Kementerian Kewangan menerusi arahan bertarikh 15 Julai 2022 telah menyarankan semua agensi Kerajaan melaksanakan langkah penjimatan. Saranan ini disambut baik oleh Depot Senggara Armada Barat (DSAB) dengan meningkatkan keupayaan pembaikan peralatan kapal TLDM secara in-house. Hasil inisiatif ini, pihak Depot telah berjaya menghasilkan penjimatan sebanyak RM1.6 juta sejak awal tahun hingga 31 Ogos tahun ini.

Penjimatan ini berjaya dicapai menerusi penggunaan peralatan bengkel yang dibekalkan melalui kontrak pembekalan snap tools oleh Markas Tentera Laut untuk aktiviti senggaraan. Pembekalan dan penggunaan peralatan ini merupakan turning point untuk memperkasa keupayaan in-house Depot bagi memenuhi aspirasi pucuk pimpinan TLDM terhadap usaha penjimatan.

Sehingga kini pendekatan memperkasakan bengkel telah memberi ROI (Return on Investment) yang baik kepada TLDM. Pencapaian ini juga seiring dengan pengiktirafan 5 Bintang (Cemerlang) terhadap Depot di dalam Audit Pengurusan oleh Markas Logistik Barat baru-baru ini. Sehubungan itu, Ketua Jurutera TLDM telah mengadakan lawatan kerja ke DSAB pada 4 Oktober 2022 bagi menilai peluang penambahbaikan.

Keberhasilan DSAB ini diharap menjadi pemangkin kepada the Navy People untuk menghasilkan inisiatif lain bagi penambahbaikan berterusan dalam setiap bidang demi kecemerlangan TLDM.

Sumber : Depot Senggara Armada Barat
Artikel   : Lt Dya Abdul Hakim bin Ahmad Fauzi TLDM
Foto      : Lt Dya Abdul Hakim bin Ahmad Fauzi TLDM