Panglima Armada Barat bergambar bersama Komuniti Blok C-32 di Landskap Taman FATAMA
LUMUT, 7 Jun 20 - Majlis perasmian landskap tumbuhan hijau di perkarangan Blok C-32, Kediaman Pegawai RKTLDM Lumut telah disempurnakan oleh Panglima Armada Barat Laksamana Madya Dato’ Aris Adi Tan bin Abdullah. Majlis telah dimulakan dengan lawatan tapak landskap oleh Panglima Armada Barat dan beliau turut berbesar hati menanam pokok ciku sebagai simbolik perasmian taman landskap tersebut. Menyusuli acara pada pagi itu, majlis penyampaian sijil penghargaan kepada penghuni dan ucapan oleh Panglima Armada Barat.
Ilham taman atau landskap yang diberi nama FATAMA telah dicetuskan daripada huruf pertama bagi nama setiap isteri bagi penghuni blok kediaman C-32 yang secara langsung terbabit dalam menghasilkan landskap tersebut. Pembinaan taman ini telah mula dirancang pada awal Mac hasil cetusan idea Panglima Armada Barat sendiri yang ingin melihat persekitaran kediaman yang lebih kondusif dan selesa. Penghasilan landskap ini juga amat bertepatan dan selari dengan saranan kerajaan negeri Perak, di mana pada 3 Mac 20 yang lalu, Hari Landskap Negara 2020 Negeri Perak telah berlangsung dan bertemakan ‘Generasi Muda Mencorak Landskap Negara’.
Disamping itu, dalam ucapan penghargaan kepada penghuni blok, Panglima Armada Barat turut menyuntik semangat kepada komuniti blok tersebut dengan menggalakkan mereka agar usaha murni ini diteruskan dengan konsisten serta mengambil semangat ‘Rumah ku Syurga Ku’ sebagai satu pemangkin untuk terus mengekalkan pemuliharaan ekosistem yang berkonsepkan landskap.
Selain itu, pembinaan taman ni juga merupakan satu dasar inisiatif bagi merapatkan hubungan jiran tetangga, mewujudkan tempat yang selesa untuk bersosial dengan jiran dan beriadah serta menyahut seruan “Green Navy”. Aktiviti merangka tapak di halaman hadapan blok telah mula dilaksanakan pada 13 Mei 20 iaitu 10 hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Kesemua penghuni blok kediaman telah berganding bahu memberikan kerjasama yang baik dalam menyiapkan pembinaan taman ini. Pelbagai jenis tanaman yang ditanam di taman ini termasuk pokok Cempaka, kelapa tacunan, bunga raya, Japanese Blossom, pokok rhu dan lain-lain. Pelbagai jenis tanaman lain turut dirancang akan ditambah bagi memeriahkan dan mencantikkan lagi taman ini pada masa akan datang.
Sumber : Pejabat IT Mk PL
MARKAS TENTERA LAUT, WISMA PERTAHANAN, JALAN PADANG TEMBAK, 50634 KUALA LUMPUR
Emel : webmaster@navy.mil.my | Tel : (60)3-40160159
Paparan Terbaik : Mozilla Firefox / Google Chrome / Microsoft Edge
HAKCIPTA | DASAR & PRIVASI | PENAFIAN | PETA LAMAN