KOTA KINABALU, 11 Jan - Seawal 6.30 pagi, seramai 322 warga yang terdiri daripada Pegawai dan Anggota Lain-lain Pangkat mula mempersiapkan diri bagi mempamerkan persembahan kawad terbaik dalam Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany.

 

Perbarisan yang terdiri daripada 10 platun ini telah dipimpin Pegawai Perbarisan, Komander Mohd Faries bin Mohd Nasir TLDM serta dibantu Pegawai Waran Perbarisan, PW I TMK Mohd Ashabul Yameen bin Md Dun. Ia turut diiringi dengan alunan muzik daripada Pancaragam TLDM Timur.

Mencipta kelainan kali ini, perbarisan penuh istiadat ini turut melibatkan lintas hormat daripada Skuadron 503 yang menerbangkan ketiga-tiga Helikopter Operasi Maritim (HOM). Gimik letupan yang dikendalikan oleh Tim Juruteknik Peluru Depot Peluru dan Bahan Letupan Timur (DPLT) turut menggamatkan suasana perbarisan.
Kesemua warga mempamerkan kesegakan dan disiplin yang tinggi dalam perbarisan ini. Sebagai menghargai jasa bakti Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany, simbolik turut dibentuk oleh warga.

Usai perbarisan, Panglima Tentera Laut dan isteri, Puan Sri Dato' Indera Maslina binti Ismail diraikan dalam majlis ramah mesra bersama warga Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Dewan Sepanggar. Panglima Tentera Laut telah menzahirkan ucapan penghargaan beliau kepada Navy People yang telah memberi sokongan dan kepercayaan kepada beliau dalam menerajui Tentera Laut Diraja Malaysia selama 4 tahun 2 bulan.

Seterusnya, Perbarisan Kapal atau Fleet Review telah dilaksanakan di sekitar Perairan Kota Kinabalu. Acara tradisi ini telah melibatkan 14 buah kapal TLDM yang beroperasi di Sabah termasuk Kapal Selam TLDM iaitu KD TUNKU ABDUL RAHMAN. HOM turut membuat penampilan dengan melaksanakan lintas hormat bagi menzahirkan penghargaan kepada Panglima Tentera Laut ke-17 itu.