COMMODORE EDWARD DUDLEY NORMAN
(15 MEI 1957 - 7 FEB 1960)
Dilahirkan pada 2hb ogos 1910 di Burton Bradstock, Dorset, England. Beliau mula berkhidmat dalam Royal Navy sebagai kadet. Dalam Perang Dunia Kedua, beliau terlibat di dalam peperangan di Eropah. Oleh kerana tugas yang cemerlang, beliau telah dianugerahi pingat Distinguished Service Order – DSO.
Pada tahun 1948 beliau ditukarkan ke Admiralty di Landon setelah mendapat pengalaman yang luas di kapal. Dua tahun kemudian, beliau ditugaskan semula di kapal sebagai Pegawai Memerintah HMS NEREIDE yang beroperasi di Selatan Atlantik. Beliau pernah berkursus di Armed Forces Staff College, di Amerika Syarikat. Pada tahun 1958, beliau dinaikan ke pangkat Commodore dan dilantik menjadi Ketua Turus Tentera Laut yang pertama.
CAPTAIN W.J. DOVERS RAN
(8 FEB 1960 - 13 JUL 1962)
Captain W. J. Dovers menggantikan Commodore E. D. Norman sebagai Ketua Turus Tentera Laut kedua pada 8 Februari 1960. Beliau merupakan pegawai dari Royal Australian Navy yang pertama berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Malaya. Semasa di bawah kepimpinan beliau, Cawangan Tentera Laut di Kementerian Pertahanan telah diperbesar dan dikemaskini. Captain Dovers RAN berkhidmat di dalam Tentera Laut Diraja Malaya sehingga 14 Julai 1962 dan menyerahkan pucuk kepimpinan kepada Captain A. M. Synnot RAN.
COMMODORE A.M. SYNNOT
(14 JUL 1962 - MAC 1965)
Commodore A. M. Synnot berasal dari Australia dan mula berkhidmat dengan Tentera Laut Malaya pada 14 Julai 1962 ketika berpangkat Captain. Beliau telah menggantikan Captain W.J.Dovers ADC. Pada 16 September 1963, beliau dinaikan pangkat Commodore dan sekaligus menjadi Ketua Turus Tentera Laut Diraja Malaysia.
Beliau memulakan kerjayanya di dalam Royal Australian Navy sebagai Pegawai Kadet dalam tahun 1939 dan menerima latihan di United Kingdom. Di antara kapal-kapal yang beliau pernah berkhidmat ialah HMAS CANBERRA, HMAS STUART, HMS BARHAM, HMS PUNJAB DAN HMS QUIBERON. Semasa berkhidmat di HMS PUNJAB, beliau telah terselamat setelah kapal tersebut karam di perairan Ireland Utara. Beliau dinaikan ke pangkat Captain pada bulan Jan 1960 dan dipinjamkan kepada Tentera Laut Diraja Malaya dari bulan Julai 1962 sehingga bulan Mac 1965 sebagai Ketua Turus Tentera Laut Ketiga.
COMMODORE A.N. DOLLARD RAN
(MAC 1965 - 30 NOV 1967)
Commodore Dollard RAN dilantik menjadi Ketua Turus Tentera Laut Diraja Malaysia ke empat pada bulan 3 Mac 1965 menggantikan Commodore Synnot RAN. Beliau pernah bertugas di HMAS PENGUIN dan HMAS MURCHISON. Beliau ditauliahkan sebagai pegawai tentera laut dalam tahun 1953 di Royal Australian Naval College dan pernah menerima anugerah Legion of Merit Degree for Officer di Amerika Syarikat. Dari tahun 1955 hingga 1958 beliau bertugas sebagai Atase Tentera di Saigon dan dari 1961 hingga 1964 Atase Tentera di Tokyo.
Beliau menamatkan perkhidmatannya dengan Tentera Laut Diraja Malaysia pada 1 Disember 1967, dan tempat beliau diambilalih boleh Commodore Dato’ K . Thanabalasingam.
LAKSAMANA MUDA (B)TAN SRI DATO' SERI K. THANABALASINGAM
PGAT DPMT DSSA DIMP DSAP JMM SMJ KMN
Kenangan Bersama Panglima Tentera Laut Malaysia yang pertama
Laksamana Muda (B) Tan Sri Dato’ Seri K.Thanabalasingam telah memahat namanya bersama kecemerlangan sejarah kemerdekaan Malaysia atas pencapaian uniknya menjadi anak tempatan yang pertama menjawat jawatan Panglima Tentera Laut Malaysia. Ini merupakan penghormatan yang sukar diperolehi memandangkan beliau merupakan satu- satunya bukan Melayu untuk mengetuai perkhidmatan bersenjata Angkatan Tentera Malaysia, sesuatu yang unggul di dalam sejarah ketenteraan negara menaruh harapan dan kepercayaan penuh ke atas integrity profesionalisme dan kualiti kepimpinan anak muda ini yang lebih dikenali dengan panggilan “Laksamana Bob Thana” pada ketika itu. Beliau meneraju pemerintahan Tentera Laut Malaysia pada usia yang muda iaitu 3 bulan sebelum genap 32 tahun.
Thanabalasingam Karalasingam seperti lain-Iain Pegawai Kadet Malaya pengambilan perintis pada tahun 50- an di BRNC Dartmouth, terpaksa menggunakan nama singkatan di tag nama “Bob Thana” yang kekal sehingga kini.
Anak muda, “Bob Thana” memasuki Tentera Laut pada tahun 1955 tanpa sebab-sebab tertentu. Beliau berasal dari keluarga kelas pertengahan bangsa Ceylon Malaysia yang tersepit di antara cita-cita dan masalah kewangan. Tentera Laut telah menawarkan kepada beliau kerjaya profesional dengan menghantar beliau berkursus di United Kingdom dan merupakan satu cabaran dan pencapaian yang dihormati di dalam sesebuah masyarakat. Lantaran anak muda dari Victoria Institution Kuala Lumpur tidak melepaskan peluang ini Ini merupakan suatu peluang yang baik yang menjadi idaman ramai tetapi sukar diperolehi. Thanabalasingam merupakan antara yang bemasib baik.
“Di BRNC saya bergaul dengan semua pihak dan teiah mencapai kemajuan berterusan yang telah memeranjatkan ramai pesaing tuan runiah dari Tentera Laut Diraja British terutamanya apabila saya dipilih sebagai “Divisional Captain!’. Pegawai bukan berbangsa Inggeris pertama mencapai penghormatan tertinggi daripada maktab itu. Tidak hairanlah apabila ramai rakan di Maktab yang kebanyakan dari keluarga Diraja British menimbulkan kekecohan dan ingkar perintah.”
Bob Thana telah melakukan sesuatu yang diharapkan oleh BRNC. Beliau mengawal situasi dengan tegas apabila menugaskan seorang Pegawai Kadet Inggeris untuk membawa arahan yang mudah “Suka atau tidak, saya yang bertanggungjawab. Jika ingkar, kamu akan menghadapi tuduhan ingkar perintah seperti yang dipraktikkan dalam Tentera Laut.” Ketegasan beliau tidak dipedulikan oleh mereka dan akhirnya Bob Thana melepaskan jawatan itu dengan alasan ingin memberi tumpuan pada bidang pengajiannya. Bagaimanapun, pihak pengurusan Maktab telah menolaknya selaras dengan peraturan yang telah ditetapkan. Setelah ditauliahkan sebagai Lt Muda pada 1 Mei 1958, beliau pulang ke Malaya pada Januari 1960 dan seterusnya dilantik sebagai pegawai latihan kadet di Federal Military College, Port Dickson. Setahun kemudian beliau berkhidmat di kapal SDML (KD SRI PAHANG) dan di Kapal Penyapu Periukapi (KD MAHAMERU). Pada 1963, Lt Bob Thana dihantar berkursus ke HMS VERNON, England dalam kepakaran Torpedo Anti Submarine (TAS). Selepas itu beliau dilantik sebagai Pegawai Memerintah KD SRI KELANTAN sebaik sahaja kapal tersebut ditauliahkan untuk pelayaran balik ke Malaysia dari Portsmouth, England. Sekembalinya ke Malaysia, beliau terus memegang jawatan sebagai Pegawai Memerintah dan telah melaksanakan tanggungjawab di laut secara berterusan sepanjang kemelut konfrontasi dengan Indonesia. Beliau kemudian dinaikkan pangkat ke Leftenan Komander pada 18 Februari 1965 dan diperjawatkan sebagai Pegawai Laksana KD HANG TUAH di bawah pemerintahan Kdr Mann R N.
