LUMUT, 26 Januari – Program Penghargaan Panglima Tentera Laut (PTL) bagi meraikan Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany telah berlangsung di Pangkalan TLDM Lumut dari 24 hingga 26 Januari 2023. Program ini disusun rapi bagi menzahirkan penghargaan The Navy People ke atas jasa bakti beliau yang telah menerajui TLDM selama empat tahun dua bulan sebagai Panglima Tentera Laut yang ke-17.

 

Ketibaan beliau bersama isteri, Puan Sri Dato’ Indera Maslina binti Ismail di Pangkalan TLDM Lumut pada 24 Januari telah disambut dengan demonstrasi keupayaan Armada TLDM yang melaksanakan Mini Operational Sea Training Exercise (OSTEX) di perairan Selat Melaka. Demonstrasi ini amat relevan kerana sepanjang menerajui TLDM, beliau memberi tumpuan khusus terhadap usaha memulihkan keupayaan Armada TLDM tatkala aset-asetnya dibelenggu dengan isu keusangan.

Sepanjang empat tahun menerajui TLDM, beberapa perolehan aset baharu telah berjaya direalisasikan termasuk 4 buah kapal Littoral Mission Ship (LMS), 6 buah Fast Combat Boat (FCB), 3 buah Helikopter Operasi Maritim (HOM) jenis AW139 dan 18 buah Unmanned Aerial System (UAS). Selain itu, beliau turut memperkenalkan konsep pemulihan keupayaan kapal-kapal secara Repowering dan Obsolescene Programme, serta pendekatan SMART Refit yang bertujuan untuk memendekkan tempoh baik pulih kapal di limbungan.

Pada pagi 25 Januari, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Laksamana (JLAKS) Khas yang dihadiri oleh semua ahli JLAKS. Di sebelah petangnya pula, beliau telah diberi penghormatan untuk merasmikan Menara Hunter 1894 di Lapang Sasar Abdul Samad, yang dibina khusus untuk melatih anggota penembak senyap (sniper) PASKAL. Menariknya, pembinaan menara ini adalah cetusan idea Laksamana Tan Sri Mohd Reza sendiri yang sememangnya meminati sukan menembak. Beliau turut beraksi mempamerkan kehebatannya menembak sasaran sejauh 600 meter dengan tepat. Di sebelah malamnya, Majlis Makan Beradat telah diadakan di Wisma Samudera, yang dilaksanakan dengan penuh istiadat dan tradisi tentera laut.

Bak kata pujangga, di sebalik kejayaan dan pencapaiannya, ada seorang wanita hebat yang menyokong beliau iaitu Puan Sri Dato’ Indera Maslina binti Ismail. Beliau yang juga Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Angkatan Tentera TLDM (BAKAT Laut) turut sama diraikan. Beliau juga telah berkesempatan mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi BAKAT Laut buat kali terakhir. Prihatin dengan kebajikan warga TLDM, beliau telah meluangkan masa untuk melawat wad pesakit di 96 Hospital Angkatan Tentera, Lumut dan menyampaikan sumbangan. Kesempatan ini turut digunakan oleh ahli BAKAT Laut di Lumut untuk menzahirkan penghargaan mereka kepada Puan Sri Maslina melalui majlis ramah mesra yang telah diadakan di Pusat Pembangunan Wanita. Semoga jasa dan bakti beliau akan terus tersemat di sanubari warga dan keluarga The Navy People.

Pada 26 Januari, Istiadat Perbarisan Penghargaan PTL telah berlangsung di Padang Kawad KD PELANDOK yang disertai seramai 26 pegawai dan 538 anggota, membentuk lapan kontinjen dan dua divisyen, diketuai oleh Komander Mohd Lokman bin Baijuri TLDM, Pegawai Memerintah KD LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN serta diiringi oleh Pancaragam Pusat TLDM dan KD PELANDOK. Ketibaan Laksamana Tan Sri Mohd Reza bersama Puan Sri Maslina telah disambut dengan tabik hormat yang turut diiringi oleh terbang lintas hormat oleh sembilan buah pesawat TLDM jenis Fennec, Super Lynx dan AW139 yang diketuai oleh Lt Kdr Mohd Nazrin bin Shahari TLDM. Bagi mengabadikan episod bersejarah ini, The Navy People yang menyertai perbarisan telah disusun membentuk tulisan VMT CN-17 (Very Many Thanks 17th Chief of Navy) sebagai tanda penghargaan kepada beliau.

Usai perbarisan, Laksamana Tan Sri Mohd Reza telah berpeluang beramah mesra bersama warga Pangkalan TLDM Lumut di Auditorium M. Sidek Shahbuddin. Ia diikuti dengan acara Street Lining yang disertai lebih 1600 orang warga Pangkalan TLDM Lumut termasuk kakitangan awam, bagi mengucapkan terima kasih dan penghargaan mereka kepada Tan Sri Mohd Reza dan Puan Sri Maslina atas jasa bakti dan sumbangan mereka berdua sepanjang menerajui TLDM.

Program Penghargaan PTL ini diakhiri dengan istiadat Perbarisan Armada (Fleet Review) yang diadakan di perairan Pulau Pangkor, Lumut. Pemilihan KD LEKIU sebagai kapal pemeriksa (reviewing ship) adalah sangat bertepatan kerana Tan Sri Mohd Reza pernah bertugas sebagai Pegawai Memerintah kapal ini dari 23 Mei 2002 hingga 31 Mei 2003. Perbarisan Armada ini telah disertai oleh 15 buah kapal, 5 buah Fast Combat Boat (FCB), 15 buah Rigid-Hulled Inflatable Boat (RHIB) dan 8 pesawat helikopter.

Sebaik berlepas dari KD LEKIU dengan pesawat HOM, Laksamana Tan Sri Mohd Reza telah terbang melintasi Pangkalan TLDM Lumut, dan menyaksikan formasi FWFS CN-17 (Fair Winds & Following Seas; 17th Chief of Navy) yang dibentuk oleh The Navy People di Stadium TLDM sebagai tanda ucap selamat buat beliau yang akan bersara.

Berdayung sampan ke hujung tanjung
Hendak membeli tikarlah rotan
Budi dikenang bakti disanjung
Kekal subur dalam ingatan

Fair Winds & Following Seas
Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany & Puan Sri Dato’ Indera Maslina binti Ismail
Terima Kasih & Selamat Bersara