Pelaksanaan latihan yang kerap dapat melahirkan warga TLDM yang lebih kompeten dan berilmu dalam menjalankan tugas
SANDAKAN, 14 Feb – Pelayaran Sandakan Readiness Exercise (SREX) yang melibatkan kapal-kapal di Tambatan Pangkalan Sandakan (TPS) diteruskan lagi pada minggu ini sebagai usaha Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) dalam menilai dan seterusnya meningkatkan tahap kompetensi warga armadanya.
SREX yang disasarkan dilaksanakan sekurangnya sekali dalam setiap minggu ini merupakan salah satu medan bukan sahaja kepada Tim Penilai untuk mengetahui sejauh mana pengetahuan dan kemahiran warga kapal, ianya juga dijadikan peluang kepada pegawai-pegawai muda yang diperjawatkan di kapal dalam menggilap kemahiran mereka terutamanya dalam aspek navigasi dan pengendalian kapal.
Di dalam pelayaran SREX kali ini, evolusi dan latihan yang dirangka lebih menjurus kepada menguji kompetensi Tim Anjungan sejajar dengan penekanan yang diberikan oleh pucuk pimpinan TLDM di mana aspek navigasi antara perkara yang perlu dititikberatkan. Kesibukan dalam melaksanakan operasi-operasi di bawah tanggungjawab MAWILLA 2 tidak menghalang kepada seluruh warga armada MAWILLA 2 yang terlibat untuk memberikan kesungguhan yang tinggi dalam memastikan setiap evolusi dan latihan yang dijalankan mencapai sasaran yang dikehendaki.
Adalah diharap dengan pelaksanaan latihan sebegini dengan lebih kerap, ianya dapat melahirkan warga TLDM yang kompeten dan berilmu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab di kapal sama ada ketika waktu aman atau pun sebaliknya. Kesiapsiagaan armada tidaklah hanya diukur kepada kemampuan pengoperasian aset-aset malah ianya juga merangkumi aspek sumber manusia iaitu kemampuan, pengetahuan, dan kompetensi warganya semasa bertugas di kapal.
Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel : Lt Kdr Ahmad Fitri bin Osman TLDM
Foto : LK l TLR Ahmad Shukri bin Samad
MARKAS TENTERA LAUT, WISMA PERTAHANAN, JALAN PADANG TEMBAK, 50634 KUALA LUMPUR
Emel : webmaster@navy.mil.my | Tel : (60)3-40160159
Paparan Terbaik : Mozilla Firefox / Google Chrome / Microsoft Edge
HAKCIPTA | DASAR & PRIVASI | PENAFIAN | PETA LAMAN