Dalam kumpulan pengambilan Bob terdapat nama-nama yang hebat seperti Allahyarham Laksda (B) Dato’ Mohd. Zain Mohd. Salleh (Panglima TLDM kedua), Laksma (B) (Babu) P. K. Nettur, Laksma (B) M. W. Alvisse, Laksma (B) Hj Abdul Aziz Wahab, Kept (B) Cheah Leong Voon, Kept (B) Khoo Tee Chuan, Kept (B) Phang Kok Keng dan Lt Kdr (B) Chitharanjan Kuttan (Bersara pilihan pada 1971 dan bekerja sebagai Ketua Pelabuhan Singapura). Semua pegawai ini telah memberi sokongan padu dan turut memegang jawatan penting pada tahun-tahun awal penubuhan TLDM untuk berkhidmat kepada negara yang baru merdeka.
Sejarah ke arah Semangat Kenegaraan
Sejak mencapai kemerdekaan, Tentera Laut Diraja Malaya diterajui oleh Capt W. J. Dovers diikuti dengan Commodore A. M. Synnot dan kemudiannya Commodore A. N. Dollard. Walau bagaimanapun, pemisahan Singapura daripada Malaysia dan tercetusnya konfrontasi dengan Indonesia telah menjadikan para pemimpin negara kekok untuk membincangkan isu-isu sensitif dengan Ketua Turus Tentera Lautnya. Dalam masa yang sama adalah sukar bagi kerajaan mengenepikan mereka memandangkan mereka mendapat arahan daripada Kementerian Pertahanan. Walaupun mereka merupakan panglima-panglima tentera laut dari negara asing, keupayaan mereka sememangnya tidak dipersoalkan (kesemua mereka terutamanya Capt Dovers dan Commodore Synnot telah memberi sumbangan yang tidak terhingga bagi memajukan TLDM) namun secara rahsia mereka sering diketepikan di dalam proses membuat keputusan oleh kerajaan.
Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Tuanku Abdul Rahman telah memutuskan untuk meMalaysiakan jawatan tinggi di dalam Tentera Laut dan Tentera Udara bagi mengelak wujudnya sebarang kejanggalan berlaku dalam sebarang proses membuat keputusan kerajaan. Di peringkat awalnya, kerajaan mengambil pendekatan secara berhati-hati dengan mengambil kira beberapa nama Jeneral dari Tentera Darat seperti Sani dan Mazlan untuk menerajui TLDM. Bagaimanapun, kedua-dua mereka menolak tawaran tersebut atas alasan peribadi. Adalah dipercayai mereka menganggap Tentera Laut merupakan cabaran baru dan mereka juga tidak bersedia untuk menghadapinya. Mereka juga menganggap tawaran tersebut akan menjadi halangan dalam peluang kenaikan pangkat Tentera Darat sekiranya diterima.
Sebagai persediaan. Bob Thana telah dinaikkan ke pangkat Komander pada 1 Mac 1967 dan diperjawatkan sebagai Pegawai Memerinlah 'Kapai Induk' KD HANG TUAH. Seterusnya beliau dinaikkan ke pangkat Kepten pada I September 1967 dan dihantar ke Bahagian Staf Tentera Laut Kementerian Pertahanan bagi mempelajari tugas-tugas Panglima Tentera Laut. Beliau kemudiannya mengambil alih tugas Panglima Tentera Laut pada 1 Disember 1967 dengan menyandang pangkat Laksamana Pertama menggantikan Commodore Dollard. Pada 1 Januari 1973, taraf jawatan Panglima Tentera Laut telah dipertingkat sejajar dengan kekananannya serta pembesaran Armada, Bob Thana seterusnya dinaikkan ke pangkat Laksamana Muda.
Pencapaian Yang Nyata
Sebagai Panglima Tentera Laut yang pertama, beliau telah mewujudkan beberapa ketetapan dan dasar, di antaranya seperti memperolehi beberapa jenis kapal dan sistem persenjataan serta inisiatif untuk menubuhkan pangkalan-pangkalan baru. Kesemua ini merupakan visi awal serta hala tuju beliau untuk TLDM. Keputusan mengejut oleh kerajaan British untuk berundur dari Timur Jauh pada tahun 1968 tidak disampaikan dengan jelas kepada kerajaan Malaysia. Ini telah memberi kesempatan dalam mempercepatkan pembangunan TLDM seperti mana yang dikehendaki oleh kerajaan Malaysia. Dalam konteks ini, keutamaannya adalah untuk melengkapkan TLDM dengan armada yang moden dilengkapi dengan sistem misil dan senjata yang canggih. Sepanjang perkhidmatan beliau di bawah pemerintahan Allahyarham Tun Abdul Razak (Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan), beliau telah menikmati hubungan baik serta menerima nasihat secara peribadi dan mempunyai pengetahuan eksklusif mengenai pemimpin legenda Malaysia tersebut. Hubungan profesional mereka berdua bukan saja telah memanfaatkan TLDM malah telah memperluaskan lagi pengaruh TLDM.
LAKSAMANA MADYA DATO’ MOHD ZAIN BIN MOHD SALLEH
PGAT SPMS SPMJ DPTS DPMP DIMP DPMJ DSAP DSSA JMN CVO PPA PPM jssc
Allahyarham Laksdya Dato’ Mohd Zain bin Mohd Salleh dilahirkan pada 9 Julai 1935 dan berasal dari Chemor, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Chemor sebelum meneruskan persekolahan di Sekolah Tinggi Andersons, Ipoh.
Sebaik tamat pengajian sekolah menengah pada 1 Jun 1956, beliau memasuki TLDM seterusnya dihantar ke Britannia Royal Naval College (BRNC) sebagai Pegawai Kadet Tentera Laut Malaya. Semasa di BRNC, nama beliau sukar diingati oleh orang- orang British, justeru rakan-rakan dan jurulatih memberikan beliau nama gelaran sebagai 'George'’. Kebanyakan anggota TLDM masa itu gemar memanggil beliau George Zain.
Kumpulan Pegawai Kadet yang seangkatan dengan Zain adalah kumpulan kadet pelopor yang terbesar serta unik kerana kebanyakan mereka berjaya menyandang jawatan tinggi dalam memimpin dan membentuk TLDM ke arah pemodenan. Dalam kumpulan kadet pengambilan beliau, terdapat personaliti seperti Laksda Dato’ K. Thanabalasingam (PTL pertama) Laksma P. K. Nettur (Babu). Laksma Alvisse, Laksma Hj Abdul Aziz Wahab, Kept Cheah Leong Voon, Kept Khoo Tee Chuan, Kept Phang Kok Keng dan Lt Kdr Chitharanjan. Pegawai- pegawai Kanan tersebut merupakan mentor dan Role Model bagi kebanyakan pegawai dan anggota lain-lain pangkat TLDM.
Beliau ditauliahkan sebagai Lt Muda pada 19 Disember 1958. Jawatan pemerintah pertama beliau ialah sebagai Pegawai Memerintah KD SRI NEGRI SEMBILAN yang dipegangnya pada 1 September 1961. Sebelum itu beliau memegang jawatan Pegawai Panduarah KD MAHAMERU. Setamat kursus turus di British Naval College Greenwich, Zain dikehendaki memerintah KD SRI TRENGGANU, Kapal Ronda kelas Kedah yang baru siap dibina bersama KD SRI KELANTAN (diperintah oleh rakan seperjuangannya, Lt K. Thanabalasingam) oleh Syarikat Vosper. Kedua-dua kapal itu telah mengukir sejarah dengan membuat pelayaran balik dari Portsmouth ke Malaysia. Dalam pembentukan sayap TLDM. pengalaman mereka beroperasi di laut antarabangsa dan memerintah kapal merupakan kejayaan yang sukar diukur kerana mereka telah membuktikan ketahanan kapal dan warga pelaut kita.
