LAKSAMANA MADYA DATO’ Ts. SHAMSUDDIN BIN HJ LUDIN
PSAT DSIS PAT JMN SDK KAT AMN PJM PPS PPA MMgt DS (UCAN) Grad Cert Maritime Studies (UoW) Dip HRM (OUM) ncc psc(j)
Laksamana Madya Dato’ Ts. Shamsuddin bin Hj Ludin telah dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Laut Ke-24 pada 19 November 2024. Beliau sebelum ini diperjawatkan sebagai Panglima Armada Barat yang Ke-27 sejak 18 Oktober 23 sehingga 18 November 24.
Dato’ Shamsuddin berasal dari Baling, Kedah dan telah menerima latihan awal di Kolej Tentera Laut seterusnya memasuki perkhidmatan dengan pangkat Leftenan Muda pada tahun 1989. Sepanjang perkhidmatan beliau selama 36 tahun, beliau telah memegang pelbagai perjawatan di peringkat taktikal, operasi mahupun peringkat strategik dan kepimpinan. Beliau juga pernah diberi tanggungjawab sebagai Pemerintah di kapal antaranya sebagai Pegawai Kanan Skuadron Penangkis Periuk Api Ke-26 semasa beliau memegang jawatan sebagai Pegawai Memerintah KD MAHAMIRU dan Pegawai Kanan Skuadron Frigat Ke-23 ketika beliau memegang jawatan Pegawai Memerintah KD JEBAT.
Bagi perjawatan di pangkalan, Dato’ Shamsuddin pernah memegang jawatan di Bahagian Perancangan dan Pembangunan, Markas Tentera Laut dimana beliau memainkan peranan penting dalam Program Transformasi dan Permodenan Armada TLDM. Beliau juga terlibat dalam mengetuai segmen Maritim ketika pameran Langkawi International Maritime and Aerospace (LIMA) serta mempunyai pengalaman yang luas dalam menguruskan penglibatan hubungan pelbagai hala. Perjawatan di peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula, Dato’ Shamsuddin pernah dilantik sebagai Ketua Pengarah Bahagian Siber Dan Elektromagnetik Pertahanan dimana beliau telah membimbing dan melaksanakan transformasi ke atas Bahagian Komunikasi dan Elektronik ATM.
Dato’ Shamsuddin telah memperolehi Ijazah Sarjana dalam Pengurusan dan Kajian Pertahanan dari Universiti Canberra, Australia dan Ijazah Sarjana dalam bidang Maritime Studies dari Universiti Wollongong, Australia. Beliau juga telah menamatkan pengajian Command and Staff College di Australia serta Naval Command Course U.S. Naval War College di Rhode Island. Beliau juga pernah menghadiri kursus Maritime Principal Warfare Officer di United Kingdom, Pengurusan Sumber Pertahanan di U.S. Naval Postgraduate School, Alumni of Strategic Courses di Cranfield University UK, USA Combined Force Maritime Component Commander Course, Kursus Anti Keganasan, Armament and Defence Economy for the Asia-Pacific Region di bawah kerjasama bersama French Institute for Higher Defence Studies.
Pada tahun 2021, beliau telah menerima anugerah Pakar Keselamatan Siber Tahunan oleh Cyber Security Malaysia sebagai pengiktirafan ke atas sumbangan dan inisiatif beliau dalam bidang keselamatan siber. Selain itu, beliau juga dilantik sebagai Profesor Adjung oleh Universiti Teknologi MARA Malaysia dan juga diiktiraf sebagai Profesional Teknologis oleh Lembaga Teknologi Malaysia.
Dato’ Shamsuddin telah mendirikan rumahtangga bersama Datin Nor Balkhissham dan dikurniakan 3 orang anak lelaki serta seorang anak perempuan.
LAKSAMANA MUDA DATO’ PAHLAWAN ABD HALIM BIN HJ SHAARI
PSAT DPTS PAT KAT AMN ACM AMP PJM PKN PPS PPA MSoc Sc DS (UKM) MStrat DS (BUP) Dip HRM (UM) Dip PSP (UM) mpat psc
Laksamana Muda Dato’ Pahlawan Abd Halim bin Hj Shaari dilahirkan pada 28 Julai 1966 di Kuala Kangsar Perak. Beliau telah memasuki perkhidmatan TLDM pada 01 September 1985 sebagai Pegawai Kadet pengambilan ke 34 dan telah ditauliahkan sebagai pegawai TLDM pada 01 September 1987.
Laksamana Muda Dato’ Pahlawan Abd Halim bin Hj Shaari telah menjawat jawatan sebagai Panglima Pendidikan dan Latihan pada 22 Jan 24. Sebelum ini beliau diberi amanah untuk memegang pelbagai jawatan penting di dalam TLDM antaranya ialah Inspektor Jeneral ATM, Asisten Ketua Staf Pentadbiran & Sekretariat, Pegawai Laksana Stesen Mike, Pegawai Laksana Markas Terumbu, Pegawai Laksana KD PERKASA, Pegawai Peperangan Utama KD KASTURA, Pegawai Laksana KD LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN, Pegawai Memerintah KD LAKSAMANA HANG NADIM, KPS Rancang dan Strategik Markas Armada, Pegawai Memerintah KD SULTAN IDRIS I, Pegawai Memerintah KD JEBAT, Pegawai Memerintah KD PELANDOK, Asisten Ketua Staf Siaga Markas Pemerintahan Kesiagaan TLDM, Asisten Ketua Staf Operasi Hadapan (OPHAD) MPA Barat dan Timbalan Ketua Misi TIM Pemantau Antarabangsa Mindanao 14.
Laksamana Muda Dato’ Pahlawan Abd Halim bin Hj Shaari telah mendirikan rumah tangga dengan Datin Dr Liliwati binti Ismail dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki. Beliau seorang yang aktif dalam kegiatan sukan dan pertukangan.
LAKSAMANA PERTAMA KAMALRULZAMAN BIN ZAINUL AHKMAR
PAT PMP KAT PPS PPA MNSA ndc
Laksamana Pertama Kamalrulzaman bin Zainul Ahkmar dilahirkan pada 27 Ogos 1971 di Ipoh, Perak. Beliau mula menyertai perkhidmatan TLDM pada 1 Julai 1992 dan telah terpilih untuk mengikuti International Midshipmen Course di Britannia Royal Naval College United Kingdom pada tahun 1993. Laksma Kamalrulzaman telah ditauliahkan dengan pangkat Lt Muda TLDM dalam Cawangan Eksekutif pada 2 Julai 1994 dan turut dianugerahkan pedang kehormat. Pencapaian akademik tertinggi beliau adalah Ijazah Sarjana dalam National Security Administration daripada National Defence College of the Philippines. Laksma Kamalrulzaman telah dilantik sebagai Panglima Angkatan Kapal Selam Ke-7 pada 28 Februari 2024.
