Image
Image
Image

Select your language

INS RANVIJAY, INS KORA, KD LEKIU dan KD JEBAT melaksanakan manuvra taktikal

LUMUT, 6 Sep – TLDM bersama Tentera Laut India (TLI) terus menyemarakkan hubungan kerjasama pertahanan yang sedia utuh terjalin melalui Passage Exercise (PASSEX) di perairan Selat Melaka hari ini.

Eksesais yang berlangsung melibatkan 3 buah aset oleh TLDM, iaitu KD LEKIU, KD JEBAT serta helikopter Super LYNX bersama 2 buah aset TLI iaitu INS RANVIJAY serta INS KORA. Terdahulu kedua-dua aset TLI ini sedang melaksanakan pelayaran pulang ke negara asal selesai misi penugasan keselamatan maritim di sekitar Laut China Selatan yang merupakan sebahagian daripada dasar ‘Act East’ TLI dalam usaha memperluaskan kerjasama pertahanan antara New Delhi dengan negara serantau.

Matlamat eksesais telah diterjemahkan melalui beberapa siri latihan yang direalisasikan meliputi manuvra taktikal, pengoperasian bot dan sail pass. Kelangsungan latihan yang lancar tanpa sebarang insiden jelas menggambarkan sikap profesionalisme, keupayaan dan ketersediaan warga kedua-dua angkatan laut.

Selain komited terhadap keselamatan maritim dan kerjasama pertahanan negara rantau ini, TLDM akan terus memanfaatkan setiap peluang beroperasi bersama angkatan laut sahabat dalam memacu ketersediaan warga untuk melindungi serta mempertahankan kepentingan maritim negara pada sebilang masa.

Sumber : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB

 

Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image