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Dato’ Sabri bin Zali. Program lawatan TYT Negeri Pulau Pinang diakhiri dengan sesi pertukaran cendera hati di antara kedua pihak.
TYT Negeri Pulau Pinang amat berbesar hati dan telah menyuarakan kegembiraan beliau kerana hasrat untuk mengadakan lawatan ke kapal selam TLDM selama ini telah tercapai. Beliau amat berbangga dengan keupayaan TLDM dalam mengoperasikan aset strategik ini dan turut menunjukkan minat beliau yang mendalam kepada teknologi kapal selam di sepanjang program lawatan. Pihak MPKS turut berbesar hati menerima kehadiran julung kali TYT Negeri Pulau Pinang ke MPKS dan kapal selam. Secara tidak langsung ianya merupakan satu penghormatan tertinggi kepimpinan negeri Pulau Pinang diberikan kepada TLDM amnya dan MPKS khasnya.
Turut hadir dalam program lawatan tersebut mengiringi TYT Negeri Pulau Pinang ialah Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Ketua Polis Negeri Pulau Pinang dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Sumber : Pejabat Perhubungan Awam (N7) MPKS
MARKAS TENTERA LAUT, WISMA PERTAHANAN, JALAN PADANG TEMBAK, 50634 KUALA LUMPUR
Emel : webmaster@navy.mil.my | Tel : (60)3-40160159
Best Viewed : Mozilla Firefox / Google Chrome / Microsoft Edge
COPYRIGHT | PRIVACY & POLICY | DISCLAIMER | SITE MAP