Kecenderungan dalam kepakaran Kapal Selam bermula setelah Laksma Kamalrulzaman dihantar mengikuti Kursus Asas Kapal Selam di Golcuk, Turkiye pada tahun 1996 dan Submarine Familiarisation Course di Toulon, Perancis pada tahun 1997. Beliau juga turut mendapat kelayakan sebagai Pegawai Anti Kapal Selam setelah menamatkan Kursus Peperangan Anti Kapal Selam di HMS DRYAD, United Kingdom pada tahun 2000. Laksma Kamalrulzaman merupakan antara perintis perkhidmatan kapal selam di dalam TLDM apabila terpilih menjalani latihan sebagai Designated Submarine Personnel (DSP) di Ecole de Formation Sous-Marine, Brest, Perancis selama empat tahun bermula tahun 2005.
Sepanjang perkhidmatan, Laksma Kamalrulzaman telah diperjawatkan dengan beberapa jawatan penting di dalam TLDM antaranya, Pegawai Laksana KD SRI NEGERI SEMBILAN, KD SERAMPANG dan KD PARI, Pegawai Peperangan KD LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN dan KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL, Pegawai Laksana dan Pegawai Memerintah KD TUNKU ABDUL RAHMAN. Selain itu beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Staf Latihan Penyesuaian Laut, Markas Armada, Lumut, Perak dan sebagai Pegawai Memerintah Pusat Latihan Kapal Selam dan Ketua Staf mulai tahun 2019 hingga 2023 di dalam Angkatan Kapal Selam TLDM.
Laksma Kamalrulzaman telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Masliza binti Yunus dan dikurniakan tiga orang cahaya mata lelaki. Beliau aktif dalam sukan golf dan scuba diving.
LAKSAMANA PERTAMA AHMAD SHAFIRUDIN BIN ABU BAKAR
PAT KAT PJM PPS PPA MSoc Sc DS (UKM) MMaritimePol (UOW)Dip PSP (UM) mpat psc
Laksamana Pertama Ahmad Shafirudin bin Abu Bakar TLDM dilahirkan pada 10 Feb 1971 dan menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia pada tahun 1989 menerusi skim Pegawai Kadet Tentera Laut dan ditauliahkan sebagai Pegawai TLDM pada 1 Julai 1991. Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah diberikan kepercayaan untuk menyandang pelbagai jawatan penting antaranya sebagai Pegawai Laksana KD SRI NEGERI SEMBILAN 1993 hingga 1994, Pegawai Staf di Markas Tentera Laut, dan Pegawai Pemerintah KD LEKIR pada 2012 hingga 2014. Di samping itu, beliau juga adalah seorang Juruterbang Operasi yang berpengalaman dan telah diberikan amanat untuk mengalas tugas sebagai Komander Penerbangan dalam pelaksanaan pelbagai misi penerbangan. Beliau juga adalah Jurulatih Penerbangan yang bertanggungjawab di dalam membimbing juruterbang-juruterbang muda TLDM. Kerjaya sebagai Juruterbang juga telah memberi peluang kepada beliau untuk berkhidmat bersama Tentera Udara Diraja Malaysia dan Unit Udara Jabatan Bomba dan penyelamat Malaysia sebagai Juruterbang Operasi.
Setelah menamatkan pengajian di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera pada tahun 2015, beliau telah di perjawatkan di Bahagian Perancangan Pembangunan Markas Tentera Laut mulai Jan 2016. Beliau telah dinaikkan ke pangkat Laksamana Pertama pada 31 Mei 2018 dan kini menjawat jawatan sebagai Panglima Markas Udara TLDM mulai 12 Okt 2020.
Dari segi kelayakan akademik, Laksamana Pertama Ahmad Shafirudin merupakan graduan daripada Universiti Wollongong, Australia dalam bidang Master of Maritime Policy dan Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan menghadiri Kursus Royal College of Defence Studies (RCDS) di Seaford House London, United Kingdom. Beliau juga telah menghadiri pelbagai kursus peningkatan kerjaya selaras dengan keperluan perkhidmatan.
Beliau telah mendirikan rumahtangga bersama Puan Hayati binti Osman dan dikurniakan 3 orang cahayamata. Masa lapang Beliau di isi dengan aktiviti kekeluargaan seperti melancong di samping hobi membaca.
LAKSAMANA PERTAMA DATO' HJ MOHD REDZUAN BIN HJ TALIB
DSIS PAT KAT AMN PJM PNBB PPS PPA MSoc Sc (UKM) Dip PSP (UM) mpat psc
Laksamana Pertama Dato' Hj Mohd Redzuan bin Haji Talib TLDM dilahirkan pada 28 September 1967 di Mambau Negeri Sembilan. Beliau telah menyertai Tentera Laut pada 1 September 1985 setelah menamatkan pendidikan di Sekolah Menengah Mantin. Beliau menjawat jawatan sebagai Panglima Pasukan Khas Laut ke-4 pada 19 Februari 2020. Sepanjang berkhidmat, beliau telah memegang pelbagai perjawatan di darat termasuklah Pegawai Memerintah Pasukan Unit 1 dan 2, Pengarah Operasi Khas di Markas Angkatan Bersama dan perjawatan beliau adalah Ketua Staf Markas Wilayah Laut 3.
Laksamana Pertama Dato' Hj Mohd Redzuan telah mengikuti pelbagai kursus profesional dan ketenteraan sepanjang kerjayanya. Antaranya termasuk Kursus Advanced Clearance Diving di HMS PENGUIN Australia dan Kursus Komandan Kontinjen Operasi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Bangladesh. Beliau telah memperolehi Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik dari Maktab Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia.
Beliau juga memiliki berbagai pengalaman dalam melayani negara-negara lain seperti MINURSO Sahara Barat dan UNMIS Sudan sebagai pemerhati Tentera untuk misi menjaga keamanan PBB.
Laksamana Pertama Dato' Hj Mohd Redzuan telah berkahwin bersama Datin Hajah Hilda bt Mohd Nor dan dikurniakan 4 orang cahaya mata. Beliau sangat aktif bersukan dan mengisi masa lapang dengan melakukan aktiviti yang mencabar diri beliau di dalam sukan lasak dan bermain skuasy.
LAKSAMANA PERTAMA Dr. TAY YAP LEONG
PAT KAT KMN AAP PJM PPS PPA DMgt (UM) MSoc Sc DS (UKM) Dip PSP (UM) mpat psc
Laksamana Pertama Dr Tay Yap Leong memegang jawatan Panglima Selam dan Peperangan Periuk Api di Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MK SPPA). Beliau menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada tahun 1985 dan ditauliahkan sebagai Cawangan Eksekutif. Laksamana Pertama Dr Tay ialah seorang Penyelam Ranjau yang berkelayakan dari HMAS PENGUIN, Royal Australian Navy Diving School (1993), Laksamana Pertama Dr Tay layak untuk menyelam hingga 90 meter dari Australian Diving Accreditation Scheme (2007), dan Pakar Explosive Ordnance Disposal (EOD) yang lulus dari US EOD School (1996).