Sejak kebelakangan ini, generasi muda Malaysia dibangunkan dengan semangat “Malaysia Boleh.” Jika difikirkan kembali, George Zain dan rakan seperjuangannya telah menerajui semangat itu sejak tahun 60-an lagi. Pada April 1966, Zain dinaikkan ke pangkat Lt Kdr dan diperjawatkan sebagai Pegawai Memerintah KD TAHAN, Kapal Penyapu Periuk Api Persisir Pantai. Kedua-dua jawatan pemerintah yang dipikulnya telah terlibat dalam rondaan operasi semasa konfrontasi.
Kenaikan pangkat yang pantas dan perjawatan staf turus kanan yang dijawatnya membolehkan beliau mengikuti kursus staf yang lebih berprestij di HMS DRYAD dan di Joint Service Staff College Latimer, United Kingdom. Pada 1 Febuari 1971, Zain dinaikkan ke pangkat Kepten TLDM dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Turus Tentera Laut, seterusnya dinaikkan ke pangkat Laksamana Pertama tidak lama kemudian. Pada 1 Januari 1977, Zain mengambilalih tugas sebagai Ketua Turus Tentera Laut daripada Dato' K. Thanabalasingam.
Selaras dengan perkembangan pesat TLDM, jawatan ini kemudian ditukarkan kepada Panglima Tentera Laut. Zain merupakan anak Malaysia yang pertama berpangkat Laksamana Muda. Di bawah beliau, TLDM menempah banyak pembangunan dan perkembangan bagi menghadapi cabaran - cabaran baru. ini termasuklah pembangunan Pangkalan TLDM Di Lumut dan di Kuantan, kejatuhan saigon kepada Vietnam Utara dan bebarapa pengarah aktiviti komunis, krisis pelarian dan usaha memperkuatkan Armada bagi melaksanakan rondaan dengan lebih pesat.
Bagi memenuhi keperluan itu, anggaran Belanjawan Pertahanan ditambah secara berperingkat - peringkat termasuk belanjawan TLDM. Beliau bersara pada 1 Mac 1986. Namun, Jasa Dato' Zain dalam melakar hala tuju dan membentuk TLDM selama 9 tahun akan tetap dikenang. Bagi menghargai sumbangan beliau, kerajaan Malaysia telah melantik beliau memegang jawatan Diplomat Kanan iaitu Duta Kehormat Malaysia di New Zealand.
LAKSAMANA MADYA TAN SRI ABDUL WAHAB BIN HJ NAWI
PGAT PSM SPMS SPTS DPMJ DSSA JMN KMN SMJ PPA rcds psc
Tan Sri Abdul Wahab, anak Johor, memasuki TLDM pada Januari 1959 bersama dua rakan seperjuangan yang lain, Arisfadzillah dan K. rasaretnam. Pengambilan beliau merupakan satu kumpulan yang kecil jika dibandingkan dengan yang lain dan merupakan pengambilan pegawai ke-4 selepas Charles Thong Yin Sin.
Seperti pegawai lain sebelumnya, beliau dihantar ke BRNC Dartmouth untuk mengikuti latihan asas. Setelah empat tahun di sana, beliau telah ditauliahkan sebagai Lt Muda pada 1 Mei 1963. Pengalaman pertama beliau dalam TLDM adalah sebagai Pegawai Laksana KD SRI KELANTAN yang baru sahaja ditauliahkan untuk belayar dari Portsmouth ke Malaysia. Kapal tersebut ketika itu berada di bawah pemerintahan Lt K. Thanabalasingam (tidak ramai yang tahu bahawa mereka berdua berkepakaran Torpedo Anti Kapal Selam dan kedua-duanya menjadi Panglima TLDM). Mereka telah belayar balik ke Malaysia bersama KD SRI TERENGGANU yang diperintah oleh Lt Mohd Zain Salleh. Pada masa itu, pemilihan untuk diperjawatkan di kapal baru yang akan belayar pulang ke tanahair biasanya akan menjadi rebutan ramai dan dianggap suatu pengiktirafan awal terhadap keistimewaan seseorang dalam bidang panduarah samudera.
Di samping memegang jawatan pegawai staf di KEMENTAH dan Pegawai Wakil Tentera Laut Kuching, jawatan sebagai Pegawai Memerintah KD KELEWANG dan KD HANG TUAH merupakan antara jawatan pemerintah awalnya. Beliau telah dipilih menjadi Timbalan kepada Laksamana Madya Datuk Mohd Zain setelah mendahului banyak pegawai yang lebih kanan daripadanya untuk ke peringkat tertinggi tersebut. Apabila Laksamana Madya Datuk Mohd Zain Salleh bersara pada 31 Januari 1986. Tan Sri Wahab mengambil alih tampuk pemerintahan sebagai Panglima Tentera Laut yang baru iaitu Panglima TLDM yang ke-3. Beliau memegang jawatan tersebut selama 5 tahun dan bersara pada tahun 1990. Sepanjang perkhidmatan beliau telah Menyusun rancangan pemodenan Armada TLDM seperti berikut:
1. Memperkenalkan dasar kapal selam.
2. Mentauliahkan Cawangan Udara TLDM.
3. Memajukan bidang sukan dan rekreasi TLDM terutamanya Bola Sepak dan Perahu Layar.
4. Memperkenalkan sukan golf sebagai sukan aktiviti rekreasi TLDM di Pangkalan TLDM Lumut.
Laksamana Madya Tan Sri Abdul Wahab juga memulakan inisiatif dalam menjayakan Perbarisan Armada serta Perhimpunan Antarabangsa kapal-kapal tentera laut asing di Malaysia. Beliau juga berjaya memastikan banyak eksesais Tentera Laut dilaksanakan di rantau ini secara langsung sekaligus menjadikan TLDM antara pemain utama. Setelah bersara. Tan Sri Wahab menerajui Syarikat HW LIMA SDN BHD yang menganjurkan Pameran LIMA MARITIM pada setiap dua tahun di Langkawi yang juga merupakan kejayaan besar Negara.
LAKSAMANA MADYA TAN SRI MOHD SHARIFF BIN ISHAK
PGAT PSM DPMJ DPMS DPTS IMN SMJ KMN PPA PPM ndc psc KMN
Allahyarham Tan Sri Mohd Shariff berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang. Beliau memasuki TLDM sebagai Pegawai Kadet KPK pada tahun 1960 semasa berumur 19 tahun. Pengambilan Kadet yang beliau sertai terdiri dari 6 orang PK selepas pengambilan Tan Sri Abdul Wahab. Antara personaliti yang telah bersara dalam pengambilan beliau ialah Laksda Dato’ ‘Jack’ Yacob, Lasdya Dato’ Haron Salleh, Laksma Datuk Nicholas Peterson, Kdr Lai Yoke Yu dan Kdr Abu Bakar Budin. Setelah tamat latihan asas selama 8 bulan di Maktab Tentera DiRaja Sungai Besi, mereka dihantar ke BRNC seperti mana pegawai- pegawai sebelum mereka bagi menjalani latihan pegawai seterusnya. Tan Sri Shariff ditauliahkan sebagai Lt Muda pada September 1964.
Lt Muda Shariff dilantik sebagai PL Kapal Ronda baru iaitu KD SRI MELAKA yang dijadualkan balik ke Malaysia pada awal tahun 1965. Beliau dihantar berkursus pendek kepakaran komunikasi sementara menunggu KD SRI MELAKA ditauliahkan. Pelayaran balik ke Malaysia bersama- sama KD SRI NEGRI SEMBILAN telah memberi beliau pengalaman yang amat bermakna dan sering menjadi bahan cerita beliau akan pelayaran yang telah menyemai rasa bangga berkhidmat dalam TLDM. Pelayaran menuju ke pelabuhan Pulau Pinang meninggalkan kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila harapannya untuk bercuti pendek untuk bertemu saudara-mara di Nibong Tebal musnah kerana kapal beliau ditugaskan untuk terus membuat rondaan dan belayar ke Ruthenia Jetty, Pangkalan TLDM Woodlands.
