Memerhati.. Latihan bagi tim anjungan KD SRI GAYA ketika Trilateral Maritime Patrol berlangsung
SANDAKAN, 19 Feb – Trilateral Maritime Patrol (TMP) yang dianjurkan di bawah inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) mencatatkan siri yang keempat bagi tahun 2020 apabila kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD SRI GAYA hari ini telah melaksanakan rondaan bersama kapal Tentera Laut Filipina (TLF) BRP EMILIO JACINTO (PS 35).
Program TMP kali ini telah dilaksanakan seawal jam 9.00 pagi dengan pertemuan BRP EMILIO JACINTO yang diperintah oleh Cdr Aldrin A Gacusan PN bersama KD SRI GAYA yang diperintah Lt Kdr Mohd Nor Fazli bin Mat Hassan TLDM. KD SRI GAYA telah merapat di sebelah lambung kiri BRP EMILIO JACINTO. Rondaan bersama dan pertemuan ini adalah bertujuan bagi perkongsian maklumat berkaitan ancaman semasa di kawasan persempadanan perairan kedua-dua buah negara termasuklah isu aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan, rompakan di laut, Kidnap For Rangsom Group (KFRG) serta Pendatang Tanpa Izin (PTI). Selain daripada itu, kedua-dua kru kapal mengadakan aktiviti crossdeck yang melibatkan lawatan ke tempat kerja masing-masing bagi mengenali tatacara dan prosedur yang diguna pakai oleh TLDM dan TLF.
Sejurus selesai sesi perkongsian maklumat dan interaksi melibatkan kru kedua-dua buah kapal, latihan bersama di laut telah dimulakan. Antara latihan yang dilaksanakan adalah Manuvra Taktis (MANTAK), Publication Exercise (PUBEX), Replenishment at Sea Approach (RASAP) dan Kibaran Bendera (Semaphore). Kesemua latihan ini bertujuan meningkatkan keupayaan dan kemahiran warga kapal serta interoperability di antara kedua-dua tentera laut.
Inisiatif rondaan TMP ini wajar diteruskan kerana ianya telah terbukti memberi manfaat yang baik dan impak yang sangat positif kepada komuniti maritim di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone) ini. Sungguh pun perairan kedua-dua buah negara masih lagi dicemari dengan kejadian penculikan, kedua-dua Pegawai Memerintah turut bersetuju inisiatif ini telah berjaya menurunkan kadar jenayah rentas sempadan dan dilihat dapat meningkatkan keyakinan masyarakat setempat dan antarabangsa ke atas keupayaan negara Malaysia dan Filipina dalam mengurus isu keselamatan maritim terutamanya di Laut Sulu dan Laut Sulawesi.
Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel : Lt Kdr Ahmad Fitri bin Osman TLDM
Foto : KD SRI GAYA
MARKAS TENTERA LAUT, WISMA PERTAHANAN, JALAN PADANG TEMBAK, 50634 KUALA LUMPUR
Emel : webmaster@navy.mil.my | Tel : (60)3-40160159
Paparan Terbaik : Mozilla Firefox / Google Chrome / Microsoft Edge
HAKCIPTA | DASAR & PRIVASI | PENAFIAN | PETA LAMAN