Laksamana Pertama Dr Tay memegang Ijazah Doktor Pengurusan dari Universiti Malaya (2022), Ijazah Sarjana dalam Pengajian Pertahanan Strategik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, dan telah menghadiri Maktab Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (2013). Dalam perkhidmatan selama 39 tahun, Laksamana Pertama Dr Tay telah menghadiri pelbagai kursus di dalam dan luar negara, termasuk Kursus Maritime Terrorism and Civil-Military Response to Terrorism Course di Naval Postgraduate School (NPS) di California, Amerika Syarikat (2011). Sepanjang perkhidmatannya, Laksamana Pertama Dr Tay telah dianugerahkan pelbagai pingat dan pengiktirafan, termasuk KMN, PAT, KAT, AAP, PPS, PPA, mpat, dan psc. Beliau juga pernah menjadi Pegawai Memerintah di beberapa buah kapal dan unit TLDM sepanjang perkhidmatannya. Laksamana Pertama Dr Tay telah berkahwin dengan Puan Soo Wat Kee dan dikurniakan tiga orang anak, seorang anak perempuan dan dua anak lelaki (Doktor Perubatan, Peguam dan Doktor Pergigian).
LAKSAMANA PERTAMA AZHAR BIN ADAM
PAT KAT KMN PJM PPS PPA MMgt DS (UCAN) MSoc Sc DS (UKM) MStrat DS (BUP) mpat ndc psc (j)
Laksamana Pertama Azhar bin Adam dilahirkan pada 24 Mei 1966 di Batu Pahat, Johor. Setamat sekolah menengah di Maktab Tentera Diraja dan pengajian kejuruteraan marin di Universiti Teknologi Malaysia, beliau telah ditauliahkan dalam perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia pada tahun 1988. Sepanjang perkhidmatan, beliau telah berkhidmat di kapal dan unit pangkalan serta menghadiri pelbagai kursus kerjaya tentera dan akademik. Beliau diperjawatkan sebagai Panglima Pasukan Simpanan TLDM pada 5 Jun 2024 setelah bertugas sebagai Timbalan Panglima Pendidikan dan Latihan TLDM.
Laksma Azhar bin Adam berkepakaran Peperangan Bawah Permukaan dan merupakan Pegawai Peperangan Bawah Permukaan KD LAKSAMANA HANG NADIM semasa kapal ditauliahkan di Itali pada tahun 1997. Selain itu, beliau juga pernah diperjawatkan di KD YU, KD KASTURI dan KD LEKIR. Beliau telah diberi pemerintahan tiga buah kapal iaitu KD LEMBING di Sandakan dan KD PERAK, kemudian KD PAHANG berpangkalan di Kuantan. Perjawatan di pangkalan yang pernah disandang ialah Juruiring kepada Panglima Armada, Pegawai Staf Peperangan Bawah Permukaan dan Pegawai Staf Eksesais di Markas Armada, Lumut, Pegawai Staf 1 Pengurusan Perkhidmatan Pegawai dan kemudian sebagai Pengarah Pembangunan Sumber Manusia di Markas Tentera Laut serta Ketua Staf di Markas Wilayah Laut 1. Pada tahun 2014, beliau diperjawatkan sebagai Ketua Staf Tim Pemantau Antarabangsa- Mindanao, Filipina. Laksma Azhar merupakan pegawai ATM yang pertama pernah diperjawatkan sebagai Juruarah di tiga buah institusi latihan tentera tertinggi di Malaysia iaitu Maktab Turus Angkatan Tentera (tahun 2006), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (tahun 2015) dan Maktab Ketahanan Nasional pada tahun 2019 sebagai Juruarah Laut yang pertama.
Laksma Azhar bin Adam telah menghadiri Kursus Asas Kapal Selam di Pakistan dan Australia, Long Torpedo Anti Submarine di Pakistan, krew kapal Korvet di Itali dan Search and Rescue bersama US Coast Guard di Amerika Syarikat. Beliau berkelulusan Australian Command and Staff College, Canberra pada tahun 2004, Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) tahun 2011 dan National Defence College Bangladesh, Dhaka pada tahun 2017. Beliau memegang Ijazah Sarjana Pengurusan (Pengajian Pertahanan) University of Canberra, Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarjana Strategi dan Pembangunan, Bangladesh University of Professional (BUP) dan Graduate Certificate in Maritime Studies dari University of Wollongong.
Laksamana Pertama Azhar bin Adam telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Khadijah binti Melan dan dikurniakan seorang puteri, Aida Yasmin. Hobi beliau ialah membaca dan melancong.
LAKSAMANA PERTAMA DATO' ROSLEE BIN MOHAMAD ISA
DSPN PAT SMS PCM PMP KAT KMN PJM PKN PPS PPA PSoc Sc (UKM) Dip PSP (UM) mpdrm psc
Laksamana Pertama DATO’ Roslee bin Mohamad Isa dilahirkan di Bukit Merah, Bagan Serai, Perak pada 8 Ogos 67. Beliau mula berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 4 Sep 85 dan seterusnya ditauliahkan sebagai Pegawai TLDM pada 5 Dis 87 dalam Senarai Tugas Am Cawangan Eksekutif. Atas kecemerlangan tugas, beliau terus meningkat dalam hierarki kepimpinan TLDM dengan menyandang pangkat Laksamana Pertama Kini beliau diperjawatkan sebagai Panglima Wilayah Laut 3 sejak 20 Jun 23.
Sepanjang perkhidmatan, beliau telah diperjawatkan dengan beberapa jawatan penting di kapal dan pangkalan diantaranya adalah Marsyal Provos Tentera Laut, Pegawai Memerintah Markas Pangkalan Lumut, Ketua Staf di Markas Wilayah Laut 3 dan Ketua Staf di Markas Bantuan TLDM, Asisten Marsyal Provos Lumut, dan Protela Labuan, Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA merangkap Pegawai Kanan Armada, Pegawai Memerintah KD TOMBAK, serta beberapa perjawatan penting yang lain.
Berkepakaran Perisikan, beliau berpeluang menghadiri beberapa kursus dan seminar seperti Kursus Undang-undang dan Pengadilan, Kursus Sarjana Kepolisan Sesi 2010/2011 di Maktab PDRM Kuala Lumpur dan Kursus Pemerhati Tentera PBB bersatu Siri 30/2007 (UNs Military Observers Course Serial 30/2007) di Pusat Latihan Pengaman Malaysia, Port Dickson. Dari segi akademik beliau adalah pemegang sijil Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Disebabkan oleh moral yang tinggi, serta pengetahuan pendidikan dan pengalaman yang luas, Laksamana Pertama Dato’ Roslee bin Mohamad Isa menjadi ikon yang baik kepada staf dibawah seliaannya.
Laksamana Pertama Dato’ Roslee bin Mohamad Isa berjodohan bersama Datin Noraisha Azura binti Norzan dan dikurniakan 3 orang anak. Beliau suka mengisi masa lapangnya dengan melakukan aktiviti sukan dan membaca buku. Beliau juga seorang penembak yang amat berbakat dan merupakan Pengerusi Persatuan Menembak ATM.
