KOTA KINABALU, 1 Jul - Sejarah tercipta buat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) khususnya kepada warga wanita TLDM dengan terlaksananya Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TLDM melibatkan Laksamana Pertama Rohana binti Jupri yang dinaikkan ke pangkat Laksamana Muda berkuatkuasa 1 Julai 2022. Ia sekali lagi menjadikan beliau pegawai wanita TLDM pertama yang dinaikkan ke pangkat Laksamana Muda.

Majlis pemakaian pangkat ini telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany.

Pemakaian pangkat Laksamana Muda Rohana binti Jupri yang kini memegang jawatan sebagai Asisten Ketua Staf Materiel di Markas Tentera Laut telah meletakkan beliau di barisan hadapan dalam kepimpinan Jawatankuasa Laksamana (JLAKS) yang telah dianggotainya sejak 18 Disember 2020.

Sebelum ini beliau merupakan pegawai wanita pertama TLDM yang dinaikkan ke pangkat Kepten TLDM (27 September 2017) dan Laksamana Pertama (18 Disember 2020). Kenaikan pangkat ini membuktikan kemampuan dan kredibiliti warga wanita TLDM diiktiraf oleh pengurusan tertinggi. Ianya juga sebagai tanda penghargaan TLDM terhadap usaha dan kemampuan yang ditunjukkan oleh beliau sekali gus memberi tanggungjawab untuk melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi dan cemerlang.

Peranan warga wanita TLDM kini semakin diketengahkan dan penyertaan wanita dalam TLDM juga telah meliputi semua kepakaran utama yang ada dalam TLDM iaitu Eksekutif, Bekalan dan Kejuruteraan. Ruang dan peluang sentiasa diberikan kepada warga wanita TLDM untuk memegang jawatan-jawatan utama, sama pentingnya dengan warga TLDM yang lain.

Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Tentera Laut