LUMUT, 1 Jan - Markas Pemerintahan Armada Barat di Pangkalan TLDM Lumut telah selesai melaksanakan Hari Terbuka Armada 2022 (HTA 2022) dari 29 hingga 31 Disember 2022 dengan jayanya. Acara yang secara tradisinya dianjurkan bersempena dengan Hari Ulang Tahun TLDM pada 27 April setiap tahun, telah disambut dengan meriah setelah tidak dapat dilaksanakan selama tiga tahun berturut-turut berikutan Pandemik COVID-19 yang melanda.

Bertemakan “TLDM Siaga Kedaulatan Terpelihara – Kedaulatan Tanggungjawab Bersama”, objektif penganjuran HTA 2022 sebagai instrumen mengeratkan hubungan TLDM dengan masyarakat berjaya dicapai selain mempromosikan peranan agensi maritim negara serta TLDM dan Armada Barat khususnya dalam melindungi kedaulatan, integriti wilayah dan kepentingan maritim negara.

Pengunjung turut berpeluang untuk melawat kapal-kapal perang TLDM serta menyaksikan pelbagai demonstrasi melibatkan aset TLDM termasuklah demonstrasi bersama agensi-agensi sahabat iaitu Tentera Udara Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin. Ketiga-tiga agensi tersebut turut terlibat dengan pameran statik bersama-sama agensi keselamatan yang lain seperti Tentera Darat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan BOMBA, Kastam dan Imigresen. Turut menjayakan acara ini adalah pameran daripada agensi kerajaan yang lain seperti Agensi Anti Dadah Kerajaan, Jabatan Penjara, Kementerian Kesihatan Malaysia, Lembaga Air Perak, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Perak dan Majlis Perbandaran Manjung. Pameran turut melibatkan institusi kewangan seperti Bank Rakyat, Bank Islam, Affin Bank, CIMB dan Bank Muamalat serta badan-badan korporat seperti PERNAMA, Koperasi Tentera, Pertubuhan Amal Kita Kinta Perak, institusi pendidikan seperti UniKL (MIMET) dan Universiti Teknologi Petronas serta syarikat-syarikat swasta dari sektor hartanah, telekomunikasi dan automobil.

HTA 2022 juga mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila Upacara Penganugerahan Lencana Sayap Penerbangan Kehormat dan Beret Kehormat PASKAL kepada Yang Berbahagia Panglima Tentera Laut turut dilaksanakan dan ditayangkan secara langsung kepada pengunjung. Penganugerahan ini sempena mengenang jasa Yang Berbahagia Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany memperkasakan Cawangan Udara TLDM dan juga PASKAL sepanjang pemerintahan beliau.

HTA 2022 yang telah dirasmikan oleh Panglima Tentera Laut, Yang Berbahagia Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany berjaya mencatatkan seramai 91,574 pengunjung. TLDM merakamkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pengunjung serta agensi kerajaan, badan korporat dan syarikat swasta yang telah terlibat sama ada sewaktu demonstrasi atau pameran sepanjang HTA 2022 di atas sokongan dalam menjayakan serta memeriahkan sambutan pada kali ini.