Kepten (B) Ir. Azhar Jumaat TLDM adalah Jurutera Profesional pertama dari rantau Asia yang dilantik sebagai ahli Bureau Veritas Naval Ship Committee(BV NSC) yang beribu pejabat di Paris, Perancis pada tahun 2015. Sehubungan itu, pelantikan beliau adalah satu kebanggaan kepada Malaysia dan TLDM.
Kepten (B) Ir. Azhar adalah mantan putera Maktab Tentera Diraja (MTD). Selesai pengajian di MTD, Kepten (B) Ir. Azhar telah terpilih menjalani latihan kadet di United States Coast Guard Academy(USCGA) pada tahun 1990. Seterusnya pada tahun 1994, beliau memasuki perkhidmatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
Berdasarkan kecemerlangan bertugas di KD LEKIR, pada tahun 1997 Kepten (B) Ir. Azhar telah dipilih khas sebagai ahli Pasukan Projek perolehan kapal Korvet di Itali. Kepten (B) Ir. Azhar pada ketika itu hanya berpangkat Leftenan TLDM. Justeru, beliau melakar sejarah sebagai pegawai termuda di dalam sejarah TLDM dilantik sebagai ahli Pasukan Projek perolehan kapal baharu.
Kepten (B) Ir. Azhar amat menekankan peningkatan pengetahuan dan tahap profesionalisme di dalam perkhidmatan. Pada tahun 2002, Kepten (B) Ir. Azhar berjaya memperolehi biasiswa berprestij Chevening Scholarshipdari Kerajaan United Kingdom untuk pengajian Sarjana Maintenance Engineering & Asset Management di University of Manchester. Seterusnya pada tahun 2011, Kepten (B) Ir. Azhar telah berjaya menamatkan pengajian di Centre for Defense and Strategic Studies (CDSS), Australia dan memperolehi Sarjana di dalam bidang Strategic Studies dari Deakin University. Di atas kejayaan ini, Kepten (B) Ir. Azhar sekali lagi menempa sejarah sebagai pegawai jurutera TLDM yang pertama menamatkan pengajian di peringkat strategik di CDSS Australia, dimana amnya ia dikhususkan kepada bakal Laksamana di dalam TLDM.
Pada tahun 2016, Kepten (B) Ir. Azhar telah memohon untuk bersara awal dari perkhidmatan TLDM. Terkini, beliau telah mengambilalih tugas sebagai Pengarah Projek Littoral Combat Ship (LCS) TLDM.
Kejayaan, pencapaian dan sumbangan Kepten (B) Ir. Azhar Jumaat TLDM adalah amat membanggakan TLDM dan telah mengharumkan nama Malaysia. Ianya wajar dijadikan contoh serta inspirasi kepada warga Navy People.
Sumber : RMN Chief Engineer Office, Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut Artikel : Laksda Datuk Ir. Ts. Mohd Shaiful Adli Chung Foto : Kepten (B) Ir. Azhar Jumaat TLDM
MARKAS TENTERA LAUT, WISMA PERTAHANAN, JALAN PADANG TEMBAK, 50634 KUALA LUMPUR Emel : webmaster@navy.mil.my | Tel : (60)3-40160159
Best Viewed : Mozilla Firefox / Google Chrome / Microsoft Edge