LUMUT, 27 Ogos – Seramai 25 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah dianugerahkan beret ungu yang merupakan kebanggaan Pasukan Khas Laut (PASKAL) dalam Majlis Penutup Kursus Asas PASKAL siri 70/21 di Pusat Latihan Kemahiran Air, Pangkalan TLDM Lumut.
Penuntut Kursus Asas PASKAL ini telah menjalani beberapa peringkat latihan yang menagih seluruh kekuatan mental dan fizikal setiap para peserta. Setiap penuntut perlu menyemat semangat juang dan keyakinan serta sikap profesionalisme yang tinggi bagi menghadapi setiap latihan mencabar agar dinilai benar-benar layak untuk memakai beret dan menjadi seorang anggota PASKAL.
Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany, Panglima Tentera Laut telah diberi penghormatan untuk menyempurnakan pemakaian beret ungu PASKAL kepada penuntut kursus yang berjaya menamatkan latihan tersebut. Penghormatan ini sejajar dengan usaha dan pahit getir yang dilalui 25 orang peserta dalam mengharungi segala ujian demi menjadi salah seorang anggota pasukan elit yang terbaik dan menjadi kebanggaan TLDM.
Kursus Asas PASKAL siri 70/21 telah dimulakan pada 12 April 21 merangkumi 5 peringkat iaitu pemanasan, kem, hutan, paya, dan laut dengan penyertaan seorang pegawai dan 96 anggota LLP dan hanya 25 orang anggota sahaja yang telah berjaya melepasi kursus ini. Senario ini membuktikan PASKAL adalah sebuah pasukan yang meletakkan kualiti berbanding kuantiti dalam memastikan warga baharu PASKAL adalah benar-benar layaku ntuk bergelar seorang anggota PASKAL sesuai dengan cogan kata, “Sentiasa Yang Terbaik”.
Antara ujian atau peringkat yang paling mencabar adalah merupakan Praktikal Tawanan Perang yang dapat memberi kesan dan pengalaman kepada setiap penuntut sekiranya ditawan atau ditangkap oleh musuh di lapangan. Latihan ini menyerapkan sifat berani dan kesetiaan terhadap setiap peserta untuk tidak sewenang-wenangnya menceritakan segala rahsia negara yang disimpan sebagai mana termaktub di dalam ikrar kesatria yang kelima iaitu 'menyimpan rahsia negara dengan seketat-ketatnya'. Selain itu, ujian ketahanan akhir mental dan fizikal tanpa henti yang dipanggil 'HELL WEEKS' selama 72 jam merupakan fasa ujian terakhir sebelum penuntut dinilai benar-benar layak memakai beret dan di iktiraf menjadi seorang anggota PASKAL.
Alah bisa tegal biasa buat LK II PRL Ismail Izhar bin Mohd Dapie berusia 22 tahun dari Ranau, Sabah telah dipilih sebagai penuntut terbaik dan fizikal terbaik kursus di atas penilaian terhadap anggota yang mempunyai tahap fizikal yang tinggi dan mampu menguasai diri dalam apa jua situasi serta cekap dalam mengendalikan senjata dan lulus dalam di setiap peringkat ujian dengan cemerlang.
Setinggi-tinggi tahniah kepada kesemua peserta yang telah berjaya menamatkan latihan. Semoga dengan kehadiran ahli baharu dalam pasukan elit TLDM ini dapat meneruskan legasi kecemerlangan dan kejayaan serta terus melakar sejarah gemilang di masa hadapan.
Sumber : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB
MARKAS TENTERA LAUT, WISMA PERTAHANAN, JALAN PADANG TEMBAK, 50634 KUALA LUMPUR
Emel : webmaster@navy.mil.my | Tel : (60)3-40160159
Best Viewed : Mozilla Firefox / Google Chrome / Microsoft Edge
COPYRIGHT | PRIVACY & POLICY | DISCLAIMER | SITE MAP