Shariff ketika mudanya amat meminati kereta Eropah. Kereta jenis Rover beliau sering kelihatan di Wisma Pegawai untuk beberapa tahun lamanya apabila beliau menghadiri majlis sosial. Beliau aktif dalam sukan dan sentiasa menentukan kecergasan fizikalnya sebagai seorang pegawai pelaut yang baik. Tidak lama kemudiannya beliau diperjawatkan di Kapal Penyapu Periuk Api dan selepas itu sebagai PM Kapal Ronda. Beliau kemudian mengikuti kursus Kepakaran Komunikasi selama setahun di India. Seterusnya menghadiri kursus staf di British Naval College Greenwich pada September 1967 sebelum diperjawatkan sebagai Pegawai Staf 2 Sumber Manusia di Markas Tentera Laut KEMENTAH.
Pertengahan 1970an menyaksikan beliau banyak memegang jawatan staf serta menghadiri Kursus Staf. Beliau pernah diperjawatkan sebagai PM KD HANG TUAH dan KD PELANDOK yang jelas memperlihatkan beliau banyak memainkan peranan penting dalam mencorakkan hala tuju TLDM. Beliau merupa kan seorang Pegawai Kanan yang berdedikasi dan mempunyai pengalaman luas dalam pemerintahan kapal dan flotila TLDM. Prinsip dan kualiti kepimpinan beliau amat disegani oleh warga TLDM. Beliau diperjawatkan sebagai Komander Laut Barat yang bertanggungjawab menguruskan pemindahan TLDM dari Woodlands ke Lumut pada tahun 1981.
Perpindahan Tentera Laut. pembesaran dan penstrukturan semula organisasi TLDM kepada konsep Pemerintahan Wilayah dan Operasi Armada bukan sahaja memerlukan pertambahan Pegawai Kanan tetapi juga peranan pemimpin yang bertambah berat. Selaras perubahan tersebut Tan Sri Shariff telah dinaikkan ke pangkat Panglima semasa TLDM sedang melaksanakan pelbagai perancangan dan operasi. Beliau telah diperjawatkan sebagai Panglima Armada selaku Timbalan Panglima Tentera Laut dan seterusnya mengambil alih jawatan Panglima Tentera Laut daripada Laksdya Tan Sri Abdul Wahab pada tahun 1990.
Tan Sri Shariff telah memikul tanggungjawab mengurus dan mentadbir TLDM di kala perancangan pembangunannya berjalan rancak ke arah proses pemodenan, canggih dan selaku cabang penting ATM. Beliau telah menyelaras kembali organisasi TLDM bagi menentukan kesinambungan kepimpinan dengan menawarkan persaraan pilihan kepada pegawai-pegawai yang berumur beserta pemberian faedah penuh.
Tan Sri Shariff merupakan seorang yang bersikap kekeluargaan dan perkahwinannya dengan Puan Sri Sharifah Mon bte Salim Alsagoff pada tahun 1970 telah dikurniakan empat orang putera dan seorang puteri.
Beliau meninggal dunia pada tahun 1995. tidak lama selepas bersara akibat masalah kesihatan yang dihidapinya. Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada ramai rakan-rakan beliau terutamanya mereka yang masih berkhidmat dengan TLDM. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.
LAKSAMANA MADYA TAN SRI AHMAD RAMLI BIN HJ MOHD NOR
PGAT PSAT SPTS SIMP DPTS PAT JMN PPA PPM ncs psc
Seorang bekas pelajar Sekolah Anderson, Ahmad Ramli Hj Mohd Nor amat aktif dalam bidang sukan dan pelajaran. Beliau adalah seorang pelajar yang cemerlang dan setelah berjaya dalam pelajaran memohon masuk TLDM atas dorongan dan kejayaan bekas pelajar lama sekolah itu, Mohd Zain.
Beliau memasuki TLDM di bawah skim Tauliah Jangka Pendek dan seterusnya dihantar menjalani latihan Pegawai Kadet di BRNC sebelum ditauliahkan pada 1 Mei 1967 sebagai Lt Muda. Seperti rakan-rakan seangkatan, Ahmad Ramli banyak bertugas di laut pada awal perkhidmatannya yang telah banyak melengkapkan dirinya dengan pengetahuan dan pengalaman. Selain itu beliau juga berpeluang memegang beberapa jawatan Pegawai Memerintah. Pada 1 Januari 1979 beliau dinaikkan ke pangkat Komander TLDM dan diserapkan ke dalam Tauliah Tetap serta diperjawatkan ke KD PELANDOK. Pada tahun 1982 beliau dinaikkan pangkat Kepten TLDM untuk memegang jawatan Ketua Staf Rancang dan Pembangunan di Bahagian Staf Tentera Laut, KEMENTAH.
Pada November 1986, beliau diperjawatkan sebagai PM KD KASTURI dan seterusnya dinaikkan ke pangkat Laksamana Pertama sebelum memegang jawatan Panglima Armada pada Julai 1987. Kebolehan Ahmad Ramli Hj Mohd Nor sentiasa menjadi perhatian rakan seangkatannya dan atas potensi beliau yang amat ketara beliau dinaikkan ke pangkat Laksda pada Mac 1991. Pada 19 Jun 1995 beliau telah mengejutkan beberapa pegawai lebih kanan dan seangkatannya apabila diperjawatkan sebagai Timbalan Panglima Tentera Laut.
Ijazah Sarjana dalam jurusan Pentadbiran Awam dari Universiti Harvard. Ahmad Ramli telah memainkan peranan penting dalam merangka arah tuju TLDM sepanjang bertugas di Cawangan Rancang dan Pembangunan, Bahagian Staf Tentera Laut. Beliau berasa puas hati apabila melihat kembali inisiatifnya sebelum ini telah diterjemahkan kepada dasar dan telah pun diimplementasikan. Beliau Merupakan pendorong yang sentiasa berusaha dalam menyediakan peluang pengajian tinggi kepada pegawai dan LLP TLDM. Beliau mengambil berat dalam bidang sukan dan turut memainkan peranan untuk memajukan aktiviti kesukanan TLDM.
Laksdya Dato’ Seri Ahmad Ramli mencapai puncak kejayaan dalam kerjayanya apabila dilantik sebagai Panglima Tentera Laut pada 13 Oktober 1995. Beliau banyak melaksanakan pelbagai inisiatif dalam menyelaras dan memajukan TLDM yang secara langsung meneruskan usaha PTL sebelumnya. Tan Sri Mohd Shariff. Beliau bersara pada tahun 1998 dan menyerahkan pucuk pimpinan kepada Abu Bakar Jamal. Dato’ Seri Ahmad Ramli, seorang yang rajin mempunyai rekod yang menarik dan berjaya.
LAKSAMANA TAN SRI DATO' SERI ABU BAKAR BIN ABDUL JAMAL
PGAT PSM SSAT SPMJ SPMS SIMP SPTS DPMJ DIMP DPTS PAT JMN SMJ KMN PPA PPM rcds psc
Sambil berehat di KLGCC, saya dapat merenung kembali dengan penuh kepuasan semasa dalam TLDM. Setiap pelaut punyai cita-cita awal dan saya bercita-cita untuk berkhidmat kepada negara dengan penuh maruah serta ingin menjadi Pegawai Memerintah kapal Frigat. Saya amat bersyukur kepada Allah yang maha berkuasa kerana dilahirkan pada masa yang betul dan bukan sahaja dapat dilimpahi RahmatNya malah lebih dari itu, saya dilantik menjadi Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia.
Minat Awal.
Sebagai anak muda yang dibesarkan di Segamat. Johor, minat saya pada Angkatan Tentera mula timbul dengan kehadiran unit Tentera Darat dan kekerapan melihat helikopter yang mengangkut pesakit. Anggota-anggota tentera kelihatan tenang dan yakin pada diri mereka dan secara senyap saya amat meminati kualiti sedemikian. Memasuki Cawangan Putera Markas Tentera Darat memanglah satu yang menggembirakan dan merupakan satu kemajuan yang nyata di samping menjadi asas untuk mendisiplinkan kehidupan saya.
Britannia Royal Naval College, UK.