LAKSAMANA PERTAMA Ts. SHAIFUL BAHRI BIN BAHARUDDIN
PAT KAT KMN AMN PJM PPS PPA CEng CMarEng MSoc Sc DS (UKM) BEng Electrical (UTM) Dip Eng (Elect) (UTM) P.Tech Fellow Scholar (NDUM) mpat
Laksamana Pertama Ts. Shaiful Bahri bin Baharuddin dilahirkan pada 28 Februari 1967 di Seremban Negeri Sembilan. Beliau telah memasuki perkhidmatan TLDM pada 10 September 1985 sebagai Pegawai Kadet Universiti dalam bidang kejuruteraan elektrik dan telah ditauliahkan sebagai pegawai TLDM 14 Jun 1988. Beliau telah dinaikkan ke pangkat Laksamana Pertama pada 15 Jun 19 dan kini telah dilantik sebagai Panglima Logistik Barat yang kelima.
Sepanjang perkhidmatan, Laksamana Pertama Ts. Shaiful Bahri bin Baharuddin pernah diperjawatkan sebagai Pegawai Teknikal SKTLDM Kuantan, Pegawai Staf 3 WE B di Departmen Tentera Laut, Pegawai Staf 2 Persenjataan di Bahagian Logisitik Pembangunan Projek, Markas Tentera Laut , Pegawai Staf Kawalan Kualiti Markas Panglima Sistem Armada, Timbalan Pegawai Jurutera Elektrik KD JEBAT, Pegawai Memerintah SKTLDM Parit, Pegawai Sensor dan Persenjataan Pasukan Projek Angkatan Kapal Selam TLDM di Logistik CPP, Markas Tentera Laut, Pegawai Staf 1 Sistem Elektronik Dan Persenjataan MkTL (LOG CPP - SEL PPAKS), Pegawai Jurutera Elektrik dan Senjata KD JEBAT, Pegawai Jurutera Merangkap Pegawai Memerintah KD JEBAT, Pegawai Jurutera Elektrik dan Senjata KD JEBAT, Ketua Pegawai Staf NBCD/DCFF Markas Armada, Ketua Fakulti Kejuruteraan KD PELANDOK, Ketua Staf Markas Kejuruteraan TLDM, Pengarah Pengurusan Projek Peralatan di Bahagian Rancang CPP, Markas Tentera Laut dan seterusnya Ketua Pengarah Projek Littoral Combat Ship TLDM. Perjawatan terakhir beliau ialah Ketua Pengarah Pasukan Projek di Bahagian Perancangan dan Pembangunan (N5).
Beliau telah menghadiri pelbagai kursus kerjaya profesional dan akademik dalam dan luar negara seperti di Perancis, United Kingdom, Sweden dan Jerman. Dalam akademik, beliau memegang Diploma Elektrikal Komunikasi dan Ijazah Pertama dalam Kejuruteraan Elektrikal dan Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan).
Atas jasa bakti, Beliau telah dianugerahkan dengan beberapa Darjah Kebesaran/Pingat/Bintang iaitu Pahlawan Angkatan Tentera (PAT), Kesatria Angkatan Tentera (KAT), Kesatria Mangku Negara (KMN), Ahli Mangku Negara (AMN) dan Pingat Jasa Malaysia (PJM).
Beliau telah mendirikan rumah tangga bersama Puan Nurulizan binti Nordin dan dikurniakan 2 cahayamata lelaki dan seorang cahayamata perempuan. Beliau menghabiskan masa lapang dengan aktiviti riadah seperti bermain golf dan mengayuh basikal.
LAKSAMANA PERTAMA ZAHARRUDIN BIN MOHAMED YUSOP
PAT KAT AMN PPS PPA MSc Log (UOW) Dip BS (ITM) Dip Sc Log (USM) Dip PSP (UM) CMILT dssc psc
Laksamana Pertama Zaharrudin bin Mohamed Yusop lahir di Singapura pada tahun 1969. Belau telah memulakan kerjaya di dalam TLDM sebagai Pegawai Kadet Skim Graduan Pengambilan Ke 3 dan ditauliahkan pada 23 Jun 1994 dalam kepakaran Cawangan Bekalan dan Urusetia. Sehingga kini beliau telah berkhidmat di dalam Tentera Laut Diraja Malaysia selama 30 tahun.
Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau telah memegang pelbagai jawatan merangkumi bekalan, perakaunan, logistik dan juga pengauditan. Antara jawatan yang pernah disandang seperti Pegawai bekalan KD HANG TUAH, Pegawai Perakaunan di Depot Peluru dan Bahan Letupan TLDM, Pegawai Staf 1 Audit di Bahagian Audit Dalam dan Siasatan AM serta Pegawai Staf 2 Logistik di Markas Angkatan Bersama. Pada masa kini beliau menjawat jawatan sebagai Panglima Logistik Timur di Pangkalan TLDM Sepangar, Sabah.
Laksamana Pertama Zaharrudin sentiasa berusaha membina kerjaya yang cemerlang sebagai Pegawai Bekalan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di mana beliau memberi dedikasi dan profesionalisme yang teguh sepanjang bertugas. Peranan seorang Pegawai Bekalan adalah penting untuk memastikan kesiapsiagaan operasi TLDM dengan menguruskan logistik, perolehan, inventori, dan sumber kewangan, yang kesemuanya penting untuk menyokong operasi dan misi laut dengan berkesan.
Laksamana Pertama Zaharrudin turut mengikuti pelbagai kursus kepakaran dalam bidang logistik, ketenteraan, pengurusan dan pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Beliau berpeluang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana di salah satu Universiti di Australia melalui program Malaysian Australian Joint Defense Program (MAJDP) dan memperolehi Master of Science in Logistics. Beliau juga turut diberi peluang untuk menjalani kursus di PLA National Defense University Beijing, China dan memperolehi Masters in Defense Studies pada tahun 2024.
Laksma Zaharrudin telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Nor Hayati Bte Abd Razak dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki. Walaupun perlu bertugas di unit yang jauh dari keluarga, beliau tetap memberi komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tugas agar setiap kerja yang dilaksanakan memberi impak yang positif kepada tahap operasi TLDM dalam menjaga keselamatan perairan negara. Pada masa ini, beliau tinggal di Pangkalan TLDM Teluk Sepangar, Kota Kinabalu Sabah.
LAKSAMANA PERTAMA HJ JAMALUDIN BIN HJ SAIRI
PAT SMS KAT PJM PPS PPA MSoc Sc DS (UKM) Dip PSP (UM) Fellow Scholar (UPNM) mpat psc
Laksamana Pertama Hj Jamaludin bin Hj Sairi dilahirkan pada 20 November 1967 di Sabak Bernam, Selangor. Beliau mula berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia pada 4 September 1985 dan seterusnya ditauliahkan pada 1 September 1987.
