Panglima Tentera Laut bersama delegasi bergambar di hadapan bangunan UPS TLDM Timur
LABUAN, 4 Jul – Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany diiringi oleh Panglima Armada Timur (PA Timur), Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Syed Zahrul Putra bin Syed Abdullah dan Panglima Logistik Timur (PANGLOG Timur), Laksamana Pertama Dato’ Pahlawan Affenddy bin Suhaimi telah melaksanakan Lawatan Ulung ke Unit Pengawasan Senggara TLDM Timur (UPS TLDM Timur) dan PSTL Labuan.
Ketibaan YBhg PTL di Pangkalan Udara Labuan telah disambut oleh Timbalan Panglima Logistik Timur - Kept Abd Razak bin Ahmad TLDM, PM UPS TLDM Timur, PM KD SELANGOR dan PM KD SERANG. Lawatan ini adalah bertujuan bagi melihat status senggaraan kapal dan melihat gambaran yang lebih jelas terhadap struktur Pangkalan TLDM Labuan.
Acara lawatan ini telah bermula di UPS TLDM Timur dengan Kawalan Kehormatan Kuarter dan taklimat oleh PM UPS TLDM Timur, Kdr Ir. Dr. Arman bin Ariffin TLDM. Seterusnya sesi bergambar dan lawatan di sekitar kawasan Pangkalan TLDM Labuan serta beberapa bangunan fasiliti yang terdapat di sini. Delegasi YBhg PTL kemudiannya dibawa melawat ke KD SELANGOR yang sedang menjalani Rutin Pasang Pulih di Labuan Shipyard and Engineering Sdn. Bhd. (LSE). Sebelum lawatan bermula, pihak limbungan telah mengadakan taklimat keselamatan dan seterusnya meninjau tahap selenggaraan kapal yang telah dilaksanakan oleh pihak limbungan.
Mengakhiri lawatan, YBhg PTL dan delegasi turut melawat KD SERANG yang juga sedang menjalani Rutin Pasang Pulih di Preston Shipyard Sdn. Bhd. dan meninjau kerja-kerja senggaraan kapal di limbungan.
Sumber : UPS TLDM Timur
Artikel : Lt Dya Mohd Amirul Fadly bin Jaunidi TLDM
Foto : PW U II Mohamad Khairul Redzuan bin Nyan
MARKAS TENTERA LAUT, WISMA PERTAHANAN, JALAN PADANG TEMBAK, 50634 KUALA LUMPUR
Emel : webmaster@navy.mil.my | Tel : (60)3-40160159
Paparan Terbaik : Mozilla Firefox / Google Chrome / Microsoft Edge
HAKCIPTA | DASAR & PRIVASI | PENAFIAN | PETA LAMAN