Saya menyertai BRNC, Dartmouth pada September 1965. Pada asasnya, apa yang banyak kami pelajari semasa di Kolej Tentera Laut ini adalah untuk membuktikan latihan di sini sebagai sesuatu yang amat bernilai. Antara rakan sezaman dengan saya adalah Ng Chin Ping, Ramli Bakar, David Foo Chee Wah, Mohd Hussin Thamby. Mak Siew Wah dan Husaini. Kumpulan kami amat rapat antara satu sama lain dan semangat kekeluargaan ini masih kekal hingga sekarang. Latihan awal memperuntukkan program latihan di pangkalan dan di Skuadron Latihan Dartmouth yang dirancang dengan baik yang meliputi sukatan pelajaran Tentera Laut dan akademik yang luas. Lebih penting lagi ia memberi penekanan kepada tahap disiplin. kelakuan yang baik, pembentukan kerjaya dan etika kerja. Pembentukan Officer and Gentleman dilakukan di sini. Peluang untuk menanam minat pada bidang sukan dan jasmani turut diberi tumpuan sewajarnya.
Kebanggaan Dalam Perkhidmatan.
Kepulangan saya ke TLDM pada akhir tahun 1968 merupakan satu peristiwa yang amat membanggakan dan ditunggu-tunggu untuk berkhidmat dalam Tentera Laut di negara sendiri Pada masa saya mula berkhidmat di Armada, Tentera Laut telah mula ditadbir oleh kerajaan Malaysia. Pegawai atasan saya amat tegas tentang disiplin dan sentiasa menunjukkan contoh yang baik kepada anggota bawahan. Peristiwa 13 Mei 1969 yang telah mencetus darurat serta kekecohan masyarakat awam adalah satu kenangan mengenai rusuhan kaum dan ketidakstabilan ekonomi yang menyedihkan Pada masa itu, TLDM merupakan sebuah organisasi tertutup yang sentiasa taat setia kepada negaranya. Ada kebanggaan dalam perkhidmatan yang tidak boleh saya lupakan sepanjang hayat. Ketika menjawat jawatan sebagai Panglima Tentera Laut, saya dikehendaki mengimplimentasikan hala tuju baru TLDM. Sepanjang proses pengimplimentasian ini, saya sering mengingati semula keadaan TLDM sebelumnya.
Mengubah Tentera Laut Air Cetek (Brown Water) Kepada Tentera Laut Air Dalam (Blue Water)
Perubahan kita daripada Tentera Laut Air Cetek kepada Tentera Laut Air Dalam berkembang secara semulajadi sejajar dengan pembangunan Armada. Perubahan ini juga agak ketara selepas krisis Pelarian Vietnam dan pengistiharan ZEE. Imej kita sebagai Tentera Laut juga turut berkembang melalui kerjasama serantau dan latihan yang dilaksanakan dengan negara sahabat seperti Britain, Perancis, India, China, Korea, Pakistan, Australia, New Zealand, Jepun dan Amerika Syarikat (AS). AS akan meneruskan kehadirannya di rantau ini melalui hubungan dua hala dengan beberapa buah negara dan atas kepentingan ekonomi globalnya. Adakalanya, negara menghadapi kekeruhan politik dengan mereka secara sementara. Justeru, terpulanglah pada TLDM untuk mengekalkan hubungan baik antara Tentera Laut. Pendekatan ini membolehkan kita mengelakkan salah faham dan rasa bimbang tetapi pada hakikatnya “Kita terpaksa berperang jika perlu.”
Keselamatan Serantau.
Tuntutan bertindih ke atas wilayah timbul apabila kita menuntut hak mutlak ke atas terumbu yang tidak kita duduki. Satu kes yang jelas adalah tuntutan kita ke atas Terumbu PAPA dan SIERRA yang mana Tentera Laut China tidak campur tangan kerana China telah memutuskan untuk membuat semua bantahan melalui saluran politik yang biasa diamalkan. Lain pula halnya dengan Filipina, mereka agak sensitif. Untuk menanganinya, kita wujudkan perjanjian “Lautan Selamat.” Kita juga telah mewujudkan perjanjian yang sama dengan Indonesia. Dengan itu, kita mampu mempertahankan hubungan baik antara perkhidmatan bagi memelihara keamanan di rantau ini di samping melindungi, Saya pernah memerintah sebuah kapal di tengah kekecohan ‘Ops CABUT’ dan saya dapati tidak begitu bermasalah dalam memenuhi arahan kerajaan bagi mengusir pelarian keluar dari perairan kita. Dalam keadaan berkenaan, kita perlu banyak menggunakan kebijaksanaan kerana setiap situasi mempunyai penilaian yang berlainan. Jika kita bersih dan menjauhi rasuah, keputusan yang diambil akan menjadi lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Tentera Laut telah mempamerkan imej yang bersih walaupun pernah beberapa kali disogok dengan rasuah dan kepentingan lain daripada pelarian bagi mendapat kebebasan mendarat di negara kita. Walaupun kita simpati di atas penderitaan mereka, kita tidak mengambil sebarang kesempatan ke atas pelarian. Dalam perkara yang lain pula, pegawai harus mampu menghayati dan menampilkan diri dalam aspek sosial. Jika dibandingkan, interaksi sosial adalah lebih baik jika dibandingkan dengan 15 ke 20 tahun dahulu. Sifat terlalu sensitif terhadap ajaran agama dan terlalu menjaga kepentingan material dianggap antara faktor utama yang menyumbang kepada pemikiran sempit. Tetapi apa yang saya dapati semasa berada di laut, suasana di Mes Pegawai kapal dipenuhi dengan interaksi yang sihat. Persoalan sama ada terdapat atau tidak minuman keras di mes-mes tidak menjadi isu. Saya rasa ia lebih kepada sikap yang menganggap “lebih mulia daripada kamu” yang perlu diketepikan oleh pegawai-pegawai Islam. Pegawai Kanan Islam pula perlu berusaha untuk memberikan tunjuk ajar. Saya sangat berharap untuk melihat semangat setiakawan dikembalikan semula walaupun saya sudah bersara.
Ke Arah Armada Yang Moden
Tentera Laut telah mengharungi proses pemodenan serta perkembangan hasil dari sumbangan semua Panglima Tentera Laut sejak negara merdeka. Saya percaya kerajaan telah mengambil masa yang panjang untuk memutuskan pembelian kapal selam walaupun ia telah diilhamkan oleh Tan Sri Wahab. Saya rasa amat bertuah dapat meyakinkan semula YAB Perdana Menteri pada September 1999. TLDM harus menggesa semua program dengan serius agar mencapai kemampuan Tentera Laut Air Dalam sepenuhnya termasuk semua aspek pembangunan iaitu bantuan udara. pembekalan semula armada, teknologi persenjataan dan lain-lain lagi. Bagi mengendalikan semua aset. kita harus menguruskan Pembangunan Sumber Manusia dengan sempurna meliputi pengetahuan dan pendidikan, kewangan yang sihat, kerjasama dengan tentera laut sahabat serta pengguna teknologi lain dan membuktikan TLDM berguna kepada kerajaan dalam penggubalan polisi antarabangsa. Saya amat bersetuju jika wanita menyertai Perkhidmatan Tetap TLDM. Kita mesti mengambil kira keadaan sebenar sosial masyarakat Malaysia, kemudahan fizikal yang terdapat di kapal dan dalam masa yang sama menggalakkan amalan ajaran Islam. Kita juga patut mempunyai Dasar Angkatan Tentera yang relevan dalam menentukan peranan Armada. Saya amat berharap dengan adanya publisiti yang lebih menonjol tentang teknologi tinggi TLDM, kita pasti akan dapat menarik lebih ramai belia bukan Melayu untuk menyertai TLDM. Peluang untuk mengikuti pengajian tinggi dan etika kerja dalam TLDM amat baik seperti mana yang saya alami dan ia juga amat bermanfaat kepada dunia awam.
LAKSAMANA TAN SRI MOHD RAMLY ABU BAKAR
PGAT PSAT PJN DSNS DPMS PAT JMN DNS KMT PPA PPM MA
Berasal dari Tampin, Negeri Sembilan. Beliau masih menuntut di Maktab Tentera Diraja apabila beliau memutuskan untuk menyertai pengambilan Pegawai Kadet pada tahun 1964 untuk dihantar ke BRNC Dartmounth, Devon United Kingdom. Seorang pakar Komunikasi dan dalam tahun-tahun awal perkhidmatannya, beliau banyak bertugas di laut terutama sebagai pemerintah kapal seperti Pegawai Memerintah KD KRIS, KD SERANG, KD HANG TUAH dan KD LEKIR.