Laksamana Pertama Hj Jamaludin bin Hj Sairi adalah seorang insan yang sentiasa percaya kepada pembelajaran dan percaya bahawa ilmu pengetahuan sebagai sebahagian daripada peningkatan kecekapan serta kemahiran dalam pengendalian tugas. Selain kursus kerjaya, beliau telah mengikuti pelbagai kursus dalam Tentera Laut Diraja Malaysia, antaranya Long Communication di Pakistan (1995), Key Frequency And Net Management System di Munich, Jerman (2002), Seminar Undang-undang Maritim di Canberra, Australia (2004) dan Kursus Pegawai Pemerhati Tentera di Port Dickson, Malaysia (2005). Pada tahun 2013, Laksamana Pertama Hj Jamaludin bin Hj Sairi telah melanjutkan pengajian di peringkat pengajian tinggi untuk melayakkan beliau sebagai pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau telah diberi peluang menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Kursus Ketahanan Nasional (KKN) siri 4 pada tahun 2023 bagi persediaan peluang kerjaya yang lebih tinggi.
Berdasarkan pengalaman, pengetahuan, kemahiran dan sikap baik yang ditunjukkan oleh beliau di sepanjang tempoh 38 tahun perkhidmatan, beliau telah diberi kepercayaan memikul tanggungjawab menjawat pelbagai jawatan pemerintah di peringkat operasi dan di peringkat strategik. Antara jawatan yang disandang seperti berikut:
- Ketua Staf Markas Wilayah Laut 1
Kepten TLDM (26 Mac 15 - 16 Feb 16)
- MINDANAO International Monitoring Team 11
Kepten TLDM (17 Feb 16 - 16 Apr 17)
- Pegawai Memerintah KD SULTAN ISMAIL
Kepten TLDM (17 Apr 17 - 11 Mac 18)
- Pegawai Memerintah KD PELANDOK
Kepten TLDM (12 Mac 18 - 21 Feb 21)
- Timbalan Panglima Wilayah Laut 2
Laksamana Pertama (22 Feb 21 - 3 Jan 23)
- Komander Pangkalan Lumut
Laksamana Pertama (3 Jan 24 - sekarang)
Beliau telah berkahwin dengan Puan Azila binti Hj Shaari dan dikurniakan lima orang anak lelaki dan seorang anak perempuan.
KEPTEN AHMAD SANI BIN ZAKARIA
KAT PPS PPA MSoc Sc (UKM) MSDS (UPNM) Dip PSP (UPNM) Dip PT - PPM (UTM) mpat psc
Kepten Ahmad Sani bin Zakaria TLDM dilahirkan di Mersing, Johor pada 30 Januari 1979. Beliau mula berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 30 Januari 1997 seterusnya ditauliahkan sebagai Pegawai TLDM pada 10 Jun 2001 dalam Cawangan Eksekutif. Kini, beliau diperjawatkan sebagai Komander Pangkalan Kota Kinabalu sejak 11 Disember 2023.
Sepanjang perkhidmatan, beliau telah diperjawatkan dengan beberapa jawatan penting di kapal dan pangkalan antaranya adalah Pegawai Peperangan Atas Air KD LEKIU dan KD JEBAT, Ketua Pegawai Peperangan KD SELANGOR, Pegawai Memerintah KD PERAK, Pegawai Staf 1 Perhubungan Antarabangsa di Markas Tentera Laut serta Pegawai Memerintah KD SRI KOTA KINABALU.
Beliau berpeluang menghadiri beberapa kursus dan seminar seperti Naval Head of Operation Department Course Siri 2005/2006 di Perancis, Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia Siri 44/2015, Seminar Humanitarian Operations di Austaralia pada 2017, Sulu Area Initiative Working Group di Filipina pada 2018 dan 4th International Maritime Security Symposium di Indonesia pada 2021. Dari segi akademik, beliau berkelulusan Sarjana Sains Sosial (Pengajian Strategik) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kepten Ahmad Sani bin Zakaria TLDM telah berkahwin bersama Puan Dayang Melissa binti Abang Hamdan dan dikurniakan lima orang anak tiri.
LAKSAMANA MUDA DATO' HANAFIAH BIN HASSAN
PSAT DSIS PAT SMS KAT PJM PPS PPA MSoc Sc DS (UKM) Dip PSP (UM) mpat psc
Laksamana Muda Dato' Hanafiah bin Hassan dilahirkan pada 15 Feb 1967 dan merupakan anak kelahiran Kluang, Johor. Mula menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 16 Jan 1986 dan seterusnya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda TLDM. Sebagai seorang pegawai eksekutif, beliau kemudiannya telah diperjawatkan di KD GANYANG dan KD KELEWANG sebagai Pegawai Navigasi dan Pegawai Laksana sebelum menyertai perkhidmatan hidrografi TLDM. Kerjaya beliau di dalam bidang hidrografi bermula setelah berjaya menamatkan Kursus Asas Hidrografi Kategori B anjuran Japan Hydrographic and Oceanographic Department pada 16 Nov 1992.
Bermula dari tarikh tersebut, Laksamana Muda Dato' Hanafiah bin Hassan telah diperjawatkan di pelbagai unit hidrografi TLDM dan turut diberi peluang untuk menjawat beberapa perjawatan penting antaranya sebagai Pegawai Memerintah KD MUTIARA, Pengarah Pusat Hidrografi dan Oseanografi dan Pengarah Kanan Hidrografi. Selain daripada itu, Laksamana Muda Dato' Hanafiah bin Hassan juga turut diberikan peluang untuk berkhidmat di atas kapal hidrografi Tentera Laut Diraja New Zealand, HMNZ MONOWAI melalui program pertukaran pegawai pada tahun 1995 selama 2 tahun. Beliau juga turut berpeluang untuk mengikuti Long Hydrographic Course (Kategori A) di India pada tahun 1997. Berdasarkan pencapaian dan tahap kompetensi beliau di dalam bidang hidrografi, Laksamana Muda Dato' Hanafiah bin Hassan telah dianugerahkan sijil ‘H Charge’ yang mana merupakan gred tertinggi bagi kepakaran hidrografi oleh Panglima Tentera Laut pada 25 Jan 2009.
Laksamana Muda Dato' Hanafiah bin Hassan telah mengambil alih pucuk pimpinan Pusat Hidrografi Nasional pada 31 Mei 2018 dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Pengarah Hidrografi Ke-7. Selain bertanggungjawab untuk menerajui Pusat Hidrografi Nasional, beliau juga merupakan ‘The Hydrographer of Malaysia’ yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan aktiviti pengukuran dan pencartaan perairan maritim negara. Sebagai penasihat kepada kerajaan Malaysia berhubung hal ehwal hidrografi, beliau juga merupakan wakil kerajaan Malaysia ke International Hydrographic Organisation (IHO) dan East Asia Hydrographic Commission (EAHC).
Di peringkat antarabangsa, Laksamana Muda Dato' Hanafiah bin Hassan merupakan salah seorang Ketua Pengarah Hidrografi yang pernah dilantik sebagai Pengerusi EAHC berikutan dengan perlantikan Malaysia untuk menerajui suruhanjaya tersebut bagi penggal 2015-2018. Selain daripada itu, beliau turut terlibat secara aktif di dalam setiap persidangan dan forum yang dianjurkan oleh IHO dan juga EAHC. Berdasarkan pengalaman beliau, Laksamana Muda Dato' Hanafiah bin Hassan telah diberikan kepercayaan sebagai Pengerusi Joint Task Malaysia bagi misi pencarian pesawat MH370 di Joint Agency Coordination Centre (JACC), Canberra, Australia pada tahun 2014. Di dalam penugasan ini, beliau bertanggungjawab untuk menasihati dan menentukan penggunaan aset dibuat secara optimum bagi tujuan pencarian pesawat MH370 dan berperanan sebagai pegawai perantara di antara High Level Technical Task Force Malaysia dan Australia.
