Image
Image
Image

Select your language

Laskar Dalam Latihan berpeluang menimba banyak peluang dan pengetahuan sepanjang penglibatan pelayaran SREX

SANDAKAN, 06 Feb – Dalam memastikan Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) dapat menilai kesiapsiagaan dan keupayaan tempur armadanya, pelayaran Sandakan Readiness Exercise (SREX) yang melibatkan kapal-kapal di bawah pemerintahan Markas ini telah dilaksanakan. SREX adalah merupakan suatu pendekatan dinamik yang diilhamkan sendiri oleh Panglima Wilayah Laut 2 sebagai salah satu medium yang digunakan dalam melipatgandakan tahap kecekapan dan profesionalisme warga serta kesiapsiagaan aset-aset di bawah naungan MAWILLA 2.

Di dalam pelayaran SREX, kapal-kapal yang terlibat akan belayar Tambatan Pangkalan Sandakan (TPS) ke kawasan latihan di sekitar perairan Sandakan bagi melaksanakan latihan bersama di laut. Kapal-kapal yang terlibat akan diuji dengan beberapa siri latihan dari aspek, ilmu kelautan, persenjataan, komunikasi, taktik peperangan dan kecemasan. Latihan yang dilaksanakan ini adalah bertujuan bagi menguji tahap kewaspadaan dan kesiapsiagaan kru bagi menghadapi sebarang situasi ancaman dan kecemasan.

Semasa pelayaran SREX dilaksanakan, Tim Penilai yang terdiri daripada Pegawai-Pegawai dan Bintara yang berkepakaran dari MAWILLA 2 akan ditempat di setiap kapal yang terlibat bagi menilai tahap kemahiran dan pencapaian yang dipamerkan oleh warga kapal. Setiap teguran yang dikeluarkan akan menjadi rujukan bagi kapal-kapal yang lain semasa menjalani latihan SREX yang berikutnya. Cadangan penambahbaikan terhadap teguran yang diberikan juga akan dapat dijadikan panduan oleh semua warga kapal yang terlibat bagi mempertingkatkan pengetahuan di dalam setiap evolusi yang dilaksanakan.

SREX juga dilihat sebagai salah satu ruang yang dapat digunakan sepenuhnya oleh Pegawai Muda dalam mempertingkatkan kemahiran dan kompetensi mereka khususnya dari aspek pengendalian kapal. Latihan berulang kali yang dilaksanakan secara tidak langsung dapat membina keyakinan di kalangan pegawai-pegawai muda yang terlibat serta memberi ruang kepada mereka mempraktikkan apa yang telah dipelajari semasa berada di pusat latihan. Di samping itu, Laskar Dalam Latihan juga dapat menimba banyak pengetahuan dan pengalaman apabila mereka dilibatkan secara langsung di dalam setiap evolusi yang dilaksanakan sepanjang pelayaran SREX.

Inisiatif latihan SREX ini dilihat telah berjaya untuk menguji kesiapsiagaan operasi aset armada di MAWILLA 2 di samping mempertingkatkan kemahiran dan kompetensi warga kapal dalam menangani situasi konflik di laut di samping memperkasakan ilmu peperangan maritim. Ia juga membuktikan bahawa MAWILLA 2 sentiasa mementingkan kesiapsiagaan aset serta warganya dalam memberikan perlindungan keselamatan bagi menjamin kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel   : Lt Kdr Ahmad Fitri bin Osman TLDM
Foto      : LK l TLR Ahmad Shukri bin Sama

Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image