Kebanggaan. Panglima Tentera Laut bersama pegawai dan anggota terlibat
KOTA KINABALU, 4 Mac - Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany telah dianugerahkan Lencana Kepakaran Kapal Selam (Kehormat) serta menyempurnakan upacara pemakaian Lencana Kepakaran Kapal Selam kepada Pegawai dan anggota TLDM yang telah berjaya menamatkan Kursus Kelayakan Kapal Selam. Seramai 9 orang peserta terdiri dari 1 Pegawai dan 8 Anggota TLDM telah berjaya dan menerima kelayakan masing-masing. Upacara pemakaian lencana kepakaran kapal selam ini telah dilangsungkan di Auditorium Markas Pemerintahan Kapal Selam Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. Pemakaian lencana kepakaran kapal selam ini merupakan satu tradisi dan kebanggaan kepada semua submariner di TLDM.
Sebelum menjadi seorang submariner, warga TLDM perlu mengharungi ujian perubatan, ujian bertulis, dan temuduga sebelum dipilih untuk menyertai kursus kapal selam. Setelah dipilih mereka perlu menjalani latihan di Pusat Latihan Kapal Selam, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. Pusat Latihan Kapal Selam telah ditubuhkan dan dipertanggungjawabkan bagi melatih bakal submariner di peringkat asas dan peringkat lanjutan. Bagi memenuhi tujuan tersebut, beberapa fasiliti yang canggih seperti modern simulator dan tenaga pengajar tempatan telah disediakan di Pusat Latihan. Simulator yang terdapat di Pusat Latihan ini merupakan satu-satunya simulator jenis Scorpene di dunia. Perbandingan kos latihan yang dibuat di luar negara sebelum ini, dan kos latihan dalam negara telah melibatkan menjimat kos sebanyak 75%.
Bagi melahirkan submariner yang berpengetahuan dan kompeten, warga TLDM yang menyertai kursus kepakaran kapal selam perlu menjalani beberapa fasa latihan teori iaitu Submarine Foundation Training dan Submarine Spesific Training di Pusat Latihan selama hampir 12 bulan dan seterusnya menjalani Submarine Application Training atau Latihan Sambil Kerja di kapal selam selama 5 bulan hingga 8 bulan.
Setelah selesai menjalani latihan dan mendapat kelayakan sebagai submariner, mereka akan diperjawatkan di kapal selam sebagai kru kapal selam sesuai dengan keperluan dan tugas masing-masing. Sehingga kini, PLKS telah berjaya melatih seramai 191 orang submariner baru dari warga TLDM. Ini membuktikan bahawa kemampuan anak watan untuk menguasai bidang peperangan bawah air yang melibatkan peralatan berteknologi tinggi dan moden adalah tidak mustahil.
Bagi memastikan tahap pengetahuan dan kebolehan warga kapal selam sentiasa berada pada tahap yang tertinggi, ujian kompetensi dan pemeriksaan kelayakan secara berkala turut dilaksanakan. Sebagai golongan elit, submariner TLDM layak menerima elaun sebagai insentif kepada risiko yang ditanggung, kesukaran tugas, kepakaran khas dan tahap profesionalisme tinggi yang diperlukan dalam menjalankan tugas mereka. Ia turut berfungsi sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada tugas serta sumbangan yang mereka berikan dalam mempertahankan kedaulatan maritim negara.
Sumber : Markas Pemerintahan Kapal Selam
Foto : Sel Fotografi dan Penerbitan, MPKS
MARKAS TENTERA LAUT, WISMA PERTAHANAN, JALAN PADANG TEMBAK, 50634 KUALA LUMPUR
Emel : webmaster@navy.mil.my | Tel : (60)3-40160159
Paparan Terbaik : Mozilla Firefox / Google Chrome / Microsoft Edge
HAKCIPTA | DASAR & PRIVASI | PENAFIAN | PETA LAMAN