Manakala di peringkat kebangsaan, Laksamana Muda Dato' Hanafiah bin Hassan merupakan pengerusi tetap kepada Jawatankuasa Hidrografi Negara, Jawatankuasa Penilaian Kompetensi Juruukur Hidrografi Malaysia, Jawatankuasa Kerja Pengurusan Maklumat Hidrografi Pelabuhan dan Jawatankuasa Teknikal Marin MyGDI. Selain daripada itu, beliau juga merupakan ahli kepada Jawatankuasa Titik Pangkal Negara, Jawatankuasa Teknikal Pelantar Benua Malaysia, Jawatankuasa Bersama Malaysia-Singapura mengenai Alam Sekitar, Tri-partite Technical Experts Group for the Straits of Malacca and Singapore, Jawatankuasa Teknikal Pembatasan Persempadanan Maritim Malaysia-Indonesia dan Jawatankuasa Kerja Teknikal Marine Electronic Highway for Malacca and Singapore Strait.
Laksamana Muda Dato' Hanafiah bin Hassan merupakan graduan lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia dan National Defence University Beijing, China di dalam bidang Pengajian Strategik Pertahanan. Beliau juga merupakan bapa kepada lima orang cahaya mata yang meminati aktiviti memancing sebagai hobi beliau di waktu lapang.
LAKSAMANA MUDA ABDULLAH SANI BIN ISMAIL
LAKSAMANA MUDA DATO' PAHLAWAN MOHD FADZLI KAMAL BIN MOHD MOHALDIN
PSAT DPTS PAT KAT KMN ACM ADK PJM PKN PPS PPA MSc NSR (NDU Washington D.C.) MMgt DS (UCAN) MSoc Sc DS (UKM) Grad Cert Maritime Studies mpat psc(j)
Laksda Dato’ Pahlawan Mohd Fadzli Kamal dilahirkan di Pekan Diraja Kuala Kangsar, Perak pada 4 Mac 1967. Beliau menamatkan pendidikan menengah di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi pada 1984 sebelum menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia pada 1 Sep 85.
Setelah ditauliahkan pada tahun 1987, perjawatan pertama beliau adalah sebagai Pegawai Persuratan di KD HANDALAN. Beliau menghabiskan sebahagian besar kerjayanya berkhidmat dengan Armada TLDM antaranya KD RAHMAT, KD MUSYTARI, KD LAKSAMANA TAN PUSMAH, KD JEBAT, KD KASTURI dan KD LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN. Perjawatan terakhir beliau bersama Armada TLDM adalah sebagai Pegawai Memerintah KD LEKIU yang juga merupakan Pegawai Kanan Armada Barat. Antara perjawatan lain yang dipegang oleh beliau adalah Pegawai Persenjataan, Pegawai Peperangan Anti Udara, Pegawai Peperangan Utama dan Pegawai Laksana. Sebelum menyandang tugas Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan, beliau telah memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Siber dan Elektromagnetik Pertahanan, Inspektor Jeneral di Markas Tentera Laut, Komandan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia, Ketua Staf di Markas Kesiagaan TLDM, Ketua Staf di Markas Wilayah Laut 2 dan Pegawai Pemerintah Pusat Kepimpinan TLDM. Beliau juga merupakan bekas Ketua R&D merangkap Pegawai Laksana di Pusat Taktikal Maritim TLDM, PUSTAKMAR dan pernah berkhidmat dengan Pusat Pendidikan dan Latihan Tentera Laut, KD PELANDOK.
Laksda Dato’ Pahlawan Mohd Fadzli Kamal mengikuti pelbagai kursus dalam dan luar negara seperti Kursus Pertahanan Udara, Kursus Pemerintahan Pegawai Rendah, Metodologi Latihan, Kawalan Kualiti serta kursus Juruaudit Dalaman/Pemimpin. Beliau juga berpeluang menjalani beberapa kursus di Amerika Syarikat, Kursus Pengkhususan Pegawai Peperangan Utama di HMS DRYAD, United Kingdom dan latihan kru pertama untuk Laksamana Class Corvette di Itali. Beliau lulus dari Australian Command and Staff College pada tahun 2003 dan memegang Ijazah Sarjana Pengurusan dalam Pengajian Pertahanan dari Universiti Canberra serta Sijil Siswazah dalam Pengajian Maritim dari Universiti Wollongong. Beliau memperoleh ijazah Sarjana kedua dalam Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semasa menghadiri Kolej Pertahanan MAF pada tahun 2010. Kemudian, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Sains dalam Strategi Sumber Negara dari Eisenhower School of the National Defence University. , Washington DC. Beliau berpeluang terlibat sebagai peserta dan penceramah di pelbagai seminar dan persidangan antarabangsa.
Laksda Dato’ Pahlawan Mohd Fadzli Kamal pernah menjadi ahli sukan, pernah mewakili ATM dan TLDM dalam permainan hoki, ragbi dan bola keranjang semasa zaman mudanya. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Bendahari Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Setiausaha ATM dan Persatuan Berbasikal TLDM dan merupakan Pengerusi Persatuan Bola Keranjang TLDM. Beliau suka berkebun dan melaksanakan aktiviti luar.
Beliau berkahwin dengan Datin Shamsina binti Mohamed Salleh dan dikurniakan empat orang anak lelaki.
LAKSAMANA MUDA BADARUDIN BIN TAHA
PAT KAT ACM PJM PPS PPA MSoc Sc DS (UKM) MMaritimePol (UOW) Dip PSP (UM) Fellow Scholar (NDUM) mpat nrc psc
Laksamana Muda Badarudin bin Taha dilahirkan di Bagan Datuk, Perak pada 28 Disember 1967. Beliau menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia pada 4 Julai 1988 dan ditauliahkan pada 30 Jun 1990.
Sejak itu, beliau telah memegang pelbagai jawatan di laut dan darat sama ada dalam TLDM atau dalam Perkhidmatan Bersama. Antara jawatan penting yang dipegang termasuklah PS1 Strategi, PS1 Rancang, Pengarah Sumber Manusia (Dasar) dan Pengarah Kanan Sumber Manusia di Markas Tentera Laut, Wisma Pertahanan. Semasa dalam perkhidmatan bersama pula, beliau berpeluang berkhidmat sebagai Ketua Pengurusan, Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT). Beliau turut berbangga terpilih menjadi ahli teras bagi penubuhan Malaysian Institute of Defence and Security (MIDAS), badan pemikir untuk Kementerian Pertahanan pada tahun 2010 dan seterusnya memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Ancaman Bukan Tradisional dari 2010 hingga 2012. Antara jawatan utama yang disandang dalam kerjayanya ialah apabila beliau dilantik sebagai Pegawai Memerintah KD TERENGGANU dan seterusnya menjadi Ketua Projek untuk Projek Kapal Latihan TLDM, yang dibina hasil kerjasama dengan Syarikat Pembina Kapal Korea DSME. Sebelum memegang perjawatan semasa, beliau merupakan Komandan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dari tahun 2022 hingga 2024.
