Segak! PANGWILLA 2 mengabadikan kenangan bersama warga MAWILLA 2
SANDAKAN, 28 Feb – Bertempat di padang kawad Pasukan Simpanan Tentera Laut (PSTL) Sandakan, Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) telah melaksanakan Perbarisan Tahunan Panglima Wilayah Laut 2 (PANGWILLA 2) pada hari ini. Perbarisan yang julung kalinya dilaksanakan bagi tahun ini menyaksikan penglibatan lebih daripada 320 orang warga MAWILLA 2 dari Pangkalan TLDM Sandakan serta unit-unit bawah naungan dari Semporna dan Tawau.
Perbarisan yang terdiri daripada 10 buah platun ini telah diketuai oleh Leftenan Komander Mohd Izzat bin Dato’ Mohd Noh TLDM. Kesemua warga MAWILLA 2 segak berpakaian istiadat No.1 telah mempamerkan persembahan yang bersemangat sebagai tanda penghargaan mereka kepada PANGWILLA 2. Perbarisan ini juga bersempena meraikan genap setahun Yang Berbahagia Laksamana Muda Dato’ Sabri bin Zali mengambil alih tampuk pemerintahan MAWILLA 2 sejak Januari 2019.
Perbarisan ini telah dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Samudera Raya dengan penuh bersemangat oleh warga MAWILLA 2 serta disusuli pemeriksaan perbarisan oleh PANGWILLA 2. Secara keseluruhannya, PANGWILLA 2 amat berpuas hati dengan mutu perbarisan yang ditonjolkan dan berharap agar segala aspek kesegakan dan kekemasan warga MAWILLA 2 berterusan pada masa-masa yang akan datang. Mutu kawad yang baik dapat memberikan gambaran yang jelas kepada masyarakat setempat khasnya warga Sandakan terhadap aspek disiplin yang tinggi pegawai dan anggota TLDM. Hal ini secara tidak langsung memberi keyakinan kepada rakyat akan keupayaan warga TLDM bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara khasnya di perairan pantai timur Sabah ini.
Di dalam perbarisan ini juga, 2 orang warga MAWILLA 2 telah diberikan penghargaan di atas sumbangan dan prestasi kerja yang membanggakan yang telah dipamerkan sepanjang tahun 2019. Bintara Kanan PAP (PKL) Paisal bin Mohamad dari unit KD SRI SEMPORNA telah dipilih sebagai Bintara Terbaik MAWILLA 2 bagi tahun 2019 manakala LK BDI Zulkifli bin Hassan dari unit Pangkalan Laut TUN SHARIFAH RODZIAH telah dinobatkan sebagai Laskar Terbaik. Sesungguhnya penganugerahan ini merupakan penghargaan pucuk pimpinan MAWILLA 2 terhadap warganya yang telah mempamerkan prestasi yang membanggakan dalam pelbagai aspek sama ada dalam pelaksanaan tugas, keperibadian, dan disiplin. Adalah diharap penganugerahan seperti ini dapat dijadikan contoh kepada warga MAWILLA 2 yang lain dan mereka berusaha untuk turut sama mencapai seperti apa yang telah dilihat.
Selesai perbarisan, seluruh warga MAWILLA 2 telah berkumpul di Dewan Abdul Azim bagi menghayati perutusan yang disampaikan oleh PANGWILLA 2. “We exist because of the fleet” merupakan ungapan yang ditekankan oleh PANGWILLA 2 kepada seluruh warga yang hadir. Sepanjang tahun 2019, sebanyak 193 siri operasi yang telah dilaksanakan oleh kapal-kapal di armada MAWILLA 2 dalam memastikan keselamatan perairan dan kedaulatan maritim negara khususnya di timur Sabah sentiasa terpelihara. PANGWILLA 2 merakamkan ucapan terima kasih kepada warga yang berkhidmat di kapal-kapal kerana telah memberikan perkhidmatan dan pengorbanan yang cukup bermakna serta tidak ternilai demi kesejahteraan serta keamaan negara. PANGWILLA 2 turut mengucapkan syabas kepada warga MAWILLA 2 yang bertugas di unit-unit pangkalan kerana telah dapat memastikan segala keperluan dan perkhidmatan demi menyokong pengoperasian serta kesiagaan kapal-kapal di armada MAWILLA 2 dalam memenuhi keperluan operasi semasa. Tanpa kesungguhan dan kerjasama semua pihak, sudah pasti ianya tidak akan dapat merealisasikan misi markas ini dalam melindungi kepentingan maritim Sabah dari sebarang ancaman.
Dalam perutusan yang dibacakan juga, PANGWILLA turut berpesan kepada Pegawai-Pegawai Memerintah agar dapat memastikan kompetensi dan kemahiran warga sentiasa dipertingkatkan dan berada di tahap tertinggi. Selain itu, PANGWILLA 2 turut berpesan agar setiap Pegawai Memerintah memastikan disiplin warga di unit masing-masing dipelihara serta memberi perhatian di dalam aspek kebajikan warga. Di samping perutusan oleh PAGNWILLA 2, majlis turut menyaksikan upacara serah terima tugas Pegawai Memerintah KD SRI GAYA. Dalam majlis tersebut, Leftenan Komander Mohd Fazli bin Mat Hassan TLDM telah menyerahkan tampuk pemerintahan KD SRI GAYA kepada Leftenan Komander Harulizam bin Harun TLDM.
Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel : Lt Kdr Ahmad Fitri bin Osman TLDM
Foto : LK PAP Haryanto bin Made
MARKAS TENTERA LAUT, WISMA PERTAHANAN, JALAN PADANG TEMBAK, 50634 KUALA LUMPUR
Emel : webmaster@navy.mil.my | Tel : (60)3-40160159
Paparan Terbaik : Mozilla Firefox / Google Chrome / Microsoft Edge
HAKCIPTA | DASAR & PRIVASI | PENAFIAN | PETA LAMAN