KOTA KINABALU, 1 Jul - Upacara Perasmian Stesen Udara Kota Kinabalu (SUKK) dan SKUADRON 503 (SKN 503) telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK), Sabah, hari ini.

Beliau turut menyaksikan upacara pemakaian insignia Pegawai Memerintah yang telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany kepada Kepten Mohamad Zamri Ismail TLDM, Komander Udara SUKK dan Komander Hairul Afikin Tukimin TLDM, Pegawai Memerintah pertama bagi SKN 503.

SUKK merupakan unit pentadbiran, pengurusan logistik dan penguasa operasi penerbangan di Armada Timur. Stesen ini menguruskan aerodrome di PTKK dan memainkan peranan utama dalam pengoperasian pesawat helikopter TLDM serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar kekal efisien dan selamat.

Dua skuadron di bawah perintah operasinya ialah SKN 503 iaitu Helikopter Operasi Maritim (HOM) dan SKN 601 iaitu Unmanned Aerial System (UAS). SKN 503 berperanan sebagai unit barisan hadapan yang mengoperasikan HOM AW13.
Dua helikopter pertama telah diterima sekitar April 2022 dan yang ketiga dijangka akan tiba menjelang September 2022.

HOM yang bernaung di bawah Markas Pemerintahan Armada Timur akan memperkukuhkan lagi kekuatan inventori TLDM di Armada Timur serta bakal memperkasa pengawasan udara di perairan maritim Sabah dan Sarawak.

Selain pengoperasian maritim, HOM mampu melaksanakan penguatkuasaan udara Zon Eksklusif Ekonomi (ZEE) Malaysia Timur selain menjalankan tugasan Maritime Domain Awareness, Pengesanan Sasaran, Operasi Pasukan Khas serta bantuan dalam operasi Mencari dan Menyelamat.

Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Tentera Laut