TRANSFORMASI CAWANGAN PRASARANA MARKAS TENTERA LAUT

KUALA LUMPUR, 5 Jul - Benih yang baik, dicampak ke laut menjadi pulau, dilontar ke langit menjadi bintang, jatuh kedaratan menjadi pohon berbuah nan rendang, Mutiara kata yang sesuai diungkapkan untuk Kept Ahmad Azrul bin Maridan TLDM Mantan Pengarah Cawangan Prasarana Markas Tentera Laut.
Mulai 5 Julai 2021, Kept Ahmad Azrul bin Maridan TLDM merupakan pegawai terakhir yang bergelar Pengarah di Cawangan Prasarana. Cawangan kini diterajui oleh Kdr Rosli bin Mokri TLDM dan bergelar Ketua Prasarana. Dengan kelayakan akademik Kejuruteraan Awam dan telah berkhidmat selama hampir 21 tahun serta berpengalaman melaksanakan tugas-tugas selenggaraan dan pengawasan projek infrastruktur, pelantikan Kdr Rosli bin Mokri TLDM adalah tepat dan bersesuaian.
Kept Ahmad Azrul bin Maridan TLDM mencatat sejarah sebagai Pegawai dari Cawangan Kejuruteraan yang pertama menjawat jawatan Pengarah Prasarana. Walaupun beliau berkepakaran Kejuruteraan Elektrik dan Senjata, namun hasil usaha gigih dan sikap tidak malu untuk bertanya telah berjaya membantu beliau dalam menerajui cawangan yang berkaitan dengan Kejuruteraan Awam. Sifat dedikasi dalam menjalankan tugas dan tegas dalam membuat keputusan serta berkerjasama dalam satu kumpulan merupakan rahsia kejayaan beliau sepanjang menerajui Cawangan Prasarana.
Menyelusuri arus pembangunan negara ketika ini, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak terkecuali dalam memodenkan infrastruktur untuk warga Navy People khasnya dan kepentingan kedaulatan amnya. Cawangan Prasarana di bawah naungan Asisten Ketua Staf Perancangan Pembangunan telah berjaya mengawal selia setiap projek-projek pembangunan semasa dan perancangan pembangunan untuk masa hadapan seiring kemajuan pertahanan negara serantau.
Sesungguhnya kepimpinan tertinggi TLDM sentiasa menambah baik modal insannya demi meningkatkan motivasi warganya disamping mengukuhkan keupayaan serta kesiagaan TLDM
Sumber : Cawangan Prasarana Markas Tentera Laut
Artikel : PW I TMS Anuar bin Sahran
Foto : LK II TNL Meor Azraei bin Meor Abbas