Image
Image
Image

Select your language


Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob telah dianugerahkan dengan Beret Kehormat Pasukan Khas Laut (PASKAL) dalam satu majlis di Kapal Diraja (KD) PANGLIMA GARANG (KDPG), Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pada hari ini.

Penganugerahan Beret Kehormat PASKAL yang ke-14 ini dianugerahkan kepada Panglima Tentera Laut bagi mengiktiraf kepimpinan, sumbangan, jasa yang telah dicurahkan dalam pembangunan keupayaan operasi dan latihan, infrastruktur, kelengkapan dan pembangunan organisasi PASKAL.

Selesai Penganugerahan Beret Kehormat PASKAL, Panglima Tentera Laut telah merasmikan tempat merempuh halangan dengan nama Rempuh Halangan ARBA 1989 yang baru siap dibina dan bertujuan untuk meningkatkan fizikal dan mental anggota PASKAL ke tahap maksimum.

Pembinaan rempuh halangan ini telah bermula pada September 2023 dengan kos keseluruhan RM439,410.60 dan terdiri daripada 13 halangan dengan jarak litar sejauh 1.15 kilometer. Rempuh halangan ini menekankan aspek kekuatan upper body yang sinonim dengan tugas PASKAL yang memerlukan daya ketahanan tinggi dan mencabar. Fasiliti ini juga dapat meningkatkan lagi nilai tambah keupayaan khas yang dimiliki TLDM.

Panglima Tentera Laut juga diberi penghormatan untuk menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret Ungu PASKAL kepada penuntut Kursus Asas PASKAL Siri 73/23 yang telah berjaya menamatkan kursus. Kursus ini telah bermula pada 11 September 2023 dengan penyertaan 87 pelatih yang terdiri daripada seorang Pegawai TLDM, 77 Anggota Lain-Lain Pangkat TLDM dan 9 Anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Setelah melalui 5 peringkat tahap latihan, hanya 17 orang pelatih yang terdiri daripada 14 anggota TLDM dan 3 anggota APMM sahaja yang berjaya melepasi ujian akhir kursus ini. Senario ini membuktikan PASKAL adalah sebuah pasukan yang mengutamakan kualiti dalam memastikan anggota adalah benar-benar layak untuk bergelar seorang anggota PASKAL sesuai dengan cogan kata, “Sentiasa Yang Terbaik” serta menjadi salah seorang anggota pasukan elit yang terbaik dan menjadi kebanggaan TLDM.

Panglima Tentera Laut dalam ucapan beliau telah menzahirkan penghargaan kepada warga Markas Pemerintahan Pasukan Khas Laut di atas usaha serta iltizam dalam melahirkan anggota PASKAL yang berkemahiran tinggi dan disegani.

Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image