Senior Air Engineer TLDM memberi kata-kata semangat kepada peserta kursus
LUMUT, 6 Nov – Seramai 8 orang anggota telah berjaya menamatkan kursus Aviation Foundation Course (AFC) yang berlangsung selama 3 bulan mulai 10 Ogos 20 hingga 6 Nov 20 di Markas Udara TLDM. Kesemua peserta kursus telah menjalani temuduga pemilihan yang teliti bagi menilai tahap pengetahuan, keterampilan serta nilai sahsiah anggota sebelum dipilih untuk menyertai kursus ini.
Kursus AFC merupakan kursus asas kejuruteraan udara bagi melatih anggota teknikal sebelum bergelar Juruteknik Pesawat (JP) TLDM. Kursus ini bertujuan untuk memberi pengenalan, pendedahan serta pengetahuan asas kepada bakal JP TLDM mengenai sistem airframe, avionic dan power plant pesawat. Peserta yang telah berjaya menamatkan kursus ini akan diperjawatkan ke skuadron penerbangan untuk melalui beberapa siri latihan lanjutan sistem pesawat.
Semasa awal penubuhan Cawangan Udara TLDM iaitu pada tahun 1988, JP TLDM dilatih secara terus oleh Loan Service Personnel dari Tentera Laut Diraja Britain. Lima kumpulan JP TLDM kemudian dihantar secara berperingkat untuk mengikuti latihan asas kejuruteraan udara selama 2 tahun di HMAS Nirimba, Australia. Pada tahun 1994, TLDM telah berupaya melahirkan juruteknik penerbangannya sendiri, satu kejayaan besar buat Cawangan Udara TLDM.
JP TLDM merupakan ‘orang di sebalik tabir’ dalam kejayaan sesuatu pengoperasian pesawat. JP TLDM akan memastikan pesawat diselenggara mengikut prosedur dan standard yang rapi supaya pesawat berada dalam keadaan ‘airworthy’ sebelum diterbangkan. Justeru itu, Markas Udara TLDM amat menitikberatkan aspek latihan dalam pembinaan modal insan bagi melahirkan warga yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, malah kompeten dalam mendokong operasi penerbangan yang selamat.
Pengambilan JP TLDM akan diteruskan pada masa hadapan sebagai pelapis kepada JP TLDM semasa serta bagi menampung perkembangan Cawangan Udara TLDM.
Sumber : Markas Udara TLDM
Artikel : Lt Dya Lugman bin Pirmang TLDM
Foto : Lt Chan Jun Shen TLDM
MARKAS TENTERA LAUT, WISMA PERTAHANAN, JALAN PADANG TEMBAK, 50634 KUALA LUMPUR
Emel : webmaster@navy.mil.my | Tel : (60)3-40160159
Paparan Terbaik : Mozilla Firefox / Google Chrome / Microsoft Edge
HAKCIPTA | DASAR & PRIVASI | PENAFIAN | PETA LAMAN