Beliau juga banyak memegang jawatan penting di pangkalan seperti Pegawai Staf Rancang dan Operasi di Kementerian Pertahanan, Pegawai Memerintah KD PELANDOK di Pusat Latihan Tentera Laut serta mengikuti kursus staf. Jawatan-jawatan tersebut serta jawatan tiga perkhidmatan yang pernah beliau sandang menjadi antara penyumbang kepada pencapaian kerjaya beliau sehingga melayakkan beliau memimpin TLDM.
Sepanjang perkhidmatan, beliau sentiasa merebut peluang untuk maju dalam bidang akademik sejajar dengan hasrat TLDM dalam memajukan tahap akademik pegawai dan LLP Beliau berjaya memperolehi Ijazah Sains Politik dan Sarjana Perhubungan Antarabangsa dan Strategi daripada Universiti Lancaster, United Kingdom. Beliau juga merupakan seorang alumni Universiti Georgetown dan JFK School of Government, Universiti Harvard, Amerika Syarikat.
Laksamana Tan Sri Mohd Ramli diperjawatkan sebagai Panglima Tentera Laut pada 13 Ogos 2002 menggantikan Tan Sri Abu Bakar Abdul Jamal. Sebelum itu, beliau memegang jawatan sebagai Panglima Armada dan Timbalan Panglima Tentera Laut selama beberapa tahun. Walaupun jangka masa kepimpinan beliau dibatasi oleh faktor umur, namun perkhidmatan beliau telah meninggalkan kesan kepada TLDM. Oleh yang demikian, beliau dikurniakan pelbagai darjah kebesaran dan pingat.
Beliau bersara pada bulan Ogos 2003 dengan pangkat Laksamana dan meyerahkan tugas Panglima Tentera Laut kepada Laksamana Dato’ Sri Mohd Anwar bin Hj Mohd Nor.
LAKSAMANA TAN SRI DATO’ SRI MOHD ANWAR BIN HJ MOHD NOR
PGAT PSM PSAT PSD SSAP SSIS SPTS DPMS DPTS PAT JSM JSD PMP KAT KMN BKT PPA MSc EBM (Warwick) jssc psc
Laksamana Tan Sri Dato’ Sri Mohd Anwar bin Hj Mohd Nor telah dilahirkan pada 12 Mac 1950 di Alor Gajah, Melaka.Beliau mendapat pendidikan awal di HMS Naval Base Secondary School, Singapura sehingga tahun 1968. Beliau telah menyertai kursus Pegawai Kadet mulai 1 September 1969 di Britannia Royal Naval College (BRNC) Dartmouth, United Kingdom dan telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 1 September 1971.
Jawatan pertama yang disandang oleh beliau adalah sebagai Pegawai Navigasi KD JERAI pada 16 Disember 1970. Antara perjawatan di laut yang disandang adalah sebagai Pegawai Laksana KD PENDEKAR (Fast Patrol Boat), KD PENDEKAR (Spica ‘M’), KD KERAMBIT, KD HANDALAN dan KD HANG TUAH. Selain daripada itu, beliau turut menjawat beberapa perjawatan staf, antaranya PS 3 Anggota A di Markas Tentera Laut, Pegawai Kawalan Berek KD MALAYA, Pegawai Laksana KD SRI LABUAN dan PS 2 Atur B di Markas Tentera Laut.Perjawatan – perjawatan lain termasuklah sebagai Ketua Bahagian Latih di Pusat Taktikal dan Maritim dan PS 1 Inspektorat Jeneral di Bahagian Inspektorat Jeneral, Markas Tentera Laut. Beliau dinaikkan ke pangkat Kapten pada 1 Januari 1990 dan diperjawatkan sebagai Pegawai Memerintah KD PELANDOK dan kemudiannya sebagai Juruiring Laut kepada Seri Paduka Baginda Yang di – Pertuan Agong Ke – IX dan Ke – X.Seterusnya beliau kembali bertugas di Markas Tentera Laut dan memegang beberapa perjawatan penting, antaranya sebagai Pengarah Komunikasi dan Peperangan.
Beliau dinaikkan ke pangkat Laksamana Pertama pada 1 April 1996 dan ditugaskan sebagai Inspektorat Jeneral di Markas Tentera Laut. Pemerintahan Wilayah operasi beliau yang pertama adalah sebagai Panglima Wilayah Laut 2 pada tahun 1997. Beliau seterunya diperjawatkan sebagai Komandan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera dan merupakan pegawai kanan TLDM yang pertama memegang jawatan tersebut. Beliau kemudiannya menjawat jawatan Panglima Armada pada 8 Disember 1999 dan dinaikkan ke pangkat Laksaman Muda pada 5 Februari 2000. Beliau kemudiannya dilantik sebagai AKS Perkhidmatan Anggota di Bahagian Perkhidmatan Anggota, Markas ATM. Pada 13 Ogos 2002, beliau telah dinaikkan ke pangkat Laksamana Madya dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Laut.Pada 13 Ogos 2003 beliau menyandang jawatan Panglima Tentera Laut dan dinaikkan ke pangkat Laksamana.nBeliau menyerahkan tampuk pemerintahan TLDM kepada Laksamana Tan Sri Ilyas bin Hj Din pada 27 April 2005 apabila dilantik menjadi Panglima Angkatan Tentera Malaysia.
Laksamana Tan Sri Dato’ Sri Mohd Anwar telah menghadiri pelbagai kursus kepakaran danturus, antaranya ialah Kursus Navigation and Direction dan Kursus Principal Warfare Officer di HMS DRYAD, United Kingdom, Naval Staff College di Rhode Island, Amerika Syarikat, Joint Services Staff di Canberra, Australia, Kursus International Defence Management di Naval Post Graduate School, Monteray Amerika Syarikat dan Kursus Kepimpinan dan Pengurusan Tinggi di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Beliau juga telah dianugerahkan Master of Science in Engineering Management pada 22 Januari 2003 di University Warwick, United Kingdom. Beliau telah mencatat sejarah apabila dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia pada 29 April 2005, jawatan yang julung kalinya dipegang oleh pegawai bukan dari Tentera Darat. Laksamana Tan Sri Dato’ Sri Mohd Anwar bin Hj Mohd Nor telah berumahtangga dengan Puan Sri Datin Sri Siti Hapsah bte Omar dan dikurniakan empat orang cahayamata, seorang putera dan tiga orang puteri.
LAKSAMANA TAN SRI ILYAS BIN HJ DIN
PGAT PSM PSAT PJN SIMP SPTS DPMS DIMP DHMS DPTS DSDK PAT JSM SMK KAT KMN AMK PG Dip EBM ncc ps
Laksamana Tan Sri Ilyas bin Hj Din dilahirkan di Alor Setar Kedah pada 12 Mac 1951. Anak sulung kepada Hj Din bin Hj Ahmad dan Puan Com bte Jaafar ini disifatkan sebagai seorang anak yang bertanggungjawab dan matang di usia muda. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu di Kandut Alor Star Kedah, kemudian di Sekolah Kebangsaan Iskandar dan seterusnya di Kolej Sultan Abdul Hamid. Setelah itu, beliau mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Royal Military College, Sungai Besi. Di awal persekolahannya lagi, beliau telah melahirkan hasrat untuk menyertai Tentera Laut dan berkat kesungguhan dan ketekunan yang dipamerkan, beliau telah berjaya melayakkan diri untuk dihantar berkursus ke Britannia Royal Naval College(BRNC) Dartmouth, United Kingdom. Beliau kemudiannya ditauliahkan sebagai pegawai TLDM pada 1 Januari 1972 dengan menyandang pangkat Leftenan Muda.
