Image
Image
Image

Select your language

KUALA LUMPUR, 26 Jun - Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob telah menyempurnakan pemakaian pangkat Tauliah Kehormat Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) kepada Datuk Dr. Shahrazat binti Haji Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan yang telah diadakan di Markas Tentera Laut hari ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah perkenan mengurniakan Tauliah Kehormat PSSTLDM dengan pangkat Kepten (Kehormat) PSSTLDM kepada Datuk Dr. Shahrazat binti Haji Ahmad berkuatkuasa 29 Mac 2023 sebagai Tauliah Khas Kementerian Pertahanan. Pengurniaan Tauliah Kehormat ini adalah berdasarkan Perintah Majlis Angkatan Tentera Bil 1 Tahun 1996 dan Seksyen 198 (5) Akta Angkatan Tentera 1972.

Sehingga kini, terdapat seramai 30 orang Pegawai Kehormat PSSTLDM daripada pangkat Leftenan (Kehormat) sehingga Laksamana Pertama (Kehormat). Antaranya adalah bekas pemain badminton negara, Datuk Wira Lee Chong Wei yang dikurniakan pangkat Komander (Kehormat) PSSTLDM. Manakala Menteri Besar Kedah, Laksamana Pertama (Kehormat) YAB Dato’ Seri Hj Muhammad Sanusi bin Md Nor PSSTLDM dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kepten (Kehormat) YB Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul bin Tengku Abdul Aziz PSSTLDM juga tersenarai dan merupakan ahli Jawatankuasa Pendukung masing-masing di peringkat negeri dan persekutuan.

Pengurniaan Tauliah Kehormat PSSTLDM diyakini dapat meningkatkan hubungan diantara Tentera dan Awam sekali gus memberi impak positif kepada Pasukan Simpanan Sukarela TLDM. Ianya juga mampu menaikkan imej ATM amnya dan TLDM khasnya di kalangan warga Kementerian Pertahanan.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Sabri bin Zali; Panglima Pasukan Simpanan, Laksamana Pertama Azeman bin Yusoff dan barisan Pengurusan Tertinggi TLDM.

Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image