LUMUT, 9 Jan – Menteri Pertahanan (MENHAN), Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan telah melaksanakan lawatan kerja ke Pangkalan TLDM Lumut pada 8 dan 9 Januari 2023.

Lawatan kerja ini telah membolehkan beliau melihat sendiri keupayaan dan kesiapsiagaan aset-aset TLDM. Dalam masa yang sama beliau turut dapat melihat kemudahan kediaman dan fasilitas di pangkalan selain meluangkan masa menyantuni warganya.

Sebaik tiba di Pangkalan TLDM Lumut petang 8 Januari, beliau telah melawat KD LAKSAMANA TAN PUSMAH. Di sini beliau dapat melihat sendiri kondisi kapal yang telah berbakti selama lebih suku abad dalam mengawal dan melindungi kedaulatan perairan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa keupayaan kapal-kapal yang berusia sepertinya sedang menerima kesan langsung akibat kelengkapan dan peralatan utama yang mengalami keusangan. Keadaan ini menjadi cabaran kepada TLDM dan perlu diberikan perhatian yang serius.

Pada 9 Januari, YB MENHAN telah meninjau perkembangan projek pembinaan kapal jenis Littoral Combat Ship (LCS) di Boustead Naval Shipyard yang telah lama tergendala. Kelewatan siap kapal-kapal LCS tersebut memberi impak yang besar kepada keupayaan Armada TLDM secara keseluruhannya, terutama dalam aspek peperangan maritim. Ternyata beliau amat memandang serius terhadap kemajuan projek ini dan mahu menentukan ia dapat disiapkan mengikut pelan mobilisasi yang telah diputuskan.

Prihatin dengan kebajikan warga angkatan tentera, YB MENHAN turut meluangkan masa untuk melawat blok-blok kediaman di pangkalan ini. Beliau telah dibawa melihat keadaan sebahagian daripada blok kediaman berusia lebih 40 tahun yang perlu dibaik pulih secara berperingkat demi keselesaan dan keselamatan penghuninya. Dalam pada itu, kesempatan itu turut digunakan untuk menyantuni keluarga warga pangkalan sambil menyampaikan sumbangan peralatan sekolah yang disediakan oleh Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera. Semoga menjadi penyuntik semangat buat anak-anak ini untuk belajar dengan lebih gigih lagi.

Seterusnya YB MENHAN telah berkunjung ke KD PANGLIMA GARANG, iaitu Pusat Latihan Pasukan Khas Laut (PASKAL). Beliau didedahkan dengan rejim latihan keras yang perlu dilalui oleh setiap anggota PASKAL dan melihat demonstrasi keupayaan pasukan elit tersebut serta menguji cuba senjata sniper.

Lawatan kerja YB MENHAN turut melibatkan demonstrasi di laut di mana beliau telah menaiki pesawat EC725 TUDM dan mendarat di KD LEKIU yang sedang belayar di laut bersama-sama dengan KD JEBAT, KD GAGAH SAMUDERA, KD LAKSAMANA HANG NADIM dan KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL. Beliau telah didedahkan dengan aspek peperangan maritim, situasi terkini keupayaan dan kesiapsiagaan Armada TLDM, dan menyaksikan demonstrasi penembakan meriam oleh kapal-kapal terlibat.

Kesediaan YB MENHAN untuk turun padang melihat sendiri dan mendalami pelbagai aspek keupayaan dan kesiapsiagaan Armada TLDM dan kebajikan warga di Pangkalan TLDM Lumut amat bermakna kepada seluruh The Navy People. Semoga ia menjadi pemangkin kepada usaha menyediakan sebuah angkatan laut yang siaga, berupaya dan ampuh dalam memelihara kedaulatan perairan tanahair yang tercinta ini.