Kibaran Bendera (Semaphore). Antara latihan bersama yang dilaksanakan antara KD YU dan BRP EMILIO JACINTO (PS 35)
SANDAKAN, 10 Feb – KD YU telah melaksanakan pertemuan bersama kapal Tentera Laut Filipina (TLF) BRP EMILIO JACINTO (PS 35) untuk menjayakan program Trilateral Maritime Patrol (TMP) Siri 3/20 yang dianjurkan di bawah inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) yang melibatkan kerjasama 3 buah negara Malaysia, Indonesia dan Filipina. Pertemuan kali ini telah dilaksanakan di sekitar garis sempadan maritim di antara Malaysia - Filipina. Kedua-dua buah kapal tersebut sedang melaksanakan rondaan di kawasan perairan negara masing-masing dan telah membuat pertemuan untuk Inisiatif Bertukar Maklumat (IBM).
Program kali ini telah bermula dengan KD YU yang diperintah Lt Kdr Hasanal Azwad bin Rusli TLDM bertemu dengan BRP EMILIO JACINTO yang diperintah oleh Kdr Aldrin A Gacusan PN. Kedua-dua Tim Pemerintah kapal telah mengadakan perbincangan operasi di mana perkongsian maklumat dilakukan khususnya dalam mengenal pasti kawasan tumpuan (hot spot) serta perancangan latihan dilaksanakan.
Sejurus selesai sesi perkongsian maklumat dan interaksi melibatkan kru kedua-dua buah kapal, latihan bersama di laut telah dimulakan. Antara latihan yang dilaksanakan adalah Manuvra Taktis (MANTAK), Kibaran Bendera (Semaphore), Publication Exercise (PUBEX) dan Replenishment at Sea Approach (RASAP). Kesemua latihan ini bertujuan meningkatkan keupayaan dan kemahiran warga kapal serta interoperabiliti di antara kedua-dua tentera laut.
Rondaan bersama dan pertemuan ini akan diteruskan untuk memudahcara pertukaran maklumat berkaitan ancaman semasa di kawasan persempadanan perairan kedua-dua buah negara berdasarkan insiden penculikan yang berlaku di perairan Pantai Timur Sabah baru-baru ini. Di samping dapat mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan, inisiatif rondaan TMP sebegini dilihat dapat meningkatkan keyakinan masyarakat setempat dan antarabangsa ke atas keupayaan negara Malaysia dan Filipina bersama Indonesia dalam mengurus isu keselamatan maritim terutamanya di Laut Sulu dan Laut Sulawesi. Selesai pertemuan, kedua-dua kapal tersebut kembali meneruskan rondaan di perairan negara masing-masing.
Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel : Lt Kdr Ahmad Fitri bin Osman TLDM
Foto : KD YU
MARKAS TENTERA LAUT, WISMA PERTAHANAN, JALAN PADANG TEMBAK, 50634 KUALA LUMPUR
Emel : webmaster@navy.mil.my | Tel : (60)3-40160159
Paparan Terbaik : Mozilla Firefox / Google Chrome / Microsoft Edge
HAKCIPTA | DASAR & PRIVASI | PENAFIAN | PETA LAMAN