Kerjasama. Wakil TLDM dan SMK Batu Sapi yang menjayakan Program Ziarah Cakna Merentas Samudera
SANDAKAN, 26 Nov - Pada 13 November 2020 yang lalu, pihak Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) Pangkalan TLDM Sandakan telah mengadakan kerjasama dengan pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sapi (SMK Batu Sapi) dalam menjayakan “Program Ziarah Cakna Merentas Samudera” di Pulau Timbang, Sandakan. Kumpulan sasar penerima sumbangan ini adalah para pelajar SMK Batu Sapi yang tinggal di pulau tersebut. Rombongan seramai 16 orang guru ini diketuai oleh Pengetua SMK Batu Sapi iaitu Encik Esmadi bin Ismail yang tiba di perkarangan MAWILLA 2 disambut oleh Ketua Bahagian Peperangan, Kept Ahmad Rashidi bin Othman TLDM.
Aset TLDM yang terlibat dalam program ini adalah 1 x Bot Tempur (CB 214 ), 1 x Boat Silverbreeze (SB 222) dan 1 x Rigid Inflatable Boat (RHIB 305). Rombongan telah diberi taklimat keselamatan oleh Lt Mohamad Waras bin Sigitsurianto TLDM, Pegawai Bot Tempur dan seterusnya bertolak dari Tambatan Pangkalan Sandakan (TPS) ke Pulau Timbang.
Sebanyak 100 bakul makanan sumbangan daripada pihak NGO sekitar Sandakan, TLDM dan pihak sekolah itu sendiri telah diagihkan. Manakala, pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) turut menerima sumbangan berbentuk kelengkapan alat tulis dan buku. Sumbangan telah disampaikan oleh Pengetua SMK Batu Sapi dan Lt Kdr Ahmad Fitri bin Osman TLDM, selaku Pegawai Pengiring Program.
Program ini diharapkan dapat membantu para pelajar yang memerlukan dan terkesan akibat penularan COVID-19 agar mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan. Di samping itu, penganjuran program ini adalah bagi memberi peluang kepada guru-guru bertanya khabar dan memantau keadaan para pelajar yang tinggal di lokasi terpencil. Program telah dilaksanakan berdasarkan arahan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan Penularan Wabak COVID-19.
Sumber :Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Wilayah Laut 2
MARKAS TENTERA LAUT, WISMA PERTAHANAN, JALAN PADANG TEMBAK, 50634 KUALA LUMPUR
Emel : webmaster@navy.mil.my | Tel : (60)3-40160159
Paparan Terbaik : Mozilla Firefox / Google Chrome / Microsoft Edge
HAKCIPTA | DASAR & PRIVASI | PENAFIAN | PETA LAMAN