Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan
menyempurnakan pemakaian pangkat Laksamana Datuk Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 27 Jan - Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Panglima Tentera Laut telah diadakan di Auditorium Wisma Pertahanan hari ini. Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman bin Ayob telah dinaikkan ke pangkat Laksamana dan sekaligus dilantik sebagai Panglima Tentera Laut Ke-18 menggantikan Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany yang akan bersara.

Pelantikan Laksamana Datuk Abdul Rahman sebagai Panglima Tentera Laut telah menjadikan beliau sebagai pegawai submariner pertama yang memegang tampuk pemerintahan TLDM.

Majlis tersebut telah disempurnakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz. Turut hadir barisan pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Antara jawatan yang pernah dipegang sepanjang perkhidmatannya termasuk Komander Angkatan Kapal Selam, Timbalan Ketua Misi Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao Filipina, Panglima Wilayah Laut 2, dan Panglima Armada Timur dan Timbalan Panglima Tentera Laut pada 2019.

Kerjaya beliau sebagai seorang Submariner bermula pada tahun 1993 apabila memperolehi lencana kepakaran kapal selam setelah menamatkan latihan kapal selam di HMAS PLATYPUS, Australia. Laksamana Datuk Abdul Rahman seterusnya menjalani Latihan Pengenalan Kapal Selam di Sweden pada tahun 1995 dan di Perancis pada 1999 serta berjaya menamatkan Kursus Asas Kapal Selam Kelas AGOSTA pada tahun 2006 di Perancis.

Dalam bidang sukan, Laksamana Datuk Abdul Rahman aktif dalam sukan tenis dan golf. Beliau telah mewakili TLDM dalam Sukan Antara Perkhidmatan pada tahun 2022 dan pasukan tenis TLDM muncul juara pada kejohanan tersebut.

TLDM mengucapkan penghargaan kepada Laksamana Tan Sri Mohd Reza sepanjang perkhidmatan beliau selama 42 tahun, terutamanya ketika memegang jawatan Panglima Tentera Laut sejak 30 November 2018. Laksamana Tan Sri Mohd Reza telah meneruskan usaha memodenkan armada TLDM walaupun menempuh pelbagai cabaran, lebih-lebih lagi apabila negara terkesan dengan pandemik COVID-19.

Namun, Laksamana Tan Sri Mohd Reza dan pihak pengurusan tertinggi TLDM dan ATM cekal mencari penyelesaian agar tahap kesiapsiagaan TLDM terus berada di tahap yang optimum dan berupaya untuk menggalas amanah mempertahankan kedaulatan maritim Malaysia.