Laksamana Muda Badarudin telah menghadiri pelbagai kursus, di dalam dan luar negara. Beliau telah menghadiri Kursus Panjang Navigasi dan Pandu Arah di PNS BAHADUR, Pakistan pada tahun 1996 dan memperolehi kepakaran dalam Navigasi Maritim. Selepas itu, beliau menghadiri Kursus Korvet Itali Kumpulan Keempat di LA Spezia, Itali. Pada tahun 2007, beliau menamatkan pengajian dari Universiti Wollongong Australia dan lulus dengan Sarjana (Kepujian) dalam bidang Polisi Maritim. Beliau juga merupakan alumni kepada Kohort MAFDC 2014 di mana beliau memperoleh Sarjana dalam Pengajian Pertahanan dan Strategik dengan Kepujian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada tahun 2021, beliau merupakan salah seorang peserta Kursus Ketahanan Negara di Maktab Ketahanan Nasional (MKN), PUSPAHANAS dan dianugerahkan Fellow Scholar oleh Universiti Pertahanan Nasional, Malaysia.
Beliau telah berkahwin dengan Puan Noriah binti Sahlan, dan dikurniakan tiga orang anak, seorang anak lelaki dan dua anak perempuan.
Pada waktu lapangnya, beliau gemar bermain golf dan membaca. Beliau juga mempunyai minat yang tinggi dalam Geopolitik, Kepimpinan, Pengurusan Perubahan dan Pembangunan Angkatan.
LAKSAMANA MUDA Dr. AZIZI BIN HJ AHMAD SARKAWI
PAT KAT AMP PPS PPA PhD In Technology Operation and Logistic Management (UUM) MSc. (Mgmt) (UUM) Adv Dip In Strategic Studies (UM) Dip In Public Admin (UITM) CMILT Fellow Scholar (NDUM) nrc psc
Laksda Dr. Azizi bin Hj Ahmad Sarkawi telah memulakan kerjaya dalam TLDM sebagai Pegawai Kadet Graduan dan ditauliahkan pada 2 Julai 1993 dalam kepakaran Cawangan Bekalan dan Urusetia.
Di awal perkhidmatan, beliau telah memegang jawatan sebagai Pegawai Tadbir Cawangan di KD PELANDOK yang pertama pada tahun 1995, Pegawai Koordinasi Fakulti Pegawai, Pegawai Kawalan Tadbiran & Perolehan di Depot Bekalan Armada, Pegawai Logistik merangkap Pegawai Laksana di Unit Pengawasan Senggara TLDM Sg Nyior. Antara perjawatan penting di Markas Tentera Laut yang pernah beliau sandang adalah sebagai Pegawai Staf 2 Penempatan dan Pertukaran (Bekalan), Pegawai Staf 2 Polisi/Dokumentasi manakala di Bahagian Materiel pula sebagai Pengarah Pembangunan Materiel, Pengarah Kanan Materiel, Pengarah Belanjawan dan Asisten Ketua Staf Materiel.
Seterusnya beliau juga pernah diperjawatkan di Pusat Kepimpinan TLDM sebagai Ketua Sekolah Pengajian Kepimpinan Asas, Ketua Pegawai Staf Pengurusan Sistem di Markas Sistem Armada, Ketua Jabatan Materiel dan Kewangan di Markas Angkatan Kapal Selam, Ketua Bahagian Bantuan di KDSI 1, Ketua Fakulti Bekalan dan Pengurusan di KD PELANDOK dan Pegawai Memerintah Depot Bekalan Armada. Di peringkat Markas ATM, beliau telah menjawat jawatan sebagai Pegawai Staf 2 Rancang A 5 CTK - A. Seterusnya pada 30 Januari 2023, beliau telah diperjawatkan sebagai Panglima Logistik Timur.
Laksda Dr. Azizi telah menghadiri pelbagai kursus kepakaran dalam bidang logistik, ketenteraan, pengurusan dan pengajian tinggi di pelbagai universiti dalam dan luar negara. Pencapaian akademik tertinggi adalah Doktor Falsafah dalam bidang Teknologi, Operasi dan Pengurusan Logistik dari Universiti Utara Malaysia. Beliau telah lulus viva pada 2 Januari 2024 dan telah diijazahkan oleh pihak Senat UUM sebagai Doktor Falsafah dalam bidang seperti yang telah dinyatakan pada 14 Julai 2024. Beliau merupakan ahli profesional dalam Chartered Malaysia Institute Logistic and Transport serta American Society of Quality. Beliau juga telah menghadiri kursus di Maktab Ketahanan Nasional, PUSPAHANAS pada tahun 2022 dan telah dikurniakan Fellow Scholar of NDUM (nrc).
Laksda Dr. Azizi telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Anita binti Mohamed Kassim dan dikurniakan dengan lima orang cahaya mata.
LAKSAMANA MUDA DATO’ Ir. Ts. Hj MOHD SHAIFUL ADLI CHUNG BIN ABDULLAH
PSAT DSIS DPSM PAT KAT KMN PJM PPS PPA BEng (1st Class Hons) Mech Master Eng Sc (Distinction, UNSW Australia) P. Eng MIEM P. Tech MBOT Dip PSP (UM) psc
Laksamana Muda Dato’ Ir. Ts. Haji Mohd Shaiful Adli Chung ialah Ketua Jurutera Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sejak tahun 2018. Dato’ Adli Chung telah berkhidmat 38 tahun di dalam TLDM. Sepanjang tempoh tersebut, hampir 30% perkhidmatan beliau adalah di 4 kapal. Berdasarkan pengalaman dan kepakaran Laksamana yang luas, beliau telah dilantik sejak tahun 2017 oleh Bureau Veritas (BV) yang berpangkalan di Paris sebagai Ahli Pengarah BV Naval Ship Committee.
Dalam aspek amalan pengurusan projek pula, beliau adalah Certified Project Manager dan juga Qualified Project Engineer, kedua-duanya dari Australia.
Dato’ Adli Chung adalah seorang yang minat menulis. Sehingga kini beliau telah mengarang 3 buah buku, selain penulisan dan Artikel yang kerap diterbitkan di majalah serta buletin badan profesional.
Berkaitan inovasi, beliau telah merekacipta tidak kurang 19 inovasi baharu, di mana 3 daripada inovasi tersebut telah dipaten berdasarkan Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332), dan satu daripada paten tersebut telah digunapakai, yakni “dikomersialkan”. Pada tahun 2024 Dato' Adli Chung telah anugerahkan Ikon Inovasi TLDM di atas penglibatan dan pencapaian beliau dalam program yang dianjurkan di peringkat TLDM, Kementerian mahupun kebangsaan.