Sekembalinya ke tanah air, beliau telah diperjawatkan sebagai Pegawai Laksana KD SRI SARAWAK pada 27 April 1972. Kerjaya beliau seterusnya digarap di KD RAHMAT, KD PERDANA dan KD HANG TUAH dari 1973 hingga 1975. Jawatan pemerintah pertama diperolehi beliau pada 2 Februari 1975 apabila diperjawatkan sebagai Pegawai Memerintah KD SRI SELANGOR. Beliau juga diperjawatkan sebagai Pegawai Memerintah di kapal-kapal seperti KD GANAS pada 21 Julai 1980, KD GEMPITA pada 29 Disember 1980 dan KD HANG TUAH pada 14 Ogos 1986. Ilyas juga pernah ditugaskan di pangkalan iaitu sebagai Ketua Cawangan Latihan Pegawai, Kepten Latihan merangkap Pegawai Memerintah KD PELANDOK, Panglima Pendidikan dan Latihan TLDM, Panglima Wilayah Laut 1 dan Panglima Armada. Semasa menjawat jawatan Panglima Armada, beliau telah berjaya membawa Markas Armada TLDM memenangi beberapa anugerah kualiti di peringkat TLDM mahupun kementerian. Beliau juga merupakan driving factor yang telah membawa kejayaan Markas Armada memperolehi persijilan MS ISO 9001:2000 pada 30 Mei 2003. Dengan kejayaan demi kejayaan yang telah dikecapi, beliau digelar sebagai “Bapa Kualiti TLDM”. Beliau juga bertanggungjawab menerapkan nilai-nilai pengurusan berkualiti dan mengaplipikasikan ‘Balance Scorecard’ untuk mengukur prestasi setiap unit dalam TLDM.
Laksamana Tan Sri Ilyas telah menghadiri pelbagai kursus kepakaran dan turus,antaranya Kursus Panjang Komunikasi di India, Kursus Staf di Maktab Turus Angkatan Tentera di Haigate,Kuala Lumpur, Naval Command Course di Rhode Island, Amerika Syarikat, International Training Methodologi Course di Institut Tadbiran Awam Negara dan Integrated Manager Developement Scheme di Universiti Teknologi Malaysia. Walaupun sibuk dengan kerjaya dan keluarga, beliau berjaya memperolehi Post Graduate Diploma in Engineering Business Management dari University of Warwick, United Kingdom dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia. Pada 13 Ogos 2003 sehingga 27 April 2005 beliau diperjawatkan sebagai Timbalan Panglima Tentera Laut dan seterusnya dilantik sebagai Panglima Tentera Laut pada 28 April 2005 menggantikan Laksamana Tan Sri Dato’ Sri Mohd Anwar bin Hj Mohd Nor. Laksamana Tan Sri Ilyas sepertimana Laksamana Datuk Mohd Ramly, telah diberikan penghormatan untuk mengambil tabik hormat di BRNC sempena Upacara Perbarisan Tamat Latihan Pegawai Tentera Laut Diraja British pada 27 Julai 2006. Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Meryam bte Harun pada 24 Februari 1978 dan pasangan romantis ini dikurniakan seorang putera dan dua orang puteri.
LAKSAMANA TAN SRI RAMLAN MOHAMED ALI
PSM PST PJN SPTS DPMS DSAP PGDK KNIGHT GRAND CROSS (FIRST CLASS) OF THE MOST NOBLE ORDER OF THE CROWN OF THAILAND PAT JSM KAT KMN PPS PPA
Laksamana Tan Sri Ramlan Mohamed Ali dilahirkan di Singapura pada 18 Julai 1952. Beliau telah mendapat peluang untuk melanjutkan pelajarannya di Royal Military Collage dan di atas semangat dan minat yang mendalam dalam bidang ketenteraan beliau mula memasuki TLDM pada 03 Januari 1970 dan mendapat latihan asas di Britannia Royal Naval College (BRNC), Dartmouth, UK. Setelah 4 tahun berada di sana beliau kembali ke tanah air dan di tauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 25 Julai 1974.
Sebagai seorang pegawai muda, Laksamana Ramlan pernah berkhidmat dalam Armada TLDM di KD PANAH (PC), KD BRINCHANG (CMS), KD RAJA JAROM (LST), dan KD HANG TUAH (FF). Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Pegawai Memerintah KD SRI PERLIS (PC) dan KD MUSYTARI (OPV). Beliau juga mempunyai pengalaman luas dalam latihan, di mana beliau pernah menjawat jawatan Pegawai Latihan Pandu Arah dan Pegawai Latihan Asas Pegawai di KD PELANDOK, Pegawai Staf Pandu Arah di Markas Wilayah Laut Malaysia, di Markas Armada TLDM. Beliau juga berpengalaman dalam merancang dan mengarah eksesais-eksesais TLDM, ATM dan Fire-Power Defence Arrangement (FPDA).
Selain daripada itu, beliau juga berpengalaman dalam pembangunan projek - projek TLDM. Beliau bermula sebagai Pegawai Staf Gred 1, kemudian Pengarah di Cawangan Rancang & Pembangunan, dan akhirnya Asisten Ketua Staf (AKS) Rancang & Operasi, sambil memangku jawatan AKS Logistik di Markas Tentera Laut (Mk TL). Beliau juga pernah memegang jawatan Ketua Pengarah Cawangan Pembangunan Projek, Bahagin Logistik di Mk TL. Selain daripada itu, beliau pernah mengurus tim-tim projek TLDM di dalam dan luar Negara. Beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Staf Projek LST (San Francisco, USA), Pengarah Projek Action Speed Tactical Trainer (Farnborough, UK), dan KP Projek Patrol Vessel, yang merupakan satu projek nasional. Laksamana Ramlan pernah berkhidmat 3 kali di Markas ATM, sebuah organisasi bersama. Pertama, sebagai KP Cawangan Latihan Pertahanan, Cawangan Operasi & Latihan Pertahanan (OLP), kemudian AKS OLP, dan Ketua Staf. Selain menjadi Ketua Staf, beliau juga telah diberi kepercayaan menjadi Panglima Pemerintahan Angkatan Bersama yang pertama pada 6 Sept 04. Laksamana Ramlan juga pernah memegang jawatan Panglima Wilayah Laut 2 (perairan Sabah/Serawak), Panglima Armada TLDM dan Timbalan Panglima Tentera Laut. Beliau kemudiannya memegang jawatan Panglima Tentera Laut mulai 15 Nov 06.
Sebagai mengenang jasa perkhidmatannya, Laksamana Ramlan telah dianugerahkan beberapa darjah kebesaran seperti Pingat Setia Mahkota yang membawa gelaran ‘Tan Sri’, Panglima Setia Angkatan Tentera dan Panglima Jasa Negara yang membawa gelaran ‘Datuk’. Atas sumbangan jasanya di peringkat negeri, beliau telah dikurniakan oleh Gabenor Negeri Sabah darjah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu, oleh DYMM Sultan Selangor, Dato’ Paduka Mahkota Selangor, oleh DYMM Sultan Pahang, Darjah Sultan Ahmad Shah. Kesemuanya membawa gelaran “Dato” dan Darjah Seri Panglima Taming Sari oleh Paduka Seri Sultan Perak yang membawa gelaran “Dato’ Seri”.
Beliau bersara dari perkhidmatan TLDM pada 31 Mac 2008 dan menyerahkannya kepada Laksamana Dato’ Seri Abdul Aziz Bin Haji Jaafar setelah hampir setahun setengah memegang jawatan sebagai Panglima Tentera Laut.Tan Sri Ramlan telah mendirikan rumah tangga dengan insan tersayang pada 19 April 1986. Hasil perkongsian hidupnya dengan Puan Sri Noor Asmah Shahriman, mereka telah dikurniakan seorang putera. Beliau bermain skuasy, berjoging secara tetap dan mula berjinak dengan golf. Hobi beliau ialah membaca, menjelajah dan mengumpul setem dan wang syiling dari pelbagai negara yang telah dilawati.
