






KUALA LUMPUR, 15 Dis – Kejohanan Bola Sepak Antara Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2025 yang berlangsung di Stadium MINDEF melabuhkan tirainya hari ini, yang menyaksikan pertembungan antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam dua kategori, iaitu Kategori Pegawai dan Kategori Terbuka.
Saingan Kategori Pegawai menyaksikan perlawanan yang sengit dan TLDM terpaksa akur kepada TDM dengan kekalahan tipis 0-1. Walaupun keputusan tidak memihak kepada TLDM, aksi yang dipamerkan jelas mencerminkan semangat juang serta profesionalisme tinggi kedua-dua pasukan.
Namun, kebangkitan TLDM dalam Kategori Terbuka menjadi tumpuan utama kejohanan apabila mereka berjaya menewaskan TDM dengan keputusan 2-1. Kemenangan penuh bermakna itu sekali gus membolehkan TLDM dinobatkan sebagai Juara Kategori Terbuka, menutup kempen kejohanan dengan penuh bergaya.
Prestasi cemerlang pasukan TLDM turut diserlahkan melalui kejayaan individu pemain-pemainnya yang mendominasi anugerah utama kejohanan.
Penerima Anugerah Kategori Terbuka
Pemain Terbaik:
LK JJM Che Amirul Hafiz bin Che Mohd Zin
Penjaring Terbanyak:
LK PRL Muhammad Hairul Iqmal bin Mohd Raffi
Penjaga Gol Terbaik:
LK PGM Mohamad Faizal bin Hussin
Sementara itu, dalam Kategori Pegawai, anugerah Penjaring Terbanyak menjadi milik Lt Nur Najib bin Sharir Zaaba TLDM, sekali gus mengukuhkan lagi pencapaian TLDM pada kejohanan kali ini.
Sebagai kejohanan terakhir dalam kalendar Sukan Antara Perkhidmatan ATM 2025, penganjuran ini bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat, malah berperanan penting dalam menyemai semangat kesukanan, memperkukuh hubungan silaturahim serta meningkatkan kerjasama strategik antara warga Angkatan Tentera Malaysia.
Kejohanan ini jelas membuktikan bahawa semangat kesukanan mampu menjadi jambatan perpaduan, selari dengan nilai teras ATM dalam membina pasukan yang berdaya saing, berdisiplin dan bersatu padu.
MARKAS TENTERA LAUT, WISMA PERTAHANAN, JALAN PADANG TEMBAK, 50634 KUALA LUMPUR
Emel : webmaster@navy.mil.my | Tel : (60)3-40160159
Paparan Terbaik : Mozilla Firefox / Google Chrome / Microsoft Edge
HAKCIPTA | DASAR & PRIVASI | PENAFIAN | PETA LAMAN