Dato’ Adli Chung berlatarbelakangkan academic standing yang cemerlang. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Kepujian Kelas Pertama) dari UTM, memperoleh Sarjana Sains Kejuruteraan (With Distinction) dari University of New South Wales, Australia dan Diploma Strategic & Defence Studies dari Universiti Malaya.
Dato’ Adli Chung adalah seorang yang aktif dalam sukan. Di awal tahun 90an, beliau merupakan atlet Taekwondo TLDM di Angkatan Tentera Malaysia dan menyertai perbagai Championship peringkat Negeri. Buat masa ini, beliau kekal aktif, diantaranya menyertai pertandingan IRONMAN, iaitu sukan lasak berjenama internasional yang semakin popular. Selain itu, beliau adalah masih in-date Naval Ship Diver sejak tahun 1992. Beliau juga seorang yang berkelayakan Lifesaver, dianugerahkan Bronze Medallion pada tahun 2019.
Sepanjang 38 tahun perkhidmatan, Dato’ Adli Chung telah memacu perbagai inisiatif, program dan penambahbaikan berterusan beyond the call of duty di mana telah meningkatkan kesiagaan operasi Armada TLDM dengan ketara. Selain itu, beliau telah berjaya menghasilkan penjimatan sehingga RM500 juta kepada Kerajaan. Berdasarkan sumbangan besar serta keberhasilan berimpak tinggi tersebut, pada tahun 2021 beliau telah dikurniakan Pingat Pujian Panglima Tentera Laut (Pujian PTL), iaitu penganugerahan dan pengiktirafan tertinggi di dalam TLDM. Beliau juga telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Anugerah Hisbah Peringkat Negeri Melaka Tahun 2024.
LAKSAMANA PERTAMA JAMSARI BIN TAHIR
PAT SMS KAT PPS PPA MMaritimePol (UOW) Dip PT - PPM (UTM) ncc ndc psc
Laksamana Pertama Jamsari bin Tahir dilahirkan pada 16 Julai 1976 di Kota Tinggi, Johor. Beliau memasuki Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada tahun 1994 dan ditauliahkan pada 20 Jul 96 setelah menjalani latihan asas Tentera Laut di Kolej Tentera Laut Diraja, Lumut, Perak. Beliau mempunyai kepakaran sebagai Pegawai Peperangan Utama ‘A’.
Laksamana Pertama Jamsari pernah bertugas di dalam pelbagai perjawatan di Armada TLDM. Pernah diperjawatkan sebagai Pegawai Navigasi di KD HANDALAN dan KD PERDANA, Pegawai Memerintah dan Pegawai Kanan Skuadron Pembinasa Laju (MISIL) di KD GEMPITA, Pegawai Peperangan Utama KD KASTURI, Timbalan Pegawai Peperangan Utama, Pegawai Peperangan Atas Air (U), Ketua Pegawai Peperangan dan Pegawai Memerintah KD LEKIU.
Laksamana Pertama Jamsari juga pernah memegang pelbagai jawatan di bidang pentadbiran dan latihan. Beliau telah diperjawatkan sebagai Ketua Jurulatih dan Pegawai Memerintah KD SULTAN IDRIS I pada tahun 2018. Beliau juga telah diperjawatkan sebagai Pengarah Perancangan Pembangunan di Bahagian Perancangan Pembangunan dan Kontigensi pada tahun 2020 serta Timbalan Inspektorat Jeneral di Markas Tentera Laut pada tahun 2023.
Laksamana Pertama Jamsari bin Tahir berkelulusan Ijazah Sarjana Polisi Maritim daripada Universiti of Wollongong Australia. Selain itu beliau telah menghadiri kursus Staff di Maktab Turus Angkatan Tentera serta menghadiri Kursus Naval Command Course di Rhode Island Amerika Syarikat. Beliau diperjawatkan selaku Asisten Ketua Staf Siber dan Elektromagnetik di Markas Tentera Laut pada 28 oktober 2024 setamat menghadiri Kursus National Defence College di Bangkok Thailand.
Laksamana Pertama Jamsari telah mendirikan rumahtangga bersama Puan Aniadila binti Kamaruddin dan memiliki dua orang cahaya mata.
LAKSAMANA PERTAMA KAMARUDDIN BIN OMAR
PAT KAT ACM PJM PPS PPA MMgt (UM) Dip PSP (UM) Fellow Scholar (NDUM) nrc psc
Laksamana Pertama Kamaruddin Omar telah dilahirkan di Batu Gajah, Perak pada 14 September 1967 dan memasuki Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada tahun 1985 dan menerima latihan asas Tentera Laut di Kolej Tentera Laut Diraja, Lumut, Perak. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang Torpedo Anti Kapal Selam dan Peperangan Periuk Api.
Laksamana Pertama Kamaruddin pernah bertugas di dalam pelbagai perjawatan di Armada TLDM. Dia pernah diperjawatkan sebagai Pegawai Navigasi dan Pegawai Laksana KD SRI SARAWAK (PC), Pegawai Navigasi dan Pegawai Laksana KD JERAI (MCMV), Pegawai Laksana KD MAHAMIRU (MCMV), Pegawai Memerintah KD SRI NEGRI SEMBILAN (PC), Pegawai Memerintah KLD TUNAS SAMUDERA dan Pegawai Memerintah KD SRI INDERA SAKTI (MPCSS) pada tahun 2017.
Laksamana Pertama Kamaruddin juga mempunyai pengalaman yang luas di dalam bidang pentadbiran dan latihan. Beliau telah diperjawatkan sebagai Pegawai Laksana di Pusat Latihan TLDM KD PELANDOK dan Asisten Marsyal Provos di Pangkalan TLDM Lumut. Beliau juga telah diperjawatkan sebagai Pegawai Memerintah KD MALAYA pada 2015 dan memangku tugas sebagai Komander Pangkalan Lumut pada 2016 serta diperjawatkan sebagai Provos Marsyal TLDM di Markas Tentera Laut pada 2018.
Laksamana Pertama Kamaruddin kini diperjawatkan sebagai Penasihat Pertahanan di Kedutaan Besar Malaysia di Perancis. Dari segi akademi dan sebagai kemajuan kerjaya, beliau telah menghadiri kursus di Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) Malaysian Armed Forces Staff College pada tahun 2004 dan telah memperolehi Diploma Strategik dari Universiti Malaya dan Sarjana Pengurusan dari Universiti Malaya pada tahun 2012 .
Laksamana Pertama Kamaruddin telah berkahwin dengan Puan Roziyan binti Ariffin dan mereka telah dikurniakan tiga orang putera dan dua puteri.
MARKAS TENTERA LAUT, WISMA PERTAHANAN, JALAN PADANG TEMBAK, 50634 KUALA LUMPUR
Emel : webmaster@navy.mil.my | Tel : (60)3-40160159
Paparan Terbaik : Mozilla Firefox / Google Chrome / Microsoft Edge
HAKCIPTA | DASAR & PRIVASI | PENAFIAN | PETA LAMAN