LAKSAMANA TAN SRI ABDUL AZIZ BIN HAJI JAAFAR
PGAT PSM PJN SSAP SPTS SPMS SPKK DGPN SPDK SMW PSAT DCSM DPMS DMSM PAT JSM KAT KMN AMN BCM PJM PPS PPA Knight Grand Cross of the Most Noble Order of the Crown of Thailand (Thailand) Order of Legion d’Honneur (France) the Legion of Merit (Degree of Commander) (United States)Bintang Jalasena Utama (Indonesia)Nishan-e-Imtiaz (Military) (Pakistan)FIMarEST FI.K FCILT MA Adv Dip Mgt Sc ncc psc
LAKSAMANA TAN SRI DATO’ SERI PANGLIMA (Dr.) AHMAD KAMARULZAMAN HJ AHMAD BADARUDDIN
PGAT PSM PJN SPMS DGPN SPTS DGSM PSAT DPMS PGDK PAT JMN SMS KAT KMN PJM PKN PPS PPA Order of Legion d’Honneur (France) Nishan-i-Imtiaz (Military)(Pakistan) The Order of King Abdulaziz (Excellent Grade) (Saudi Arabia) MBA (Strathclyde) MA (UKM) mpat psc
Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman menyertai Tentera Laut pada 24 Februari 1977 selepas menamatkan pengajian di Maktab Tentera Diraja. Beliau mengambil alih tampuk pemerintahan Tentera Laut Diraja Malaysia sebagai Panglima Tentera Laut pada 18 November 2015. Sepanjang 42 tahun berkhidmat, beliau telah memegang beberapa jawatan penting di dalam Tentera Laut dan tiga perkhidmatan termasuk Panglima Angkatan Bersama, Panglima Armada, Panglima Wilayah Laut 2 dan Asisten Ketua Staf (Rancang dan Operasi) di Markas Tentera Laut.
Beliau telah mendapat Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada University of Strathclyde Business School, Scotland dan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan dan Perhubungan Antarabangsa daripada Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau turut menamatkan Program Eksekutif dalam pentadbiran perniagaan daripada Kenan-Flagler Business School, Universiti North Carolina Amerika Syarikat. Beliau juga turut memperoleh Graduan Kepujian dalam bidang Peperangan Politik daripada Kolej Fu Hshing Kang, Republik Rakyat China.
Beliau merupakan lulusan United States Naval Staff Course, Naval War College, Newport, Rhode Island. Beliau juga telah menghadiri pelbagai kursus profesional dan ketenteraan di dalam dan luar negara termasuk International Surface Warfare Officer's Course di Sekolah Amfibi Tentera Laut Coronado, San Diego, Amerika Syarikat; Principal Warfare Officer Course di HMS DRYAD, Portsmouth, United Kingdom; Kursus Pengurusan Krisis Antarabangsa di Institut Pentadbiran Nasional (INTAN), Kuala Lumpur dan pelbagai kursus serta kelayakan.
Beliau terkenal dengan cetusan idea-idea yang keluar dari kebiasaan sehingga tercetusnya pelan jangka panjang TLDM iaitu Program Transformasi 15to5 TLDM. Pemikirannya selalu dikongsi bersama dengan pengurusan kanan pertubuhan korporat, agensi kerajaan dan universiti. Ini termasuk Bank Negara Malaysia dan Khazanah Nasional. Laksamana Ahmad Kamarul juga sering dijemput untuk berkongsi idea dan padangan di dalam pelbagai program seminar atau persidangan di peringkat serantau dan antarabangsa berkaitan dengan isu-isu Keselamatan Maritim, Inovasi dan Transformasi.
Atas sumbangan dan dedikasi yang telah beliau curahkan sepanjang memberikan khidmat yang terbaik kepada Raja dan Negara, Laksamana Ahmad Kamarulzaman telah mendapat pelbagai pengiktirafan dalam dan luar negara. Antara yang terkenal adalah Pingat Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran 'Tan Sri' dan Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT), The Order of King Abdulaziz (Excellent Grade), the Nishan-i-Imtiaz (Military (Pakistan) and Order of Legion d’Honneur. Beliau juga telah dianugerahkan Doktor Kehormat (Pengurusan) dari UNITAR International University.
LAKSAMANA TAN SRI MOHD REZA BIN MOHD SANY
PSM PSD DPPN PSAT DPMS DPTS DSDK PMW PAT KAT KMN PJM PPS PPA MSc DSS (NDU Islamabad) Dip PSP (UM) ncc psc
Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany telah dilahirkan pada tanggal 13 Ogos 1963 di Kuala Lumpur. Beliau mula menyertai Tentera Laut pada 1 Mei 1981 selepas menamatkan pengajian di Maktab Tentera Diraja. Sepanjang hampir 38 tahun berkhidmat, beliau telah memegang beberapa jawatan penting di dalam Tentera Laut dan tiga perkhidmatan termasuk Timbalan Panglima Tentera Laut, Panglima Angkatan Bersama, Panglima Wilayah Laut 1 dan pernah menggalas tugas sebagai Juruiring Tentera kepada Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Ke-14. Datuk Mohd Reza telah dilantik sebagai Panglima Tentera Laut Ke-17 pada 30 November 2018.
Sepanjang mengharungi kariernya, Tan Sri Mohd Reza telah menghadiri pelbagai kursus profesional dan ketenteraan di dalam dan luar negara. Antaranya International Long Gunnery di INS Dronacharya, India, Kursus Staf di Maktab Turus Angkatan Tentera, Kuala Lumpur, Naval Command Course di United States Naval War College, Rhode Island, Amerika Syarikat dan Kursus Pengurusan Krisis Antarabangsa di Institute of Diplomacy and Foreign Relations (IDFR), Kuala Lumpur. Beliau telah mendapat Ijazah Sarjana Sains Pengajian Strategik dan Pertahanan daripada National Defence University, Islamabad, Pakistan pada tahun 2009.
Laksamana Tan Sri Mohd Reza telah mendirikan rumahtangga bersama Puan Sri Maslina binti Ismail pada 21 Jun 1986. Pasangan ini telah dikurniakan lima orang putera. Sebagai personaliti yang gemar menghayati keasyikan alam, Tan Sri Mohd Reza meminati aktiviti luar seperti berburu, memancing dan aktiviti lasak.
LAKSAMANA TAN SRI ABDUL RAHMAN BIN AYOB
PGAT PSM PJN PSAT DPMS PGDK DPSM PAT JSM KAT KMN PJM PPS PPA Nishan-e-Imtiaz (Military) (Pakistan) Chevalier de la Legion d'honneur (France) National Order of Merit MA Strat (Deakin) Dip PSP (UM) dssc psc
Laksamana Tan Sri Abdul Rahman dilahirkan pada 2 Dis 1964 di Johor Bahru, Johor. Beliau mula menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia pada 2 Jul 1982 dan telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda TLDM Cawangan Eksekutif pada 13 Jun 1984. Pencapaian akademik tertinggi beliau adalah Master of Arts (Strategic Studies) dari Deakin University, Australia. Laksamana Tan Sri Abdul Rahman telah dilantik sebagai Panglima Tentera Laut Ke-18 pada 27 Januari 2023.
Kerjaya beliau sebagai seorang Submariner bermula pada tahun 1993 apabila beliau memperolehi Lencana Kepakaran Kapal Selam setelah menamatkan latihan kapal selam di HMAS PLATYPUS, Australia. Beliau seterusnya menjalani Latihan Pengenalan Kapal Selam di Sweden pada tahun 1995 dan di Perancis pada tahun 1999 serta berjaya menamatkan Kursus Asas Kapal Selam (AGOSTA Class) pada tahun 2006 di Perancis.
Laksamana Tan Sri Abdul Rahman telah memegang beberapa jawatan penting di dalam TLDM dan Misi PBB antaranya sebagai Komander Angkatan Kapal Selam TLDM, Timbalan Ketua Misi bagi Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao, Filipina, Panglima Wilayah Laut 2, Panglima Armada Timur dan Timbalan Panglima Tentera Laut.
Laksamana Tan Sri Abdul Rahman telah mendirikan rumahtangga bersama Puan Sri Dr Norinah binti Mustapha dan dikurniakan 4 orang anak lelaki. Beliau aktif dalam sukan tenis dan golf.
MARKAS TENTERA LAUT, WISMA PERTAHANAN, JALAN PADANG TEMBAK, 50634 KUALA LUMPUR
Emel : webmaster@navy.mil.my | Tel : (60)3-40160159
Paparan Terbaik : Mozilla Firefox / Google Chrome / Microsoft Edge
HAKCIPTA | DASAR & PRIVASI | PENAFIAN | PETA LAMAN