Panglima Tentera Laut memakaikan Insignia Pegawai Waran TLDM kepada PW I Mohamad Noorfazli
KUALA LUMPUR, 29 Jun - Hari ini Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencatat sejarah tersendiri apabila Pegawai Waran (PW) I TLS (AQM) Mohamad Noorfazli bin Ariffin dari Cawangan Udara TLDM dipilih sebagai Pegawai Waran TLDM Ketujuh.
PW I Mohamad Noorfazli mula menyertai TLDM pada 1999 dan telah berkhidmat selama 22 tahun dalam TLDM. Sepanjang perkhidmatan, beliau telah diperjawatkan di Kapal Diraja (KD) SRI INDERA SAKTI sebelum diserapkan ke KD RAJAWALI sebagai teknisyen udara. Setamat kursus di KD RAJAWALI, beliau diserapkan ke Skuadron 501 yang mengoperasikan pesawat Super Lynx. Seterusnya beliau telah dipilih untuk mengikuti kursus Air Quartermaster di PULATIBANG 2, Alor Setar Kedah. Beliau telah menjalani latihan penerbangan di No.3 Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggunakan pesawat NURI selama hampir 2 tahun. Setamat kursus, beliau kembali ke Skuadron 501 sebagai Air Quartermaster operasi di skuadron tersebut. Bukan itu sahaja, beliau juga seorang jurulatih Air Quartermaster Skuadron 501.
Antara siri latihan dan operasi penting yang beliau sertai sepanjang perkhidmatan termasuk Bersama LIMA, Kerismas, Taming Sari, Carilamat MH 370 dan Operasi Fajar Siri 19. Beliau juga menjadi kru SUPER LYNX yang menyertai pelayaran KD LEKIU ke Jepun, China dan Korea pada 2019. Pada tahun 2020, PW I Mohamad Noorfazli telah dilantik sebagai Pegawai Waran Markas Udara yang memberi cabaran baharu buat beliau apabila beralih daripada tugasan operasi kepada pentadbiran.
Pengalaman sebagai Pegawai Waran Markas Udara semestinya akan digunakan untuk mengorak langkah sebagai Pegawai Waran TLDM yang merupakan jawatan tertinggi disandang seorang anggota lain-lain pangkat (LLP). Pegawai Waran TLDM atau lebih dikenali sebagai Warrant Officer of the Navy (WOON) memainkan peranan penting dalam perkhidmatan, iaitu sebagai penghubung di antara kumpulan pegawai dengan anggota LLP TLDM dalam memastikan setiap mesej dan arahan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan tertinggi TLDM sampai kepada semua peringkat akar umbi. Beliau dianggap nadi dan contoh tebaik kepada warga LLP dalam memastikan tahap kesiagaan setiap anggota LLP TLDM sentiasa terbaik merangkumi kerjaya, disiplin dan kebajikan. Pegawai Waran TLDM adalah penasihat kepada PTL dalam hal berkaitan LLP dan beliau perlu sentiasa peka dengan situasi yang dihadapi anggota yang terdiri daripada pelbagai kepakaran serta harus fleksibel dalam melaksanakan tanggungjawab beliau mempromosi kebajikan mereka.
Tahap kemahiran insani atau soft skill yang diperlukan semestinya tinggi terutama apabila menyampaikan mesej daripada pihak pengurusan mahupun daripada warga. Beliau juga perlu sensitif dengan maklumat yang disampaikan agar jelas dan difahami lantas mencapai objektif yang ditetapkan. Sementara itu, TLDM mengambil kesempatan mengucapkan jutaan penghargaan kepada mantan WOON iaitu PW I TMK Muhamad Eizad bin Ramli di atas sumbangan yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan beliau khususnya ketika menjadi WOON keenam. Jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan beliau sentiasa dikenang.
Serah terima tugas Pegawai Waran TLDM di antara PW I TMK Muhamad Eizad bin Ramli dan PW I TLS (AQM) Mohamad Noorfazli telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Yang Berbahagia Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany pada hari ini. Panglima Tentera Laut telah memakaikan insignia dan menyerahkan tongkat simbol pemerintahan Pegawai Waran TLDM.
Sumber : Markas Tentera Laut
Artikel : Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Tentera Laut
Foto : LK TNL Mohd Badrul Hisham bin Che Hussin
LK PNK Khairul Najmi bin Ab Jabar
MARKAS TENTERA LAUT, WISMA PERTAHANAN, JALAN PADANG TEMBAK, 50634 KUALA LUMPUR
Emel : webmaster@navy.mil.my | Tel : (60)3-40160159
Best Viewed : Mozilla Firefox / Google Chrome / Microsoft Edge
COPYRIGHT | PRIVACY & POLICY | DISCLAIMER | SITE MAP