Image
Image
Image

Select your language

Panglima Armada Timur bersama warga Navy People MAWILLA 2

SANDAKAN, 29 Jan – Panglima Armada Timur (PA Timur), Yang Berbahagia Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Syed Zahrul Putra bin Syed Abdullah telah melaksanakan Lawatan Ulung ke Markas Wilayah Laut 2 dari 27 Jan hingga 29 Jan 20. Lawatan ini adalah bertujuan bagi memberikan maklumat dan gambaran yang lebih jelas terhadap perkara berkaitan pentadbiran, operasi dan struktur MAWILLA 2 dan unit-unit di bawah naungan.

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan Armada Timur mulai 15 Oktober 2019 yang lalu, ini merupakan lawatan rasmi yang pertama YBhg Laksdya Dato’ Pahlawan Syed Zahrul Putra ke MAWILLA 2 serta unit-unit naungan yang terdapat di Pantai Timur Sabah. Dalam rangka kerja lawatan ini, YBhg PA Timur telah mengambil peluang untuk melawat ke sekitar Pangkalan TLDM Sandakan, RKTLDM Taman Samudera serta beberapa bangunan fasiliti yang terdapat di sini. Di samping dapat melihat sendiri keadaan dan suasana di Pangkalan TLDM Sandakan, lawatan yang dilaksanakan ini turut menjadi medan bagi pihak MAWILLA 2 untuk membentangkan rencana pembangunan yang sedang dijalankan serta yang masih di dalam perancangan.

MAWILLA 2 telah beroperasi secara rasmi di Pangkalan TLDM Sandakan pada 30 Ogos 2017, dan sejak itu telah banyak pembaharuan dan penambahbaikan yang dilaksanakan dari aspek keupayaan operasi, pentadbiran, Rumah Keluarga (RK), serta beberapa kemudahan asas yang lain bagi menampung keperluan semasa yang juga sesuai dengan fungsinya sebagai sebuah Markas yang lebih besar daripada sebuah unit sokongan sahaja.

Dalam rangka lawatan 3 hari ini, YBhg PA Timur turut mengambil peluang untuk menghadiri sesi ramah mesra bersama warga Navy People Sandakan. Di samping sebagai medium mendekati dan mengenali warga Navy People di MAWILLA 2 dan unit naungan, sesi ramah mesra ini juga turut digunakan untuk YBhg PA Timur menyampaikan amanat dan pesanannya kepada seluruh warga Navy People Sandakan untuk terus memberikan komitmen yang tinggi dalam pelaksanaan tugas seharian. Di samping menyentuh perkara berkaitan operasi dan kesejahteraan di MAWILLA 2, YBhg PA Timur juga turut menasihati hadirin untuk menjauhi sebarang kelakukan yang menyalahi undang-undang perkhidmatan seperti kejadian buli atau manhandling. Beliau turut menegaskan tidak akan bertoleransi kepada sesiapa sahaja warga Markas Armada Timur dan unit-unit di bawah naungan yang didapati bersalah terlibat dengan kesalahan terbabit.

Usai program di MAWILLA 2, YBhg Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Syed Zahrul Putra telah meneruskan rangka lawatan beliau ke KD SRI TAWAU.

Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel   : Lt Kdr Ahmad Fitri bin Osman TLDM
Foto      : LK TLR Ahmad Shukri bin Samad

Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image