Image
Image
Image

Select your language

ANCM tahun ini diadakan secara dalam talian berikutan pandemik Covid-19

KUALA LUMPUR, 5 Nov - Mesyuarat ASEAN Navy Chiefs’ Meeting (ANCM) ke-14 telah berlangsung hari ini yang dianjurkan oleh Tentera Laut Rakyat Vietnam (Vietnam People’s Navy-VPN) secara video teleconference. Panglima Tentera Laut VPN telah mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany dan rakan sejawat beliau dari Brunei, Cambodia, Indonesia, Myanmar, Filipina, Singapura dan Thailand manakala Laos diwakili oleh Timbalan Panglima Angkatan Tentera.

Bertemakan “Naval Cooperation for Cohesive and Responsive ASEAN”, mesyuarat kali ini diadakan menggunakan platform dalam talian akibat penularan Covid-19 di seluruh dunia. Antara perkara utama yang dibincangkan adalah inisiatif ASEAN Naval Training Experience Exchange Program yang diusulkan oleh tuan rumah Vietnam dan cadangan Tentera Laut Filipina untuk mewujudkan Networked Maritime Centres dan ASEAN Maritime Task Force.

Dalam ucapan beliau, Tan Sri Mohd Reza menyatakan sokongan TLDM untuk mengeratkan kerjasama yang sedia ada di kalangan negara ahli. Beliau juga merasakan bahawa ANCM adalah platform terbaik untuk angkatan laut ASEAN merangka dasar dan strategi yang boleh menyumbang kepada keselamatan maritim serantau. ANCM merupakan mesyuarat tahunan bagi pucuk pimpinan tentera laut negara-negara ASEAN. Tentera Laut Cambodia telah menjadi tuan rumah mesyuarat kali ke-13 dan Tentera Laut Diraja Brunei akan menganjurkan ANCM ke-15 pada tahun hadapan.

Sumber : Bahagian Operasi dan Strategi, Markas Tentera Laut
Artikel   : Lt Norzuhaira binti Ruhanie PSSTLDM
Foto      : LK TNL Mohamad Idris bin Suradi

Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image